Skip to content
Opens in a new window

[1] Imam Pasyhur anak Imer ialah ketua pegawai Rumah TUHAN. Ketika dia mendengar aku mengisytiharkan semua hal itu,

[2] dia memberikan perintah untuk memukul dan merantai aku di Pintu Gerbang Benyamin, gerbang bahagian atas di Rumah TUHAN.

[3] Esok paginya, setelah Pasyhur membuka rantaiku, aku berkata kepadanya, “Nama yang akan diberikan oleh TUHAN kepadamu bukan Pasyhur, tetapi ‘Ketakutan Di Mana-Mana’.

[4] TUHAN sendiri berfirman, ‘Aku akan menjadikan engkau ketakutan bagi dirimu dan bagi kawan-kawanmu. Engkau akan nampak mereka semua dibunuh oleh musuh dengan pedang. Aku akan membiarkan semua orang Yehuda dikuasai oleh raja Babilonia; sebilangan daripada mereka akan diangkutnya sebagai orang tawanan ke negerinya, dan mereka yang tidak diangkut akan dibunuh.

[5] Aku akan membiarkan musuh mereka menjarah dan mengangkut semua kekayaan kota ini serta semua harta miliknya ke Babilonia, bahkan harta pusaka raja-raja Yehuda.

[6] Engkau pula, hai Pasyhur, akan ditangkap dan diangkut ke Babilonia bersama dengan semua anggota keluargamu. Di sana engkau akan mati dan dikuburkan bersama dengan semua kawanmu yang telah mendengarkan dustamu.’ ”

[7] Ya TUHAN, Engkau telah menipu aku dan aku telah tertipu. Engkau lebih kuat daripada aku dan telah mengalahkan aku. Aku diejek oleh setiap orang, dihina dari pagi sampai petang.

[8] Setiap kali aku berkata-kata, aku mesti berteriak sekuat-kuatnya, “Keganasan! Kemusnahan!” Ya TUHAN, aku diejek dan dihina setiap waktu, kerana aku menyampaikan perkhabaran-Mu.

[9] Tetapi apabila aku berkata, “Biarlah aku melupakan TUHAN, aku tidak mahu berucap demi nama-Nya lagi,” maka perkhabaran-Mu bagaikan api yang membara dalam hati sanubari. Aku telah cuba menahannya, tetapi aku tidak berdaya.

[10] Aku mendengar orang berbisik di mana-mana, “Ketakutan merajalela! Mari laporkan dia kepada yang berkuasa!” Bahkan semua sahabat karibku menunggu kejatuhanku. Mereka berkata, “Mungkin dengan penipuan, dia dapat kita kalahkan, supaya dapatlah kita membalas dendam kepadanya.”

[11] Tetapi, Engkau, ya TUHAN, memihak aku; Engkau kuat dan perkasa. Mereka yang menganiaya aku akan jatuh dan tidak berdaya. Mereka akan dipermalukan selama-lamanya, kerana rancangan mereka tidak berjaya. Kehinaan mereka itu akan diingat selalu.

[12] Tetapi, ya TUHAN Yang Maha Kuasa, dengan adil Engkau menguji manusia; Engkau tahu akan isi hati dan fikiran mereka. Oleh itu perkenanlah aku melihat Engkau membalas kejahatan musuhku, kerana aku menyerahkan perkaraku kepada-Mu.

[13] Bernyanyilah bagi TUHAN! Pujilah TUHAN! Dia melepaskan orang tertindas daripada kuasa orang durjana.

[14] Terkutuklah hari kelahiranku! Lupakanlah hari ketika ibuku melahirkan aku!

[15] Terkutuklah pembawa berita yang menyebabkan bapaku gembira, ketika berita disampaikan kepadanya, “Engkau mendapat seorang anak lelaki!”

[16] Biarlah si pembawa berita itu seperti kota-kota yang dihancurkan oleh TUHAN tanpa kasihan. Biarlah dia mendengar jeritan kesakitan pada waktu pagi, dan tempik pertempuran pada tengah hari,

[17] kerana dia tidak membunuh aku ketika aku masih dalam kandungan, supaya aku tetap dikandung ibuku dan rahim ibu menjadi kuburku.

[18] Mengapa aku dilahirkan? Adakah hanya untuk menderita dan mengalami kesusahan? Adakah hidupku akan berlalu semata-mata untuk mendapat malu?

Yeremia — Chapters