[1] Alangkah baiknya jika engkau saudaraku, yang disusui oleh ibuku sendiri, supaya apabila aku menemui engkau di tengah jalan, aku boleh mencium engkau, dan tidak sesiapa pun menghina aku.
[2] Aku akan membawa engkau ke rumah ibuku, dan engkau akan mengajar aku bercinta. Aku akan memberi engkau minum wain campur dan air buah delimaku.
[3] Tangan kirimu menopang kepalaku, dan tangan kananmu membelai aku.
[4] Berjanjilah, hai puteri-puteri Yerusalem, bahawa kamu tidak akan mengganggu cinta kami.
[5] Siapakah dia yang datang dari padang gurun, bersandar pada kekasihnya? Aku membangunkan engkau di bawah pokok epal, di tempat engkau dilahirkan.
[6] Jadikanlah aku buah hatimu; jangan peluk sesiapa pun selain aku, kerana cinta itu sekuat maut, dan nafsu berkuasa seperti kematian. Nyalanya seperti nyala api, yang berkobar dengan dahsyat.
[7] Air yang banyak tidak dapat memadamkan cinta, air bah tidak dapat menenggelamkannya. Jika seorang memberikan segala hartanya untuk membeli cinta, pasti hanya hinaan yang didapatinya.
[8] Kami mempunyai seorang adik perempuan, yang masih kecil buah dadanya. Apakah yang harus kami buat apabila pemuda datang meminangnya?
[9] Andaikata adik kami itu tembok, kami akan membina sebuah menara perak di atasnya. Tetapi jika dia itu pintu, kami akan memasang palang kayu sedar padanya.
[10] Aku ini tembok, dan buah dadaku menaranya. Kekasihku tahu bahawa bersama-sama dia, aku bahagia dan sejahtera.
[11] Raja Salomo mempunyai ladang anggur di Baal-Hamon. Pekebun menyewa ladang itu daripadanya; masing-masing membayar seribu mata wang perak untuk hasilnya.
[12] Raja Salomo menerima seribu mata wang perak, dan pekebun mendapat dua ratus sebagai bahagian mereka; tetapi aku mempunyai ladang anggurku sendiri!
[13] Biarlah kudengar suaramu dari ladang, hai sayangku; sahabat-sahabatku sedang menunggu untuk mendengar suaramu.
[14] Marilah, hai kekasihku, datanglah seperti seekor kijang, seperti anak rusa di atas gunung tempat tanaman rempah.