[1] Hai orang Benyamin, larilah untuk menyelamatkan diri! Tinggalkanlah Yerusalem! Bunyikan trompet di Tekoa dan nyalakan api isyarat di Bet-Kerem! Bencana dan malapetaka hampir tiba dari utara.
[2] Kota Sion indah sekali, tetapi kota itu akan dimusnahkan;
[3] raja-raja dengan tentera mereka akan berkhemah di sana. Mereka akan memasang perkhemahan di sekeliling kota itu, masing-masing di tempat yang disukai.
[4] Mereka akan berkata, “Bersiaplah untuk menyerang Yerusalem! Bersiaplah! Kita akan menyerbunya pada waktu tengah hari!” Tetapi kemudian mereka akan berkata, “Sudah terlambat! Hari sudah mulai gelap, bayang-bayang sudah mula memanjang.
[5] Kita akan menyerbu pada waktu malam, dan menghancurkan kubu-kubu kota itu.”
[6] TUHAN Yang Maha Kuasa telah memerintah raja-raja itu untuk menebang pokok dan membuat tambak untuk mengepung Yerusalem. TUHAN berfirman, “Aku akan menghukum kota ini kerana banyak sekali penindasan berlaku di situ.
[7] Sebagaimana mata air tetap mengeluarkan air, begitu pula kota itu tetap menghasilkan kejahatan. Aku mendengar tentang keganasan dan kemusnahan di kota itu; Aku nampak penyakit dan luka di situ.
[8] Hai penduduk Yerusalem, biarlah kesusahan itu menjadi amaran bagi kamu! Jika kamu tidak mengendahkan amaran itu, Aku akan meninggalkan kamu; Aku akan mengubah kota kamu menjadi gurun yang tidak didiami orang.”
[9] TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepadaku, “Israel akan disapu habis seperti ladang anggur yang buah anggurnya telah dipetik semua. Oleh itu, sementara masih ada masa, selamatkanlah orang yang masih hidup.”
[10] Aku menjawab, “Siapakah yang akan mendengar aku jika aku memberikan amaran kepada mereka? Mereka degil dan tidak mahu mendengar perkhabaran-Mu; mereka mentertawakan perkhabaran-Mu yang kusampaikan.
[11] Kemurkaan-Mu terhadap mereka juga membara dalam diriku, ya TUHAN! Aku tidak dapat menahannya lagi.” Kemudian TUHAN berfirman, “Lampiaskanlah kemurkaan-Ku terhadap anak-anak di jalan-jalan raya dan kepada orang muda yang sedang berkumpul. Suami isteri akan ditangkap, dan orang yang sudah lanjut usia pun akan ditangkap.
[12] Rumah mereka akan diberikan kepada orang lain, begitu juga ladang dan isteri mereka. Aku akan menghukum penduduk negeri ini.
[13] Semua orang yang besar mahupun yang kecil, mencari keuntungan dengan cara yang tidak jujur. Bahkan nabi dan imam pun menipu orang.
[14] Mereka menganggap luka-luka umat-Ku sebagai luka kecil sahaja. Mereka berkata, ‘Semuanya baik dan aman.’ Tetapi sebenarnya sama sekali tidak baik dan tidak aman.
[15] Adakah mereka malu kerana melakukan semua perbuatan yang keji itu? Tidak, mereka sama sekali tidak tahu malu; mereka sudah tebal muka. Oleh sebab itu mereka akan jatuh seperti orang lain; riwayat mereka akan tamat apabila Aku menghukum mereka. Aku, TUHAN telah berfirman.”
[16] TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Berdirilah di persimpangan jalan dan perhatikanlah baik-baik! Tanyakanlah jalan-jalan purba, dan yang manakah jalan terbaik. Kemudian ikutilah jalan itu, maka kamu akan hidup dengan tenteram.” Tetapi mereka berkata, “Tidak, kami tidak mahu mengikuti jalan itu!”
[17] Kemudian TUHAN melantik penjaga-penjaga untuk mendengarkan bunyi isyarat trompet. Tetapi mereka berkata, “Kami tidak mahu mendengarkan.”
[18] Oleh itu TUHAN berfirman, “Dengarlah hai bangsa-bangsa! Kamu harus tahu apa yang akan berlaku terhadap umat-Ku.
[19] Dengarlah, hai bumi! Umat-Ku tidak mahu menerima ajaran-Ku dan tidak taat kepada-Ku. Oleh itu, Aku mendatangkan malapetaka kepada mereka sebagai hukuman terhadap segala rancangan mereka.
[20] Apakah gunanya kemenyan dari Syeba yang dibawa mereka kepada-Ku, atau rempah-rempah dari negeri jauh? Aku tidak mahu menerima persembahan mereka. Aku tidak suka akan korban-korban mereka.
[21] Oleh itu, Aku akan menyebabkan mereka tersandung dan jatuh. Bapa dan anak, kawan dan jiran akan mati.”
[22] TUHAN berfirman, “Orang akan datang dari suatu negeri di utara; suatu bangsa yang kuat di negeri jauh sedang bersiap untuk berperang.
[23] Mereka bersenjatakan panah dan pedang; mereka bengis dan tidak kenal ampun. Bunyi derap kuda mereka yang sedang dipacu bagaikan bunyi laut yang bergelora. Mereka sudah bersiap untuk menyerang Yerusalem.”
[24] Penduduk Yerusalem berkata, “Kami telah mendengar berita itu dan kami patah semangat. Kami dicekam perasaan takut dan kesakitan seperti wanita yang bersalin.
[25] Kami tidak berani berjalan di jalan raya atau pergi ke ladang, kerana di mana-mana musuh yang bersenjata menimbulkan ketakutan.”
[26] TUHAN berfirman kepada umat-Nya, “Pakailah kain guni dan berguling-gulinglah dalam abu. Berkabunglah dan merataplah dengan pedih seperti orang meratapi kematian anak lelaki yang tunggal, kerana pembinasa akan menyerang kamu dengan tiba-tiba.”
[27] Kemudian TUHAN berfirman kepada Yeremia, “Ujilah umat-Ku, seperti engkau menguji logam. Selidikilah kelakuan mereka!
[28] Mereka semua pemberontak yang keras kepala, sekeras gangsa dan besi. Mereka berkelakuan buruk dan berjalan ke mana-mana untuk menyebarkan berita yang menjahatkan orang lain.
[29] Peleburan sudah sangat panas, tetapi kotoran logam tidak juga menjadi cair dan hilang. Sia-sia sahaja umat-Ku terus-menerus diuji untuk dimurnikan, kerana mereka yang jahat tidak disingkirkan.
[30] Mereka akan dinamakan tahi leburan yang tidak berguna, kerana Aku, TUHAN, telah membuang mereka.”