[1] Kemudian Musa berkata kepada TUHAN, “Bagaimana pula jika umat Israel tidak mempercayai aku dan tidak mahu mempedulikan kata-kataku? Apakah yang harus aku buat jika mereka berkata bahawa Engkau tidak menampakkan diri kepadaku?”
[2] Oleh itu TUHAN bertanya kepada Musa, “Apakah yang engkau pegang itu?” “Tongkat,” jawab Musa.
[3] TUHAN berfirman, “Campakkanlah tongkat itu ke tanah.” Apabila Musa mencampakkannya ke tanah, tongkat itu berubah menjadi ular dan Musa berundur untuk menjauhi ular itu.
[4] Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Dekatilah ular itu dan peganglah ekornya.” Musa menghampirinya dan menangkap ekor ular itu, lalu ular itu berubah menjadi tongkat semula.
[5] TUHAN berfirman, “Buatlah demikian untuk membuktikan kepada bangsa Israel bahawa Aku, TUHAN, Allah nenek moyang mereka, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, telah menampakkan diri kepadamu.”
[6] TUHAN berfirman lagi kepada Musa, “Masukkan tanganmu ke dalam jubahmu.” Musa berbuat begitu, dan ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya putih sekali kerana kena penyakit kulit yang mengerikan.
[7] Kemudian TUHAN berfirman, “Masukkan tanganmu ke dalam jubahmu sekali lagi.” Musa berbuat begitu, dan ketika dia menarik tangannya keluar, tangannya sudah sembuh dan sihat seperti seluruh badannya.
[8] TUHAN berfirman, “Jika mereka tidak mahu percaya kepadamu, atau tidak yakin setelah melihat mukjizat yang pertama, maka mukjizat yang kedua akan meyakinkan mereka.
[9] Jika mereka masih tidak mahu percaya kepadamu walaupun sudah melihat kedua-dua mukjizat itu, dan mereka tidak mahu mempedulikan kata-katamu, ambillah sedikit air dari Sungai Nil dan curahkannya ke tanah. Air itu akan berubah menjadi darah.”
[10] Tetapi Musa berkata kepada TUHAN, “Ya Tuhan, jangan suruh aku. Aku bukan orang yang pandai berkata-kata, baik dahulu mahupun sekarang, walaupun Engkau sudah berfirman kepadaku. Aku tidak pandai berucap, aku lambat bercakap, dan tidak fasih.”
[11] Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Siapakah yang memberikan mulut kepada manusia? Siapakah yang membuat manusia bisu atau tuli? Siapakah yang membuat manusia celik atau buta? Aku, TUHAN.
[12] Sekarang, pergilah. Aku akan menolong engkau bercakap, dan memberitahu engkau apa yang harus engkau katakan.”
[13] Tetapi Musa menjawab, “Ya Tuhan, aku mohon, suruhlah orang lain.”
[14] Kemudian TUHAN murka terhadap Musa dan berfirman, “Bagaimana pula dengan saudaramu Harun, orang Lewi itu? Aku tahu bahawa dia pandai berkata-kata. Sesungguhnya, dia sedang dalam perjalanan ke sini, dan dia akan gembira berjumpa dengan engkau.
[15] Engkau dapat bercakap dengan dia, dan memberitahu dia apa yang harus dikatakannya. Aku akan menolong kamu berdua, dan memberitahu kamu apa yang harus dikatakan dan dilakukan.
[16] Dia akan berkata-kata kepada umat itu bagi pihakmu. Dia akan menjadi jurucakapmu, dan engkau menjadi seperti Allah yang memberitahu apa yang harus dikatakannya.
[17] Bawalah tongkat ini; engkau akan melakukan mukjizat-mukjizat dengan tongkat ini.”
[18] Sesudah itu Musa balik ke rumah Yitro, bapa mentuanya. Musa berkata kepadanya, “Tolong benarkan saya balik kepada saudara-mara saya di Mesir, untuk melihat sama ada mereka masih hidup.” Yitro bersetuju, lalu mengucapkan selamat jalan kepada Musa.
[19] Ketika Musa masih di Midian, TUHAN berfirman kepadanya, “Baliklah ke Mesir, kerana semua orang yang hendak membunuh engkau sudah meninggal.”
[20] Oleh itu Musa membawa isteri serta anak-anaknya dan menaikkan mereka ke atas keldai, lalu mereka berangkat ke Mesir. Musa membawa tongkatnya juga, menurut perintah Allah kepadanya.
[21] TUHAN berfirman kepada Musa lagi, “Aku sudah memberikan kuasa kepadamu untuk melakukan mukjizat-mukjizat. Oleh itu selepas engkau tiba di Mesir, lakukanlah segala mukjizat itu di hadapan raja Mesir. Tetapi Aku akan menyebabkan dia berdegil, sehingga dia tidak membenarkan umat itu pergi.
[22] Lalu katakanlah kepada raja itu bahawa Aku, TUHAN, berfirman begini, ‘Israel ialah anak sulung-Ku.
[23] Aku telah memerintahkan engkau untuk membenarkan anak-Ku itu pergi supaya dia dapat menyembah Aku, tetapi engkau menolak. Sekarang Aku akan membunuh anak lelakimu yang sulung.’ ”
[24] Di suatu tempat perkhemahan di tengah perjalanan ke Mesir, TUHAN datang kepada Musa dan cuba membunuhnya.
[25] Kemudian Zipora, isteri Musa, mengambil batu tajam dan memotong kulup anaknya, lalu menyentuh kaki Musa dengan potongan itu. Zipora berkata, “Engkau suami darah bagiku.”
[26] Zipora berkata demikian kerana upacara sunat itu. Oleh itu TUHAN tidak membunuh Musa.
[27] Sementara itu TUHAN berfirman kepada Harun, “Pergilah ke padang gurun untuk menemui Musa.” Harun pergi lalu bertemu dengan Musa di gunung suci, dan Harun mencium dia.
[28] Musa memberitahu Harun segala yang telah difirmankan TUHAN ketika dia disuruh balik ke Mesir. Musa juga memberitahu segala mukjizat yang harus dilakukannya.
[29] Kemudian Musa dan Harun pergi ke Mesir, lalu menghimpunkan semua pemimpin umat Israel.
[30] Harun memberitahu mereka segala yang difirmankan TUHAN kepada Musa, dan Musa melakukan segala mukjizat di hadapan semua orang itu.
[31] Mereka percaya, lalu sujud menyembah apabila mendengar bahawa TUHAN sudah memperhatikan mereka dan melihat segala penderitaan mereka.