Skip to content
Opens in a new window

[1] Raja Daud berunding dengan semua pegawainya yang mengetuai pasukan seribu orang dan pasukan seratus orang.

[2] Selepas itu baginda mengumumkan hal ini kepada semua orang itu, “Jika kamu setuju, dan jika kehendak TUHAN, Allah kita, baiklah kita mengirim utusan-utusan kepada para imam serta orang Lewi di kota-kota mereka, dan kepada segenap bangsa kita. Para utusan itu akan menyuruh mereka datang berkumpul bersama-sama kita di sini.

[3] Kemudian kita akan pergi mengambil Tabut Perjanjian Allah, yang telah diabaikan selama pemerintahan Raja Saul.”

[4] Semua orang Israel yang berkumpul suka dengan cadangan itu, lalu mereka menyetujuinya.

[5] Oleh itu Raja Daud mengumpulkan rakyat Israel dari seluruh negeri, dari sempadan negeri Mesir di selatan sampai ke Genting Hamat di utara, untuk mengambil Tabut Perjanjian dari Kiryat-Yearim dan memindahkannya ke Yerusalem.

[6] Kemudian Raja Daud dan segenap rakyat Israel pergi ke kota Baala, iaitu Kiryat-Yearim, di kawasan Yehuda untuk mengambil Tabut Perjanjian Allah. Tabut itu dinamakan “TUHAN yang bertakhta di atas kerub”.

[7] Apabila mereka tiba di Baala, mereka mengambil Tabut Perjanjian itu dari rumah Abinadab, lalu menaikkannya ke atas sebuah pedati yang baru. Uza dan Ahyo mengiringi pedati itu,

[8] sedangkan Raja Daud dan segenap umat Israel menari-nari dengan penuh semangat untuk menghormati Allah. Mereka menyanyi sambil memainkan alat-alat muzik - kecapi, gambus, tamburin, simbal, dan trompet.

[9] Apabila mereka sampai di tempat mengirik gandum kepunyaan Kidon, lembu-lembu yang menarik pedati itu tersandung. Lalu Uza menghulurkan tangan dan memegang Tabut Perjanjian itu supaya tidak jatuh.

[10] Ketika itu juga TUHAN murka terhadap Uza dan membunuh dia, kerana dia memegang Tabut. Uza meninggal di situ, di hadapan Allah.

[11] Sejak itu, tempat itu dinamakan Peres-Uza. Raja Daud murka kerana TUHAN telah membinasakan Uza.

[12] Kemudian Raja Daud takut juga kepada Allah dan bertitah, “Sekarang bagaimanakah beta dapat membawa Tabut Perjanjian itu?”

[13] Oleh itu Raja Daud tidak membawa Tabut itu ke Yerusalem. Baginda menyimpan Tabut itu di rumah Obed-Edom, seorang yang berasal dari kota Gat.

[14] Tabut itu berada di situ selama tiga bulan, dan TUHAN memberkati keluarga Obed-Edom serta segala miliknya.

1 Tawarikh — Chapters