[1] Hai umat Israel, dengarlah perkhabaran TUHAN kepada kamu.
[2] Dia berfirman, “Jangan ikut kebiasaan bangsa-bangsa lain; jangan gentar melihat tanda-tanda yang luar biasa di langit, walaupun bangsa-bangsa lain takut.
[3] Agama bangsa-bangsa itu tidak berguna sama sekali. Orang menebang sebatang pokok kayu di hutan; lalu tukang kayu mengukir batang pokok itu dengan alat pengukir,
[4] kemudian menghiasnya dengan emas dan perak. Kayu yang berukir itu ditegakkan dengan paku untuk menahannya daripada terjatuh.
[5] Patung-patung berhala itu bagaikan orang-orangan di kebun mentimun; patung berhala tidak dapat bercakap; patung berhala harus diangkat kerana tidak dapat berjalan. Jangan takut akan patung berhala; patung berhala tidak dapat mencederakan kamu, dan tidak dapat mendatangkan kebaikan kepada kamu.”
[6] Ya TUHAN, Engkau tiada taranya; Engkau sungguh perkasa, nama-Mu agung dan berkuasa.
[7] Siapa yang tidak mahu menghormati Engkau, raja semua bangsa? Engkau patut dihormati oleh semua. Engkau tiada taranya antara semua orang bijak daripada bangsa-bangsa, atau antara raja-raja mereka.
[8] Mereka semua bebal dan bodoh. Apakah yang dapat dipelajari mereka daripada patung berhala yang dibuat daripada kayu?
[9] Berhala mereka disaluti perak dari Sepanyol, dan disaluti emas dari Ufas; semuanya karya para tukang. Pakaian berhala daripada kain ungu tua dan ungu muda, ditenun oleh para penenun yang mahir.
[10] Tetapi Engkau, TUHAN, Allah yang benar, Engkau Allah yang hidup, raja yang kekal. Apabila Engkau murka, dunia gementar, bangsa-bangsa tidak tahan menghadapi kemurkaan-Mu. (
[11] Hai umat, kamu harus memberitahu mereka bahawa dewa-dewa yang tidak menciptakan langit dan bumi akan dibinasakan. Dewa-dewa itu akan lenyap dari muka bumi.)
[12] TUHAN menjadikan bumi dengan kuasa-Nya; dengan hikmat-Nya Dia menciptakan dunia dan membentangkan langit.
[13] Dengan perintah-Nya air di cakerawala menderu; Dia membawa awan dari hujung bumi. Dia menyebabkan kilat memancar dalam hujan, dan mengirimkan angin dari tempat penyimpanan.
[14] Melihat semua itu manusia sedar bahawa mereka bodoh dan tidak mempunyai pengertian. Orang yang membuat berhala berasa hampa kerana berhala buatan mereka itu palsu dan tidak bernyawa.
[15] Berhala-berhala itu tidak berguna dan sepatutnya dihina. Semuanya akan dimusnahkan apabila TUHAN datang untuk menjatuhkan hukuman.
[16] Allah Yakub tidak seperti berhala-berhala itu; Dialah pencipta segala sesuatu. Dia telah memilih Israel menjadi umat-Nya. TUHAN Yang Maha Kuasa ialah nama-Nya.
[17] Hai penduduk Yerusalem, kamu dikepung! Oleh itu, kumpulkanlah barang-barang kamu.
[18] TUHAN akan membuang kamu dari negeri ini; Dia akan meremukkan kamu sehingga tidak seorang pun tertinggal. Demikianlah firman TUHAN.
[19] Penduduk Yerusalem berseru, “Kami luka parah! Luka kami tidak akan sembuh. Dahulu kami sangka bahawa penderitaan ini dapat kami tanggung, tetapi sebenarnya tidak.
[20] Khemah kami rosak; tali-talinya semua putus. Anak-anak kami semuanya sudah pergi; tiada lagi yang dapat memasang khemah kami; tiada lagi yang dapat menggantungkan kain khemah.”
[21] Aku menjawab, “Para pemimpin kita bodoh. Mereka tidak minta petunjuk daripada TUHAN. Itulah sebabnya mereka tidak berjaya, dan bangsa kita terserak ke mana-mana.
[22] Dengarlah! Berita sudah tiba! Ada suatu bangsa di utara yang menimbulkan huru-hara. Tenteranya akan menjadikan kota-kota Yehuda sepi dan tidak berpenghuni, sehingga menjadi tempat tinggal anjing hutan.”
[23] Ya TUHAN, aku insaf bahawa tiada seorang pun berkuasa atas hidupnya; tiada seorang pun dapat mengendalikan jalan hidupnya.
[24] Ya TUHAN, hukumlah umat-Mu; tetapi jangan terlalu keras, dan jangan hukum kami ketika Engkau sedang murka, kerana tentu kami semua akan binasa.
[25] Lampiaskanlah kemurkaan-Mu kepada bangsa-bangsa yang tidak menyembah Engkau, dan kepada orang yang menolak Engkau. Mereka telah membinasakan umat-Mu; mereka telah menghancurkan kami sama sekali dan memusnahkan negeri kami.