[1] TUHAN berfirman kepada Musa,
[2] “Suruhlah umat Israel membawa persembahan kepada-Ku. Terimalah apa sahaja persembahan daripada setiap orang yang ingin memberi.
[3] Persembahan itu boleh berupa: emas, perak, dan gangsa;
[4] kain linen halus, kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah; kain daripada bulu kambing;
[5] kulit domba jantan yang dicelup merah; kulit halus; kayu akasia;
[6] minyak untuk pelita; rempah-ratus untuk minyak upacara dan untuk kemenyan yang harum;
[7] batu sardis dan berjenis-jenis permata lain untuk ditatah pada efod dan penutup dada Imam Agung.
[8] Suruhlah umat itu membina sebuah khemah suci untuk-Ku supaya Aku dapat tinggal bersama-sama mereka.
[9] Khemah itu dan semua peralatannya harus dibuat menurut pelan yang akan Aku tunjukkan kepadamu.”
[10] “Buatlah sebuah Tabut daripada kayu akasia, yang berukuran 110 sentimeter panjang, 66 sentimeter lebar dan 66 sentimeter tinggi.
[11] Bahagian dalam dan luar Tabut itu harus disaluti emas tulen dan bingkainya dibuat daripada emas.
[12] Buatlah empat gelang emas dan pasangkan gelang itu pada keempat-empat sudut Tabut; dua gelang pada satu sisi dan dua gelang pada sisi sebelah.
[13] Buatlah juga kayu pengusung daripada kayu akasia dan salutlah kayu pengusung itu dengan emas,
[14] lalu masukkan kayu pengusung itu ke dalam gelang pada setiap sisi Tabut itu.
[15] Kayu pengusung harus tetap ada dalam gelang-gelang itu, dan tidak boleh dikeluarkan.
[16] Kemudian kedua-dua batu tulis yang akan Aku berikan kepadamu harus diletakkan di dalam Tabut; batu-batu itu bertuliskan perintah itu.
[17] Buatlah penutup Tabut itu daripada emas tulen; hendaklah penutup itu berukuran 110 sentimeter panjang, dan 66 sentimeter lebar.
[18] Buatlah juga dua kerub daripada emas tempaan,
[19] satu pada setiap hujung penutup Tabut itu. Kedua-dua kerub itu harus dijadikan satu bahagian dengan penutup,
[20] dan dibuat saling berhadapan di atas penutup, dengan muka memandang ke bawah, dan dengan sayap yang terbentang untuk menutupi penutup itu.
[21] Letakkan kedua-dua batu tulis itu di dalam Tabut, lalu tutuplah Tabut itu dengan penutupnya.
[22] Aku akan bertemu dengan engkau di sana. Dari atas penutup itu, di antara dua kerub itu, Aku akan memberi engkau segala hukum-Ku untuk umat Israel.”
[23] “Buatlah sebuah meja daripada kayu akasia; meja itu hendaklah berukuran 88 sentimeter panjang, 44 sentimeter lebar dan 66 sentimeter tinggi.
[24] Salutlah meja itu dengan emas tulen dan pasang bingkai emas pada sekelilingnya.
[25] Buatlah tepi selebar 7.5 sentimeter dan buat juga bingkai emas pada sekeliling tepi itu.
[26] Buatlah empat gelang daripada emas dan pasanglah gelang-gelang itu pada keempat-empat sudut, tempat kaki meja.
[27] Gelang-gelang untuk menyangga kayu pengusung harus dipasang dekat tepi meja.
[28] Kayu pengusung itu harus dibuat daripada kayu akasia dan disaluti emas.
[29] Buatlah pinggan, cawan, kendi, dan mangkuk untuk digunakan bagi korban wain. Kesemua alat itu harus dibuat daripada emas tulen.
[30] Meja itu harus diletakkan di hadapan Tabut Perjanjian, dan di atas meja itu harus sentiasa diletakkan roti yang dipersembahkan kepada-Ku.”
[31] “Buatlah sebuah kaki pelita daripada emas tulen. Buatlah alas dan batangnya daripada emas tempaan; bunga-bunga hiasan, termasuk kuncup dan kelopaknya hendaklah seiras dengan alas dan batangnya.
[32] Enam cabang harus dibuat pada batang kaki pelita itu; tiga cabang pada setiap sisinya.
[33] Setiap cabangnya harus dihias dengan hiasan berupa tiga kuntum bunga badam dengan kuncup dan kelopaknya.
[34] Batang kaki pelita itu harus dihias dengan empat kuntum bunga hiasan yang berupa bunga badam, dengan kuncup dan kelopaknya.
[35] Satu kuncup harus dibuat di bawah setiap pasang cabang itu.
[36] Kuncup-kuncup, cabang-cabang, dan kaki pelita itu hendaklah dibuat daripada sekeping emas tempaan tulen.
[37] Buatlah tujuh buah pelita bagi kaki pelita itu dan pasanglah pelita-pelita itu dengan begitu rupa agar cahayanya memancar ke hadapan.
[38] Buatlah penyepit untuk membersihkan sumbu pelita, dan juga dulangnya daripada emas tulen.
[39] Gunakanlah 35 kilogram emas tulen untuk membuat kaki pelita itu dan segala peralatannya.
[40] Berhati-hatilah membuat semuanya menurut pelan yang telah Aku tunjukkan kepadamu di atas gunung ini.”