Skip to content
Opens in a new window

[1] Musa menyuruh segenap umat Israel berkumpul, lalu berkata kepada mereka, “Inilah perintah TUHAN untuk kamu:

[2] Kamu mempunyai enam hari untuk bekerja, tetapi hari yang ketujuh harus dianggap suci; hari itu hari rehat yang ditahbiskan untuk TUHAN. Sesiapa yang bekerja pada hari itu mesti dihukum mati.

[3] Pada hari Sabat kamu tidak boleh menyalakan api di rumah kamu.”

[4] Musa berkata kepada segenap umat Israel, “Inilah yang telah diperintahkan TUHAN:

[5] Bawalah persembahan kepada TUHAN. Sesiapa yang ingin memberikan persembahan harus mempersembahkan emas, perak, atau gangsa;

[6] kain linen halus; kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah; kain daripada bulu kambing;

[7] kulit domba jantan yang dicelup merah; kulit halus; kayu akasia;

[8] minyak untuk pelita; rempah-ratus untuk minyak upacara dan untuk kemenyan yang harum;

[9] batu sardis dan batu-batu permata lain yang akan ditatah pada efod dan penutup dada Imam Agung.”

[10] “Semua tukang yang mahir di kalangan kamu mesti datang dan membuat segala yang telah diperintahkan TUHAN:

[11] Khemah TUHAN, serta bumbung dan penutup bumbung, cangkuk dan rangka, kayu-kayu lintang, tiang, dan alas;

[12] Tabut Perjanjian dengan kayu pengusungnya, penutupnya, dan tirai yang menudungnya;

[13] meja dengan kayu pengusungnya, dan semua peralatannya; roti yang dipersembahkan kepada Allah;

[14] kaki pelita untuk memberikan cahaya, dan peralatannya; pelita-pelita dengan minyak;

[15] mazbah tempat membakar kemenyan dengan kayu pengusungnya; minyak upacara; kemenyan yang harum; tirai untuk pintu masuk Khemah TUHAN;

[16] mazbah tempat membakar korban, dengan kekisi gangsa, kayu pengusung dan semua peralatannya; besen dan alasnya;

[17] tirai bagi pagar, serta tiang pagar dan alas tiang; tirai untuk pintu pagar;

[18] pasak dan tali bagi Khemah TUHAN dan pagarnya;

[19] pakaian ibadat untuk imam-imam apabila mereka bertugas di Bilik Suci, dan pakaian khas untuk Imam Harun dan anak-anaknya.”

[20] Kemudian semua orang Israel yang berkumpul itu bersurai,

[21] dan setiap orang yang tergerak hatinya membawa persembahan kepada TUHAN untuk membuat Khemah TUHAN. Mereka membawa semua barang yang diperlukan untuk ibadat dan untuk membuat pakaian imam.

[22] Setiap orang yang mahu memberikan persembahan, baik lelaki mahupun perempuan, datang membawa kerongsang, anting-anting, cincin, rantai leher, dan segala jenis barang kemas daripada emas, lalu mentahbiskan semuanya untuk TUHAN.

[23] Setiap orang yang mempunyai kain linen halus; kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah; kain yang dibuat daripada bulu kambing; kulit domba jantan yang dicelup merah; atau kulit halus, mempersembahkan barang itu.

[24] Semua orang yang mampu mempersembahkan perak atau gangsa membawa persembahan mereka kepada TUHAN. Demikian juga yang dilakukan oleh semua orang yang mempunyai kayu akasia yang dapat digunakan bagi pekerjaan itu.

[25] Semua perempuan yang mahir memintal, membawa benang linen serta benang bulu berwarna biru, ungu, dan merah, yang telah dipintal mereka.

[26] Mereka juga memintal benang daripada bulu kambing.

[27] Para pemimpin membawa batu sardis dan batu permata lain untuk ditatahkan pada efod dan penutup dada.

[28] Mereka juga membawa rempah-ratus dan minyak untuk pelita, minyak upacara, dan kemenyan yang harum.

[29] Semua orang Israel yang ingin dan rela memberikan sesuatu, membawa persembahan mereka itu kepada TUHAN, untuk pekerjaan yang telah diperintahkan-Nya kepada Musa.

[30] Musa berkata kepada orang Israel, “TUHAN telah memilih Bezaleel anak Uri, cucu Hur, daripada suku Yehuda.

[31] Allah telah mengurniai Bezaleel kuasa-Nya, dan memberi dia kemahiran, kebolehan, dan pengertian dalam segala jenis karya seni,

[32] untuk merancang rekabentuk yang memerlukan kemahiran serta membuatnya dengan menggunakan emas, perak, dan gangsa;

[33] untuk mencanai batu permata yang akan ditatah; untuk mengukir kayu, dan untuk membuat segala jenis karya seni yang lain.

[34] TUHAN mengurniakan kepandaian kepada Bezaleel dan Oholiab anak Ahisamakh daripada suku Dan, untuk mengajarkan kemahiran mereka kepada orang lain.

[35] Dia telah mengurniai mereka kemahiran untuk melakukan segala jenis pekerjaan yang dilakukan oleh pengukir, perekabentuk, dan penenun kain linen halus, kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, dan kain-kain lain. Mereka dapat melakukan segala jenis pekerjaan, dan mereka juga perekabentuk yang mahir.

Keluaran — Chapters