[1] Hai wanita yang paling jelita, ke manakah kekasihmu pergi? Katakanlah ke mana dia pergi, supaya kami dapat menolong kamu mencari dia.
[2] Kekasihku telah pergi ke tamannya, ke taman rempah-rempah untuk menggembala ternakannya di taman, sambil memetik bunga bakung.
[3] Kekasihku kepunyaanku, dan aku kepunyaannya; dia sedang menggembala ternakannya di tengah-tengah bunga bakung.
[4] Hai sayangku, engkau secantik kota Yerusalem, seindah kota Tirza. Engkau sangat mempesonakan seperti kota-kota yang besar itu.
[5] Palingkanlah wajahmu daripadaku, kerana pandanganmu membingungkan aku. Rambutmu seperti kawanan kambing yang menuruni bukit-bukit Gilead.
[6] Gigimu putih seperti kawanan domba yang baru dimandikan; berpasangan seperti anak domba kembar, tiada satu pun hilang.
[7] Pipimu seperti belahan buah delima, di balik tudungmu.
[8] Biarpun ada enam puluh orang permaisuri, dan lapan puluh orang gundik, dan gadis yang tidak terbilang,
[9] namun aku mengasihi seorang sahaja, dan dia cantik seperti burung merpati; anak tunggal kesayangan ibunya. Semua gadis melihat dan memuji dia, permaisuri dan gundik kagum akan dia.
[10] Siapakah dia yang datang seperti fajar merekah? Dia seindah bulan purnama, secerah sang suria.
[11] Aku datang ke kebun badam untuk melihat tanaman muda di lembah, sama ada pokok anggur sudah bertunas, dan sama ada pokok delima sudah berbunga.
[12] Aku sangat merindukan cintamu, seperti aku rindu menaiki kereta kuda bersama-sama para bangsawan.
[13] Menarilah, menarilah hai gadis Sulam. Biarlah kami melihat engkau menari. Mengapa kamu ingin melihat aku menari di tengah barisan penonton?