Skip to content
Opens in a new window

[1] Aku bunga mawar di Saron, bunga bakung di lembah gunung.

[2] Seperti bunga bakung antara semak berduri, demikianlah sayangku antara puteri.

[3] Bagaikan pokok epal antara pokok-pokok hutan, demikianlah sayangku antara kaum lelaki. Aku suka bernaung di bawahnya, buah-buahnya manis rasanya.

[4] Dia membawa aku ke dewan pesta, pandangannya padaku penuh cinta.

[5] Kuatkanlah aku dengan kismis, segarkanlah aku dengan epal, kerana aku sakit asmara.

[6] Tangan kirinya menopang kepalaku, tangan kanannya membelai aku.

[7] Berjanjilah, hai puteri-puteri Yerusalem, demi rusa dan kijang di padang bahawa kamu tidak akan mengganggu cinta kami.

[8] Aku mendengar suara kekasihku. Dia lari kepadaku melalui bukit dan gunung.

[9] Kekasihku seperti kijang; dia seperti anak rusa. Di balik tembok dia berdiri, dengan matanya dia menatap, dan mengintip dari kisi-kisi tingkap.

[10] Kekasihku berkata-kata kepadaku. Marilah, hai sayangku, marilah jelitaku, marilah.

[11] Musim sejuk sudah berlalu; hujan pun sudah berhenti.

[12] Bunga di padang sudah mekar. Inilah masanya untuk menyanyi; bunyi tekukur terdengar di padang.

[13] Buah ara mula masak; pokok anggur semerbak harum bunganya. Marilah, hai sayangku, marilah jelitaku, marilah.

[14] Engkau seperti burung merpati yang bersembunyi di celah-celah bukit batu. Biarlah kulihat wajahmu yang cantik itu, biarlah kudengar suaramu yang merdu.

[15] Tangkaplah rubah-rubah yang kecil itu, rubah yang merosakkan ladang anggur, kerana pokok anggur kita sedang berbunga.

[16] Kekasihku kepunyaanku, dan aku kepunyaannya. Dia menggembala dombanya di tengah-tengah bunga bakung

[17] sehingga angin fajar bertiup dan kegelapan pun hilang. Kembalilah, hai sayangku, seperti kijang, seperti anak rusa di pergunungan Beter.

Kidung Agung — Chapters