Skip to content
Opens in a new window

[1] Ketika aku masih ditahan di halaman istana, TUHAN menyampaikan perkhabaran lain kepadaku.

[2] TUHAN, yang menciptakan bumi dan membentuk serta meletakkannya di tempatnya, berfirman kepadaku. Dia yang bernama TUHAN berfirman,

[3] “Berserulah kepada-Ku, maka Aku akan menjawab; Aku akan memberitahu engkau hal-hal yang indah dan mengagumkan, yang belum engkau ketahui.

[4] Aku, TUHAN, Allah Israel, berfirman bahawa rumah-rumah di Yerusalem dan istana raja Yehuda akan dirobohkan, akibat kepungan dan serangan musuh.

[5] Beberapa orang akan berperang melawan orang Babilonia, yang akan memenuhkan rumah-rumah dengan mayat orang yang Aku pukul sehingga mati ketika Aku murka dan berang. Aku telah meninggalkan kota ini kerana kejahatan penduduknya.

[6] Tetapi kelak Aku akan memulihkan keadaan kota ini dan menyembuhkan penduduknya. Aku akan melimpahkan kedamaian dan keamanan kepada mereka.

[7] Aku akan menjadikan Yehuda dan Israel makmur, dan membangun mereka semula sehingga menjadi seperti dahulu.

[8] Aku akan menyucikan mereka daripada dosa mereka terhadap-Ku; Aku akan mengampunkan dosa dan pemberontakan mereka.

[9] Yerusalem akan menjadi kegembiraan, kehormatan, dan kebanggaan-Ku. Semua bangsa di dunia akan takut dan gentar, apabila mendengar tentang segala kebaikan yang Aku lakukan untuk penduduk Yerusalem, dan tentang kemakmuran yang Aku berikan kepada kota itu.”

[10] TUHAN berfirman, “Orang berkata bahawa tempat ini seperti gurun, dan tiada orang atau binatang yang tinggal di sini. Kata-kata mereka memang benar, kerana kota-kota Yehuda dan jalan-jalan di Yerusalem lengang semuanya; tiada orang atau binatang yang tinggal di situ. Tetapi di tempat-tempat itu akan terdengar lagi

[11] suara kesukaan dan kegembiraan serta keriuhan pesta perkahwinan. Kami akan mendengar orang menyanyi sambil mereka membawa korban kesyukuran ke Rumah-Ku. Mereka akan berkata, ‘Bersyukurlah kepada TUHAN Yang Maha Kuasa, kerana Dia baik dan kasih-Nya kekal abadi.’ Aku akan menjadikan negeri ini makmur seperti dahulu. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

[12] TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Di negeri yang seperti padang gurun ini, yang tidak didiami oleh manusia ataupun binatang, sekali lagi akan terdapat padang rumput, tempat orang menggembalakan domba mereka.

[13] Di kota-kota di kawasan perbukitan, di kaki bukit, di bahagian selatan Yehuda, di wilayah Benyamin, di pekan-pekan di sekitar Yerusalem, dan di kota-kota Yehuda, sekali lagi para gembala akan menghitung domba mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.”

[14] TUHAN berfirman, “Akan tiba masanya apabila Aku menepati janji-Ku kepada penduduk Israel dan Yehuda.

[15] Pada masa itu Aku akan memilih seorang yang adil daripada keturunan Daud untuk menjadi raja. Raja itu akan melakukan apa yang benar dan adil di seluruh negeri.

[16] Penduduk Yehuda dan Yerusalem akan diselamatkan, dan mereka akan hidup dengan aman. Kota itu akan dinamakan ‘TUHAN Penyelamat Kita’.

[17] Aku, TUHAN, berjanji bahawa selalu akan ada seorang daripada keturunan Daud yang menjadi raja Israel;

[18] dan selalu akan ada imam daripada suku Lewi untuk mengabdi kepada-Ku dan mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Ku, korban untuk mengucap syukur kepada-Ku, dan korban-korban lain.”

[19] TUHAN berfirman kepadaku,

[20] “Aku telah membuat perjanjian dengan siang dan malam, supaya siang dan malam selalu datang tepat pada waktunya. Perjanjian itu tidak dapat dibatalkan.

[21] Demikian juga Aku telah membuat perjanjian dengan hamba-Ku Daud, bahawa daripada keturunannya selalu akan ada seorang yang menjadi raja; dan Aku telah membuat perjanjian dengan para imam keturunan Lewi, bahawa mereka akan selalu mengabdi kepada-Ku. Perjanjian-perjanjian itu tidak sekali-kali akan dibatalkan.

[22] Aku akan menambah bilangan keturunan hamba-Ku Daud, dan bilangan para imam keturunan Lewi, sehingga jumlah mereka tidak dapat dihitung seperti bintang di langit dan pasir di pantai.”

[23] TUHAN berfirman kepadaku,

[24] “Adakah engkau tahu orang berkata bahawa Aku telah menolak Israel dan Yehuda, dua keluarga yang telah Kupilih itu? Orang menghina umat-Ku dan tidak lagi menganggap mereka sebagai satu bangsa.

[25] Tetapi Aku, TUHAN, mempunyai perjanjian dengan siang dan malam, dan Aku telah membuat hukum yang menguasai langit dan bumi.

[26] Sebagaimana hal itu tidak dapat dibatalkan, demikian juga perjanjian-Ku dengan keturunan Yakub dan dengan hamba-Ku Daud, tidak dapat dibatalkan. Aku akan memilih seorang daripada keturunan Daud untuk memerintah keturunan Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan mengasihani umat-Ku dan menjadikan mereka makmur semula.”

Yeremia — Chapters