[1] “Panggillah abangmu Harun dan anak-anaknya, Nadab, Abihu, Eleazar, dan Itamar. Khususkanlah mereka dari kalangan umat Israel, supaya mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam.
[2] Buatlah pakaian imam untuk abangmu Harun, supaya terhormat kelihatannya.
[3] Panggillah semua orang yang telah Aku kurniakan kemahiran, dan suruhlah mereka membuat pakaian Harun supaya dia dapat ditahbiskan untuk mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam.
[4] Suruhlah mereka membuat penutup dada, efod, jubah, baju labuh bersulam, serban, dan ikat pinggang. Mereka harus membuat pakaian imam itu untuk abangmu Harun dan anak-anaknya supaya mereka dapat mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam.
[5] Orang yang membuat semuanya mesti menggunakan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, benang emas, serta kain linen halus.
[6] Mereka mesti membuat efod daripada kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, benang emas, serta kain linen halus yang bersulam.
[7] Dua tali bahu sebagai pengikat harus dijahitkan pada sisi efod.
[8] Satu ikat pinggang yang ditenun halus daripada bahan yang sama harus dijahitkan pada efod supaya menjadi satu bahagian dengan efod.
[9] Ambillah dua biji batu sardis dan ukirkan nama dua belas orang anak Yakub pada batu itu,
[10] menurut urutan umur mereka; enam nama pada satu batu, dan enam lagi pada batu yang lain.
[11] Suruhlah seorang tukang batu permata yang mahir supaya mengukirkan nama anak-anak Yakub pada dua biji batu permata itu. Dia juga harus mengikat batu permata itu dengan emas,
[12] lalu memasangnya pada tali bahu efod untuk mewakili dua belas suku Israel. Dengan cara ini Harun akan membawa nama mereka di atas bahunya, supaya Aku, TUHAN, sentiasa ingat akan umat-Ku.
[13] Buatlah dua bingkai emas
[14] dan dua utas rantai emas tulen yang dipintal seperti tali, lalu pasangkan rantai ini pada bingkai emas itu.”
[15] “Buatlah sehelai penutup dada untuk Imam Agung; penutup dada itu akan dipakainya apabila hendak mengetahui kehendak Allah. Penutup dada itu harus dibuat daripada bahan-bahan yang digunakan untuk membuat efod, dan juga disulam seperti efod.
[16] Penutup dada itu mesti berbentuk empat persegi dan dilipat dua, berukuran 22 sentimeter panjang dan 22 sentimeter lebar.
[17] Pasangkan empat baris batu permata pada penutup dada itu. Pada baris pertama, pasangkan batu delima, batu topaz, dan batu garnet;
[18] pada baris kedua, pasangkan batu zamrud, batu nilam, dan batu berlian;
[19] pada baris ketiga pasangkan batu firus, batu akik, dan batu kecubung;
[20] dan pada baris keempat pasangkan batu beril, batu sardis, dan batu jasper. Semua batu permata itu mesti diikat dengan bingkai emas.
[21] Pada tiap-tiap batu permata itu mesti diukirkan salah satu nama anak-anak Yakub untuk mewakili dua belas suku Israel.
[22] Buatlah rantai daripada emas tulen yang dipintal seperti tali bagi penutup dada itu.
[23] Buatlah juga dua gelang emas dan pasangkan pada kedua-dua sudut bahagian atas penutup dada.
[24] Ikatkan rantai emas itu pada dua gelang emas.
[25] Ikatkan dua hujung lain rantai itu pada kedua-dua bingkai, supaya penutup dada itu dapat dihubungkan dengan bahagian depan tali bahu efod.
[26] Kemudian buatlah dua gelang emas dan pasangkan pada sudut bahagian bawah penutup dada itu, di tepi bahagian dalam yang kena efod.
[27] Buatlah dua gelang emas lagi dan pasangkan di bahagian bawah sebelah depan kedua-dua tali bahu efod, dekat dengan kelim dan di sebelah atas ikat pinggang yang ditenun halus.
[28] Ikatkan gelang penutup dada itu pada gelang efod dengan tali biru, supaya penutup dada itu terletak di atas ikat pinggang dan tidak terlepas.
[29] Apabila Harun masuk ke Bilik Suci, dia harus memakai penutup dada yang berukirkan nama-nama suku Israel, supaya Aku, TUHAN sentiasa ingat akan umat-Ku.
[30] Letakkan Urim dan Tumim dalam penutup dada itu supaya dapat dibawa oleh Harun apabila dia masuk ke hadirat-Ku yang suci. Pada saat-saat seperti itu dia mesti sentiasa memakai penutup dada itu untuk mengetahui kehendak-Ku bagi umat Israel.”
[31] “Jubah yang dipakai di bawah efod harus seluruhnya dibuat daripada kain bulu berwarna biru.
[32] Lubang leher jubah itu harus diperkuat dengan pita tenunan supaya tidak mudah koyak.
[33] Pada sekeliling kelepet sebelah bawah, buatlah hiasan berbentuk buah delima daripada kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, diselang-seli dengan loceng emas.
[35] Jubah itu harus dipakai oleh Harun ketika dia bertugas sebagai imam. Apabila dia masuk ke hadirat-Ku di Bilik Suci, atau apabila dia meninggalkan tempat itu, bunyi loceng akan terdengar dan dia tidak akan dibunuh.
[36] Buatlah satu perhiasan daripada emas tulen dan ukirkan perkataan, ‘Ditahbiskan untuk TUHAN’ pada perhiasan itu.
[37] Ikatkan perhiasan itu pada sebelah depan serban dengan tali biru.
[38] Harun harus memakainya pada dahinya. Dengan cara ini Aku, TUHAN akan menerima segala persembahan yang diberikan oleh umat Israel kepada-Ku, walaupun mereka membuat kesalahan ketika mempersembahkan persembahan itu.
[39] Baju labuh untuk Harun harus ditenun daripada kain linen halus. Buatlah juga serban daripada kain linen halus, dan ikat pinggang yang bersulam.
[40] Buatlah baju labuh, ikat pinggang, dan ikat kepala untuk anak-anak Harun supaya mereka kelihatan terhormat.
[41] Kenakanlah pakaian itu pada Harun dan anak-anaknya. Kemudian tahbiskanlah dan khaskanlah mereka dengan menuangkan minyak zaitun pada mereka, supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku sebagai imam.
[42] Buatlah celana pendek daripada kain linen untuk mereka. Panjang celana itu dari pinggang sampai ke paha, untuk menutupi bahagian tubuh yang tidak wajar dilihat.
[43] Harun dan anak-anaknya harus selalu memakai celana itu apabila mereka masuk ke Khemah-Ku, ataupun menghadap mazbah untuk bertugas sebagai imam di Bilik Suci, supaya mereka tidak mati kerana mendedahkan bahagian tubuh mereka yang tidak wajar dilihat. Inilah peraturan tetap untuk Harun dan keturunannya.”