[1] Alangkah cantiknya engkau, hai sayangku, engkau sungguh cantik! Matamu di balik tudung bagaikan mata merpati. Rambutmu seperti kawanan kambing yang menuruni bukit-bukit Gilead.
[2] Gigimu putih seperti kawanan domba yang baru dicukur dan dimandikan, berpasangan seperti anak domba kembar, tiada satu pun yang hilang.
[3] Bibirmu seperti pita merah, dan mulutmu cantik. Pipimu seperti belahan buah delima di balik tudungmu.
[4] Lehermu seperti menara Daud, yang dibina berlapis-lapis, kalungmu seperti seribu perisai pahlawan.
[5] Buah dadamu seperti dua anak rusa, seperti kijang kembar yang sedang merumput di antara bunga bakung.
[6] Aku akan pergi ke gunung mur dan ke bukit kemenyan, sehingga bayu pagi bertiup dan kegelapan malam hilang.
[7] Alangkah cantiknya engkau, hai sayangku, tiada cacat padamu.
[8] Marilah kepadaku, hai pengantinku, turunlah dari Lebanon; datanglah kepadaku dari pergunungan Lebanon. Turunlah dari puncak Amana, dari puncak Senir dan Hermon, tempat tinggal singa dan harimau bintang.
[9] Hai kekasih dan pengantinku, engkau memikat hatiku dengan mata dan kalungmu.
[10] Cintamu menyukakan hatiku, hai kekasih dan pengantinku. Cintamu lebih nikmat daripada wain, minyak wangimu lebih harum daripada segala rempah.
[11] Bibirmu lebih manis daripada madu, hai pengantinku. Lidahmu seperti susu dan madu, bagiku. Pakaianmu seharum Pergunungan Lebanon.
[12] Kekasih dan pengantinku seperti taman yang bertembok, taman yang bertembok, mata airku sendiri.
[13] Di sana tumbuh pokok-pokok delima dengan buah-buah yang paling lazat; bunga inai dan narwastu,
[14] kunyit, tebu, kayu manis, dan segala macam kemenyan; mur dan gaharu dengan pelbagai rempah pilihan.
[15] Taman itu diairi mata air yang memancarkan air segar, yang mengalir dari Pergunungan Lebanon.
[16] Bangkitlah, hai angin utara. Bertiuplah ke tamanku, hai angin selatan; biarlah harummu semerbak di udara. Semoga kekasihku datang ke tamanku, dan makan buah-buah yang lazat.