Skip to content
Opens in a new window

[1] Dalam keadaan murka, Tuhan telah menyelubungi Sion dengan kegelapan. Dia mengubah keagungan Israel yang setinggi langit menjadi runtuhan. Ketika Dia murka, Rumah-Nya pun ditinggalkan.

[2] Tuhan memusnahkan semua kampung di Yehuda tanpa belas kasihan, Dia merobohkan kubu-kubu yang menjadi pertahanan negeri. Dia mempermalukan kerajaan serta para penguasanya.

[3] Dengan murka Dia memusnahkan kekuatan Israel; Dia tidak mahu menolong kita ketika musuh datang. Kemurkaan-Nya terhadap kita menyala-nyala bagaikan api menghanguskan segala sesuatu.

[4] Dia membidikkan panah ke arah kita seolah-olah kita ini musuh-Nya; Dia membunuh semua orang yang menjadi kesukaan dan kebanggaan kita. Di kota Yerusalem kita merasakan api kemurkaan-Nya.

[5] Seperti musuh, Tuhan telah membinasakan Israel; Dia memusnahkan semua kubu dan istananya. Dia menambah kedukaan penduduk Yehuda.

[6] Dia menghancurkan Rumah TUHAN tempat kita menyembah Dia; Dia menghapuskan semua perayaan dan hari Sabat. Raja dan imam semuanya menderita akibat kemurkaan-Nya.

[7] Tuhan menolak mazbah-Nya dan meninggalkan Rumah-Nya yang suci; Dia membiarkan musuh merobohkan temboknya. Musuh bersorak-sorak kerana menang di tempat kita beribadat dengan sukacita dahulu.

[8] TUHAN telah mengambil keputusan untuk merobohkan tembok Sion; Dia mengukur tembok itu supaya semuanya dihancurkan-Nya. Menara dan tembok kini menjadi runtuhan belaka.

[9] Pintu-pintu gerbang roboh ditimbun runtuhan, dan palang-palangnya patah. Raja dan para pemimpin kini di negeri pembuangan. Taurat tidak lagi diajarkan, dan para nabi tidak lagi menerima penglihatan daripada TUHAN.

[10] Orang tua di Yerusalem duduk membisu di atas tanah, menaruh debu di kepala dan memakai kain guni. Gadis-gadis menundukkan kepala sampai ke tanah.

[11] Mataku bengkak kerana menangis tanpa berhenti; jiwaku merana tidak terperi. Hatiku hancur melihat kebinasaan bangsaku, melihat kanak-kanak dan bayi pengsan di jalan kota.

[12] Mereka berseru kepada ibu mereka kerana lapar dan dahaga; mereka jatuh di tengah jalan seolah-olah cedera, lalu meninggal di pangkuan ibu mereka.

[13] Hai Yerusalem, kota Sion yang tercinta, apakah yang dapat kukatakan? Aku tidak dapat menghibur engkau. Belum pernah sesiapa pun menderita seperti engkau. Bencana sebesar samudera telah menimpamu; tiada lagi harapan bagi engkau.

[14] Nabi-nabimu hanya tahu berdusta; mereka menipu engkau dengan tidak menyatakan dosamu. Mereka membuat engkau berfikir bahawa engkau tidak perlu bertaubat.

[15] Semua orang yang lalu di kotamu menghina engkau. Mereka menggeleng-gelengkan kepala dan tertawa melihat runtuhan Yerusalem. “Inikah kota yang disebut paling indah dan menjadi kebanggaan dunia?” tanya mereka.

[16] Semua musuhmu mengolok-olok engkau dan memandang engkau dengan benci. Mereka mencebikkan bibir sambil menista, “Kami sudah memusnahkan engkau! Inilah hari yang kami nanti-nantikan!”

[17] Akhirnya TUHAN melakukan apa yang telah diancamkan-Nya; Dia membinasakan kita tanpa belas kasihan seperti yang diperingatkan-Nya kepada kita dahulu. Dia memberi musuh kita kemenangan, dan mereka bersukacita kerana kejatuhan kita.

[18] Hai Yerusalem, biarlah tembokmu berseru kepada Tuhan! Biarlah air matamu bercucuran seperti sungai yang mengalir siang dan malam. Teruslah menangis dan berdukalah sehingga habis tenagamu.

[19] Bangunlah berkali-kali sepanjang malam, dan berserulah kepada Tuhan; curahkanlah isi hatimu dan mohonlah belas kasihan untuk anak-anakmu, anak-anak yang sedang kelaparan di tiap-tiap simpang jalan.

[20] Pandanglah, ya TUHAN! Pandanglah mereka yang Engkau seksa! Kaum wanita makan anak-anak yang dikasihi mereka! Para imam dan nabi dibunuh di dalam Rumah TUHAN!

[21] Orang tua dan muda semuanya mati di jalan-jalan, pemuda dan pemudi dibunuh dengan pedang musuh. Engkau membunuh mereka tanpa belas kasihan pada hari Engkau murka.

[22] Engkau menjemput musuhku mengadakan pesta keganasan di sekelilingku; tiada seorang pun dapat menyelamatkan diri pada hari Engkau murka. Mereka membunuh anak-anakku yang telah aku pelihara dan kasihi.

Ratapan — Chapters