[1] Malam demi malam, di katilku, aku mimpikan kekasihku; aku mencari dia tetapi tidak menemuinya.
[2] Aku mengelilingi kota, melalui semua jalan dan lorong. Aku mencari jantung hatiku, aku mencari dia, tetapi tidak menemuinya.
[3] Peronda-peronda kota nampak aku. Aku bertanya kepada mereka, “Adakah kamu menemui kekasihku?”
[4] Sebaik sahaja aku meninggalkan mereka, aku menemui kekasihku. Aku memeluk dia dan tidak mahu melepaskannya, sehingga aku membawanya pulang ke rumah ibuku, ke bilik ibu yang melahirkan aku.
[5] Berjanjilah, hai puteri-puteri Yerusalem, demi rusa dan kijang di padang, bahawa kamu tidak akan mengganggu cinta kami.
[6] Apakah yang datang dari padang gurun, seperti kepulan asap? Harumnya seperti kemenyan dan mur yang dijual oleh pedagang.
[7] Lihat, itu tandu Raja Salomo, dikelilingi enam puluh orang askar, pahlawan-pahlawan terbaik di Israel.
[8] Semuanya handal menggunakan pedang, dan berpengalaman dalam perang. Masing-masing bersenjatakan pedang, siap menghadapi serangan pada waktu malam.
[9] Raja Salomo membuat sebuah tandu bagi dirinya daripada kayu yang paling bermutu.
[10] Tiangnya dibuat daripada perak, dan sandarannya daripada emas. Tempat duduknya beralas kain berwarna ungu, yang disulam dengan senang hati oleh puteri-puteri Yerusalem.
[11] Keluarlah, hai puteri-puteri Sion, lihatlah Raja Salomo. Baginda memakai mahkota yang dipasang bondanya, pada hari pernikahan baginda, pada hari baginda bersukacita.