[1] Akulah yang tahu bagaimana rasanya dihukum oleh Allah.
[2] Dia menyeret aku ke tempat yang semakin gelap,
[3] dan bertubi-tubi memukul aku tanpa belas kasihan.
[4] Dia melukakan badanku dengan parah dan mematahkan tulang-tulangku.
[5] Dia meliputi aku dengan kesedihan dan penderitaan.
[6] Dia memaksa aku tinggal dalam kegelapan, seperti orang yang mati pada zaman silam.
[7] Dia merantai aku dengan kuat; aku dipenjarakan tanpa harapan untuk melarikan diri.
[8] Aku berseru meminta pertolongan, tetapi Allah tidak mahu mendengarkan aku.
[9] Aku berjalan terhuyung-hayang; jalanku dihalangi dengan tembok batu.
[10] Dia mengadang aku seperti seekor beruang; Dia menerkam aku seperti seekor singa.
[11] Dia mengejar aku sehingga aku menyimpang jalan, lalu mencabik-cabikkan aku dan meninggalkan aku.
[12] Dia merentangkan busur-Nya, dan menjadikan aku sasaran anak panah-Nya.
[13] Anak panah-Nya menembus tubuhku, sampai menusuk jantungku.
[14] Orang mentertawakan aku sepanjang hari; aku dijadikan bahan sindiran.
[15] Hanya kepahitan yang diberikan-Nya kepadaku sebagai minuman dan makanan.
[16] Dia menggosokkan mukaku pada tanah, dan menghantukkan gigiku pada batu sehingga patah.
[17] Aku sudah lupa akan kesihatan, kesejahteraan, dan kebahagiaan.
[18] Aku tidak akan hidup lama lagi, sudah hilang harapanku kepada TUHAN.
[19] Memikirkan pengembaraan dan penderitaanku, bagaikan makan racun yang pahit.
[20] Aku terus-menerus memikirkan hal itu, sehingga batinku tertekan.
[21] Namun harapanku bangkit kembali apabila aku teringat akan perkara ini:
[22] Kasih TUHAN abadi dan rahmat-Nya tidak berkesudahan;
[23] selalu baru setiap pagi, sesungguhnya Dia setia!
[24] TUHAN sahaja yang aku punyai, oleh itu aku berharap kepada-Nya.
[25] TUHAN baik terhadap setiap orang yang percaya kepada-Nya.
[26] Oleh itu baiklah kita menantikan Dia dengan sabar, sehingga Dia menyelamatkan kita.
[27] Baiklah kita belajar tabah hati ketika masih muda.
[28] Apabila Dia mendatangkan penderitaan, kita harus duduk sendirian dan berdiam diri.
[29] Kita harus merendahkan diri dan berserah, kerana mungkin masih ada harapan.
[30] Walaupun dipukul dan dihina, kita harus menerima semuanya.
[31] Tuhan berbelas kasihan dan tidak akan menolak kita selama-lamanya.
[32] Walaupun Dia mendatangkan penderitaan kepada kita, Dia tetap mengasihi kita dengan kasih yang tiada batas.
[33] Dia tidak suka menyebabkan kita menderita dan sedih.
[34] Tuhan tahu apabila batin kita tertekan waktu dalam tahanan;
[35] Dia tahu apabila kita kehilangan hak yang diberikan-Nya kepada kita;
[36] apabila keadilan diputarbalikkan, pasti Tuhan mengetahuinya.
[37] Kehendak Tuhan sahaja yang selalu berlaku.
[38] Kebaikan dan kejahatan berlaku hanya dengan perintah Tuhan.
[39] Mengapakah kita bersungut apabila dihukum kerana dosa kita?
[40] Marilah kita menyelidiki hidup kita, dan kembali kepada TUHAN.
[41] Marilah kita membuka hati kepada Allah di syurga dan berdoa,
[42] “Ya TUHAN, kami telah berdosa dan memberontak terhadap-Mu, dan Engkau belum lagi mengampuni kami.
[43] Engkau mengejar dan membunuh kami; kemurkaan-Mu menyembunyikan belas kasihan-Mu.
[44] Kemurkaan-Mu bagaikan awan yang sangat tebal, sehingga tidak dapat ditembusi doa.
[45] Engkau menjadikan kami seperti sampah pada pandangan seluruh dunia.
[46] Kami dihina dan dipermainkan oleh semua musuh;
[47] kami ditimpa malapetaka dan kehancuran; kami hidup dalam bahaya dan ketakutan.
[48] Air mataku mengalir seperti sungai kerana bangsaku telah hancur.
[49] Air mataku tidak akan berhenti bercucuran
[50] sehingga TUHAN dari syurga, memandang dan memperhatikan kami.
[51] Hatiku pilu apabila melihat hal yang berlaku kepada kaum wanita di kota kami.
[52] Aku diperangkap seperti burung oleh musuh yang membenci aku tanpa alasan.
[53] Mereka membuang aku hidup-hidup ke dalam lubang yang dalam, lalu menutup mulut lubang dengan batu.
[54] Air naik sampai ke kepalaku, dan aku berfikir bahawa kematianku sudah hampir.
[55] Ya TUHAN, dari dasar lubang yang dalam itu aku berseru kepada-Mu.
[56] Apabila aku memohon Engkau menolong aku, Engkau mendengarkan seruanku.
[57] Engkau mengabulkan doaku, dan berfirman kepadaku, ‘Jangan takut.’
[58] Engkau datang memperjuangkan perkaraku, ya Tuhan, dan Engkau menyelamatkan nyawaku.
[59] Engkau melihat kejahatan yang dilakukan terhadapku; oleh itu belalah perkaraku.
[60] Engkau tahu bahawa musuh membenci aku, dan mereka bermuslihat terhadapku.
[61] Engkau mendengar mereka menghina aku, ya TUHAN; Engkau tahu akan semua muslihat mereka.
[62] Sepanjang hari mereka mempercakapkan aku, dan merancang untuk mencelakakan aku.
[63] Dari pagi hingga petang mereka mengejek aku.
[64] Ya TUHAN, hukumlah mereka setimpal dengan perbuatan mereka.
[65] Kutuklah mereka dan patahkanlah semangat mereka!
[66] Burulah mereka dan hapuskanlah mereka dari dunia.”