Skip to content
Opens in a new window

[1] “Buatlah sebuah mazbah daripada kayu akasia, sebagai tempat membakar kemenyan.

[2] Mazbah itu harus berbentuk empat persegi, 45 sentimeter panjang dan 45 sentimeter lebar, dan 90 sentimeter tinggi. Unjuran di keempat-empat sudutnya mesti seiras dengan mazbah itu.

[3] Salutilah bahagian atasnya, keempat-empat sisinya serta unjuran-unjurannya dengan emas tulen, dan buatlah bingkai emas di sekelilingnya.

[4] Buatlah dua gelang daripada emas, dan pasanglah gelang itu di bawah bingkai pada kedua-dua sisinya, untuk menyangga kayu pengusung mazbah.

[5] Kayu-kayu pengusung itu harus dibuat daripada kayu akasia dan disaluti emas.

[6] Letakkan mazbah ini di luar tirai yang tergantung di hadapan Tabut Perjanjian, di tempat Aku akan bertemu dengan engkau.

[7] Setiap pagi, apabila Harun menyiapkan pelita, dia mesti membakar kemenyan yang berbau harum di atas mazbah itu.

[8] Dia mesti melakukan hal yang sama apabila dia memasang pelita itu pada waktu petang. Persembahan kemenyan ini mesti dilakukan terus-menerus sepanjang masa.

[9] Di atas mazbah ini, jangan persembahkan sebarang kemenyan yang dilarang, atau korban berupa binatang, atau korban berupa bijirin; jangan curahkan sebarang korban berupa wain di atasnya.

[10] Setahun sekali Harun mesti melakukan upacara penyucian mazbah dengan menyapukan darah binatang yang dipersembahkan sebagai korban untuk mengampunkan dosa, pada keempat-empat unjuran mazbah itu. Hal ini mesti dilakukan tiap-tiap tahun selama-lamanya. Mazbah ini mesti suci seluruhnya dan ditahbiskan kepada-Ku, TUHAN.”

[11] TUHAN berfirman kepada Musa,

[12] “Apabila engkau membanci umat Israel, setiap orang lelaki mesti membayar wang tebusan untuk dirinya kepada-Ku, supaya dia tidak ditimpa bencana ketika pembancian itu dijalankan.

[13] Setiap orang yang dihitung dalam pembancian itu mesti membayar jumlah wang yang ditentukan, menurut harga yang ditetapkan di Khemah-Ku. Setiap orang mesti membayar jumlah itu sebagai persembahan kepada-Ku.

[14] Setiap orang yang dihitung dalam pembancian itu, iaitu setiap orang lelaki yang berumur dua puluh tahun ke atas mesti membayar jumlah itu.

[15] Orang kaya tidak boleh membayar lebih dan orang miskin tidak boleh membayar kurang, apabila mereka membayar wang tebusan untuk diri mereka.

[16] Kumpulkan wang itu daripada umat Israel dan gunakannya untuk kepentingan ibadat di dalam Khemah-Ku. Semua itu adalah wang tebusan bagi diri mereka, dan Aku akan sentiasa ingat untuk melindungi mereka.”

[17] TUHAN berfirman kepada Musa,

[18] “Buatlah sebuah besen daripada gangsa dengan alasnya daripada gangsa juga. Letakkan besen itu di antara Khemah dan mazbah, dan isilah besen itu dengan air.

[19] Harun dan anak-anaknya mesti menggunakan air itu untuk membasuh tangan dan kaki,

[20] sebelum masuk ke dalam Khemah atau mendekati mazbah untuk mempersembahkan persembahan makanan. Dengan demikian mereka tidak akan dibunuh.

[21] Mereka mesti membasuh tangan dan kaki supaya mereka tidak mati. Peraturan ini mesti ditaati mereka dan keturunan mereka selama-lamanya.”

[22] TUHAN berfirman kepada Musa,

[23] “Ambillah rempah-rempah yang terbaik: enam kilogram mur cecair, tiga kilogram kulit kayu manis yang harum, tiga kilogram tebu yang harum,

[24] enam kilogram kayu teja (semuanya ditimbang mengikut timbangan yang digunakan di dalam Khemah-Ku), dan empat liter minyak zaitun,

[25] lalu buatlah minyak upacara yang dicampur seperti minyak wangi.

[26] Gunakanlah minyak upacara itu untuk melumuri Khemah-Ku, Tabut Perjanjian,

[27] meja dan segala peralatannya, kaki pelita dan peralatannya, mazbah tempat membakar kemenyan,

[28] mazbah tempat membakar korban serta segala peralatannya, dan besen serta alasnya.

[29] Engkau harus mentahbiskan segala barang itu dengan cara demikian, maka semuanya akan menjadi benar-benar suci. Apa sahaja yang kena alat-alat itu harus diserahkan kepada TUHAN, dan siapa sahaja yang menyentuh semua itu akan mendapat celaka kerana kekuatan kesuciannya.

[30] Tuanglah minyak upacara pada Harun dan anak-anaknya supaya mereka ditahbiskan menjadi imam untuk mengabdikan diri kepada-Ku.

[31] Beritahulah umat Israel bahawa minyak upacara yang suci itu khas untuk Aku selama-lamanya.

[32] Minyak upacara itu tidak boleh dituang pada orang biasa, dan campuran yang sama tidak boleh digunakan untuk membuat minyak lain. Minyak upacara itu suci dan mesti dianggap suci.

[33] Sesiapa yang membuat minyak seperti minyak upacara, atau yang menggunakan minyak itu bagi orang yang bukan imam, tidak lagi dianggap anggota umat-Ku.”

[34] TUHAN berfirman kepada Musa, “Ambillah beberapa jenis rempah harum yang sama banyaknya: getah damar, kulit lokan, getah raksamala, dan juga kemenyan tulen.

[35] Dengan bahan-bahan itu buatlah kemenyan seperti membuat minyak wangi. Tambahlah garam untuk menjadikannya tulen dan suci.

[36] Tumbukkan sebahagian daripada bahan-bahan itu menjadi serbuk. Bawalah serbuk itu ke dalam Khemah-Ku, lalu hamburkan serbuk itu di hadapan Tabut Perjanjian. Kemenyan itu harus dianggap sebagai benda yang sangat suci.

[37] Jangan gunakan campuran itu untuk membuat sebarang kemenyan bagi dirimu sendiri. Kemenyan itu harus dianggap suci dan dikhaskan untuk Aku.

[38] Sesiapa yang menggunakan campuran itu untuk membuat minyak wangi, tidak lagi dianggap anggota umat-Ku.”

Keluaran — Chapters