[1] Emas yang berkilauan telah menjadi pudar; batu-batu Rumah TUHAN bertaburan di jalan.
[2] Dahulu kaum pemuda kota Sion seperti emas yang berharga, tetapi sekarang mereka diperlakukan seperti belanga tembikar.
[3] Serigala betina pun tahu menyusui anaknya, tetapi umat-Ku kejam seperti burung unta di padang gurun.
[4] Mereka membiarkan bayi mereka mati kehausan dan kelaparan; anak-anak minta makanan, tetapi tiada sesiapa pun yang memberikan makanan.
[5] Orang yang dahulu makan makanan terbaik, sekarang mati kelaparan di jalan; mereka yang dahulu hidup mewah, sekarang mengorek sampah mencari makanan.
[6] Bangsaku telah dihukum lebih berat daripada penduduk Sodom, yang musnah dalam sekelip mata kerana dihukum oleh Allah.
[7] Dahulu para pemimpin kami murni seperti salji yang putih bersih. Mereka tegap dan kuat, segar bugar dan sihat.
[8] Tetapi sekarang mereka terlantar di jalan dan tidak dikenali orang, muka mereka menjadi lebih hitam daripada jelaga, kulit mereka kerepot dan melekat pada tulang, seperti kayu yang kering kerontang.
[9] Mereka menderita dan mati perlahan-lahan, kerana sama sekali tidak mempunyai makanan. Orang yang mati di medan pertempuran, lebih beruntung daripada orang yang mati kelaparan.
[10] Bencana yang menimpa bangsaku sangat mengerikan; sehingga ibu yang penyayang terpaksa memasak anak sendiri untuk dimakan.
[11] TUHAN melampiaskan kemurkaan-Nya dan membakar kota Sion sampai musnah.
[12] Di kalangan raja-raja dan penduduk dunia tidak seorang pun yang percaya bahawa pintu gerbang Yerusalem dapat dimasuki musuh.
[13] Tetapi hal itu berlaku kerana nabi-nabinya telah berdosa, dan imam-imamnya membunuh orang yang tidak bersalah.
[14] Para pemimpin kota Yerusalem bagai orang buta yang berjalan tidak tentu arah. Pakaian mereka berlumuran darah sehingga tiada seorang pun mahu menyentuh mereka.
[15] Orang berkata, “Pergi dari sini! Kamu najis, jangan sentuh kami!” Oleh itu mereka mengembara dari negeri ke negeri, tetapi tidak disambut oleh sesiapa pun.
[16] TUHAN tidak mempedulikan mereka lagi; Dia sendiri mencerai-beraikan mereka. Dia tidak lagi menghargai para imam atau mengasihani para pemimpin.
[17] Mata kami penat memandang, menantikan bantuan yang tidak kunjung datang. Kami mengharapkan pertolongan daripada bangsa yang sebenarnya tidak dapat memberikan apa-apa.
[18] Musuh selalu mengawasi kami, sehingga kami tidak dapat keluar ke jalan. Kematian kami sudah dekat, kerana hidup kami sudah berakhir.
[19] Orang yang mengejar kami lebih pantas daripada burung helang. Mereka memburu kami di bukit-bukit, dan mengadang kami di padang gurun.
[20] Mereka menangkap orang yang memberi kami hidup, iaitu raja pilihan TUHAN; orang yang kami percayai untuk melindungi kami daripada penyerbu.
[21] Tertawalah, hai penduduk Edom dan Us, bergembiralah, selagi kamu dapat tertawa. Kamu pun akan ditimpa bencana, dan menelanjangi diri kerana kamu mabuk.
[22] Sion telah menjalani hukuman kerana dosanya; kini TUHAN tidak akan membiarkan kami tinggal di tempat pembuangan lagi. Tetapi engkau, hai Edom, akan dihukum oleh TUHAN; dosa-dosamu akan didedahkan.