[1] TUHAN berfirman, “Aku sedang mendatangkan angin yang memusnahkan ke arah Babilonia dan penduduknya.
[2] Aku akan mengirim orang bangsa asing untuk memusnahkan Babilonia seperti angin yang meniupkan jerami. Apabila hari kemusnahan itu tiba, mereka akan menyerang dari segala arah, lalu menjadikan negeri itu kosong.
[3] Jangan berikan peluang kepada askarnya untuk memanah atau mengenakan baju zirah. Jangan biarkan kaum pemudanya hidup! Binasakanlah seluruh angkatan tenteranya!
[4] Mereka akan cedera dan mati di jalan-jalan kota mereka.
[5] Aku TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, belum meninggalkan Israel dan Yehuda, walaupun mereka telah berdosa terhadap Aku, Yang Maha Suci, Allah Israel.
[6] Larilah dari Babilonia! Selamatkanlah diri kamu! Jangan terbunuh kerana dosa orang Babilonia. Sekarang Aku sedang membalas dendam-Ku dan menghukum mereka setimpal dengan perbuatan mereka.
[7] Dahulu Babilonia seperti cawan emas dalam tangan-Ku, dan menyebabkan semua bangsa di bumi mabuk. Bangsa-bangsa minum wain dari cawan itu sehingga mereka menjadi gila.
[8] Tiba-tiba Babilonia jatuh dan musnah! Berkabunglah kerana kejatuhannya! Ubatilah luka-lukanya, dan mungkin Babilonia akan sembuh.
[9] Orang bangsa asing yang tinggal di situ berkata, ‘Kami cuba menolong Babilonia, tetapi sudah terlambat. Tinggalkanlah Babilonia dan marilah pulang. Allah telah menghukum Babilonia dengan berat dan memusnahkannya sama sekali.’ ”
[10] TUHAN berfirman, “Umat-Ku berseru, ‘TUHAN telah menunjukkan bahawa kita benar. Marilah kita beritahu penduduk Yerusalem apa yang telah dilakukan oleh TUHAN, Allah kita.’ ”
[11] TUHAN telah menggerakkan hati raja-raja Media kerana Dia hendak memusnahkan Babilonia. Demikianlah caranya Dia membalas dendam kerana Rumah-Nya telah dimusnahkan. TUHAN memberikan perintah, “Tajamkanlah panah! Siapkanlah perisai!
[12] Berikanlah isyarat untuk menyerang tembok kota Babel. Kuatkanlah pengawalan! Tugaskanlah askar-askar di tempat masing-masing! Adanglah musuh!” TUHAN telah melakukan apa yang difirmankan-Nya tentang orang Babilonia.
[13] Negeri itu sangat kaya dan sungainya banyak, tetapi kesudahannya sudah tiba dan masa hidupnya sudah habis.
[14] TUHAN Yang Maha Kuasa telah bersumpah demi diri-Nya sendiri bahawa Dia akan mendatangkan orang sebanyak sekawanan belalang untuk menyerang Babilonia, dan mereka akan meneriakkan sorak kemenangan.
[15] TUHAN menciptakan bumi dengan kuasa-Nya; Dia menciptakan dunia dengan hikmat-Nya, dan membentangkan langit dengan pengertian-Nya.
[16] Atas perintah-Nya air di atas langit menderu; Dia mendatangkan awan dari hujung bumi. Dia menyebabkan kilat memancar di dalam hujan, dan mengeluarkan angin dari tempat penyimpanan.
[17] Melihat semua itu, manusia tertegun dan berasa bodoh; orang yang membuat berhala kecewa kerana dewa-dewa itu palsu dan tidak bernyawa.
[18] Dewa-dewa itu tidak berguna dan harus dihina; semua itu akan dimusnahkan apabila TUHAN datang untuk menjatuhkan hukuman.
[19] Allah Yakub tidak seperti dewa-dewa itu; Dialah pencipta segala sesuatu, dan Dia telah memilih Israel menjadi umat-Nya sendiri. Nama-Nya ialah TUHAN Yang Maha Kuasa.
[20] TUHAN berfirman, “Hai Babilonia, engkau bagaikan tukul-Ku dan senjata perang-Ku. Aku menggunakan engkau untuk menghancurkan bangsa-bangsa,
[21] untuk menghancurkan kuda dan penunggangnya, untuk menghancurkan kereta kuda dan pengenderanya,
[22] untuk membunuh lelaki dan wanita, untuk membinasakan orang tua dan orang muda, untuk membunuh anak lelaki dan anak perempuan,
[23] untuk menyembelih gembala dan kawanan domba, untuk menyembelih pembajak dan kuda mereka, untuk meremukkan para penguasa dan pegawai mereka.”
[24] TUHAN berfirman, “Engkau akan melihat Aku membalas Babilonia dan penduduknya bagi segala kejahatan yang dilakukan mereka terhadap Yerusalem.
[25] Hai Babilonia, engkau bagaikan gunung yang memusnahkan seluruh dunia, tetapi Aku, TUHAN ialah musuhmu. Aku akan mengacungkan tangan untuk meratakan engkau dan membiarkan engkau terbakar sehingga menjadi abu.
[26] Tiada satu batu pun daripada runtuhanmu akan digunakan semula sebagai bahan binaan. Engkau akan menjadi seperti gurun selama-lamanya. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
[27] “Berikanlah tanda untuk berperang! Tiuplah trompet supaya didengar oleh bangsa-bangsa! Siapkanlah bangsa-bangsa untuk berperang dengan Babilonia! Suruhlah kerajaan Ararat, Mini, dan Askenas berperang. Lantiklah seorang pegawai tentera untuk memimpin serangan itu. Kerahkanlah kuda yang sebanyak kawanan belalang!
[28] Siapkanlah bangsa-bangsa untuk berperang dengan Babilonia. Panggillah raja-raja Media, para pemimpin dan pegawai tentera mereka, dan juga tentera semua negeri di bawah jajahan mereka.
[29] Bumi bergoncang dan bergoyang kerana TUHAN sedang melaksanakan rancangan-Nya untuk menjadikan Babilonia gurun, tempat yang tidak didiami manusia.
[30] Askar-askar Babilonia tidak lagi berperang. Mereka telah hilang keberanian, dan sedang bersembunyi di dalam kubu-kubu; mereka takut seperti perempuan. Pintu gerbang kota telah dirobohkan dan rumah-rumah terbakar.
[31] Para utusan susul-menyusul untuk memberitahu raja Babilonia bahawa kotanya telah ditembusi dari setiap penjuru.
[32] Musuh telah merebut tempat penyeberangan sungai dan membakar kubu-kubu pertahanan. Askar-askar Babilonia cemas.
[33] Tidak lama lagi musuh akan mengalahkan mereka dan memijak-mijak mereka seperti orang memijak-mijak gandum di tempat mengirik gandum. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah Israel, telah berfirman.”
[34] Raja Babilonia telah memotong-motong Yerusalem dan memakannya. Dia mengosongkan kota itu seperti orang mengosongkan tempayan. Seperti raksasa, dia menelan kota itu. Dia mengambil apa yang disukainya, dan yang lain dibuangnya.
[35] Hendaklah penduduk Sion berkata, “Biarlah Babilonia ditimpa keganasan yang dilakukannya terhadap kita!” Hendaklah penduduk Yerusalem berkata, “Biarlah Babilonia ditimpa penderitaan yang ditimpakannya kepada kita!”
[36] Oleh itu TUHAN berfirman kepada penduduk Yerusalem, “Aku akan membela perkaramu dan membalas musuh kamu atas perbuatan mereka terhadap kamu. Aku akan mengeringkan sumber-sumber air di Babilonia dan mengeringkan sungai-sungainya.
[37] Negeri itu akan menjadi timbunan runtuhan yang didiami binatang liar. Keadaannya akan mengerikan; orang tidak akan tinggal di situ, dan semua orang ngeri melihatnya.
[38] Penduduk Babilonia mengaum seperti singa, dan menggeram seperti anak singa.
[39] Sementara nafsu makan mereka memuncak, Aku akan menjamu mereka, dan menjadikan mereka mabuk dan pening. Mereka akan tertidur dan tidak bangun-bangun lagi.
[40] Aku akan membawa mereka supaya disembelih seperti anak domba, domba jantan, dan kambing. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
[41] TUHAN berfirman, “Kota yang dipuji oleh seluruh bumi telah ditawan! Babel sudah menjadi tempat yang menggerunkan bagi bangsa-bangsa!
[42] Laut telah meluap ke Babel dan meliputinya dengan ombak yang bergemuruh.
[43] Kota-kota di negeri itu menggerunkan; keadaannya seperti gurun yang tidak berair, yang tidak didiami atau dilalui oleh sesiapa pun.
[44] Aku akan menghukum Bel, dewa negeri Babilonia, dan membuatnya menyerahkan barang-barang curiannya. Bangsa-bangsa tidak akan menyembahnya lagi. Tembok kota Babel sudah roboh.
[45] Hai umat Israel, larilah dari situ! Selamatkanlah diri daripada kemurkaan-Ku yang berkobar-kobar.
[46] Jangan takut atau hilang keberanian kerana mendengar khabar angin. Setiap tahun ada sahaja khabar angin - khabar angin tentang keganasan di dalam negeri dan tentang raja-raja yang saling berperang.
[47] Masanya akan tiba apabila Aku menghukum berhala-berhala Babilonia. Seluruh negeri itu akan dipermalukan, dan semua rakyatnya dibunuh.
[48] Segala sesuatu di bumi dan di langit akan bersorak apabila negeri Babilonia jatuh ke tangan bangsa dari utara yang datang untuk memusnahkannya.
[49] Babilonia telah menyebabkan kematian orang dari seluruh dunia; tetapi sekarang Babilonia akan jatuh, kerana menyebabkan kematian banyak sekali orang Israel. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
[50] TUHAN berfirman kepada umat-Nya di Babilonia, “Kamu telah terlepas daripada maut. Sekarang larilah! Jangan tunggu lagi! Walaupun kamu jauh dari rumah, ingatlah Aku, TUHAN kamu, dan kenangilah Yerusalem.
[51] Kamu berkata, ‘Kami telah dihina dan dipermalukan; kami tidak berdaya sama sekali kerana orang bangsa asing telah menduduki bilik-bilik suci di Rumah TUHAN.’
[52] Oleh itu perhatikanlah firman-Ku ini. Masanya akan tiba apabila Aku menghukum berhala-berhala kota Babel. Semua orang yang cedera akan mengerang di seluruh negeri.
[53] Walaupun Babel dapat naik ke langit dan membina sebuah kubu yang kuat di situ, Aku masih akan menyuruh orang menghancurkannya. Aku, TUHAN, telah berfirman.”
[54] TUHAN berfirman, “Dengarlah tangisan di Babel, orang meratap kerana kemusnahan di negeri itu.
[55] Aku sedang memusnahkan Babel, dan menjadikannya lengang. Tentera musuh meluru seperti gelombang yang menderu, dan dengan bertempik mereka menyerbu.
[56] Musuh datang untuk memusnahkan Babel; askar-askarnya telah ditangkap, busur mereka telah dipatahkan. Aku, Allah yang menghukum kejahatan; Aku akan memperlakukan Babel setimpal dengan perbuatannya.
[57] Aku akan menyebabkan penguasa-penguasanya mabuk - orangnya yang bijaksana, para pemimpinnya, dan askar-askarnya. Mereka akan tertidur dan tidak bangun-bangun lagi. Aku, Raja telah berfirman; Akulah TUHAN Yang Maha Kuasa.
[58] Tembok kota Babel yang kuat itu akan runtuh ke tanah, pintu-pintu gerbangnya yang tinggi akan dibakar. Usaha bangsa-bangsa semuanya sia-sia, semua itu akhirnya habis terbakar juga. Aku, TUHAN Yang Maha Kuasa, telah berfirman.”
[59] Pembantu peribadi kepada Raja Zedekia ialah Seraya anak Neria, cucu Mahseya. Pada tahun keempat pemerintahan Raja Zedekia di Yehuda, Seraya mengikut raja ke Babilonia. Aku menyuruh dia membawa beberapa pesan.
[60] Di dalam sebuah kitab aku mencatat semua kemusnahan yang akan menimpa Babilonia, dan juga semua hal lain tentang negeri itu.
[61] Aku berkata kepada Seraya, “Apabila kamu sampai di Babel, usahakanlah supaya semua yang tercatat di dalam kitab ini kamu bacakan kepada orang di sana.
[62] Selepas itu berdoalah begini, ‘Ya TUHAN, Engkau telah berfirman bahawa Engkau akan memusnahkan negeri ini, sehingga tiada makhluk apa pun tinggal di sini - tiada manusia dan tiada binatang. Tempat ini akan menjadi seperti gurun selama-lamanya.’
[63] Hai Seraya, setelah kamu selesai membacakan isi kitab ini kepada mereka, ikatkanlah kitab ini pada sebuah batu lalu lemparkanlah kedua-duanya ke dalam Sungai Efrat.
[64] Beritahulah mereka bahawa demikianlah kesudahan Babilonia. Babilonia akan tenggelam dan tidak sekali-kali akan timbul lagi, kerana kemusnahan yang akan didatangkan TUHAN atasnya.” Kata-kata Yeremia berakhir di sini.