[1] Selepas itu, Yesus pergi berjalan di Galilea. Dia tidak pergi ke daerah Yudea kerana orang Yahudi di situ berniat hendak membunuh-Nya.
[2] Ketika itu perayaan orang Yahudi, iaitu Perayaan Pondok Daun hampir tiba.
[3] Oleh itu, saudara-saudara Yesus berkata kepada-Nya, "Beredarlah dari sini ke Yudea, supaya murid-murid-Mu dapat melihat perbuatan-Mu.
[4] Orang tidak menyembunyikan perbuatannya kalau ingin menjadi ternama. Kerana Kamu sudah melakukan perkara-perkara ini, biarlah diri-Mu dikenal orang di dunia."
[5] Saudara-saudara Yesus sendiri tidak percaya kepada-Nya.
[6] Lalu Yesus berkata kepada mereka, "Saat-Ku belum sampai lagi. Saatmu bila-bila sahaja.
[7] Dunia ini tiada sebab untuk membencimu. Tetapi dunia membenci-Ku, kerana Aku memberikan kesaksian tentangnya bahawa kerjanya durjana.
[8] Pergilah menyambut perayaan itu. Aku tidak pergi kerana saat-Ku belum sampai sepenuhnya."
[9] Setelah berkata demikian, Yesus tetap tinggal di Galilea.
[10] Apabila saudara-saudara-Nya telah bertolak untuk menghadiri perayaan itu, Yesus pun pergi juga secara diam-diam.
[11] Pada masa perayaan itu orang Yahudi mencari Yesus. Mereka bertanya, "Di manakah Dia?"
[12] Orang ramai berbisik-bisik tentang-Nya. Ada yang berkata, "Dia seorang yang baik." Ada pula yang berkata, "Tidak! Dia membawa ajaran sesat!"
[13] Tetapi semuanya tidak berani bercakap secara terbuka tentang Yesus, kerana takut akan orang Yahudi.
[14] Pada pertengahan masa perayaan itu, Yesus masuk ke Bait Suci lalu mengajar.
[15] Orang Yahudi tercengang mendengar kata-kata-Nya lalu berkata, "Bagaimanakah orang ini begitu berpengetahuan walaupun tidak dididik?"
[16] Lalu Yesus menjawab, "Apa Kuajarkan bukanlah ajaran-Ku, tetapi ajaran Dia yang mengutus-Ku.
[17] Orang yang mahu melaksanakan kehendak Allah akan tahu sama ada ajaran ini datang daripada diri-Ku atau daripada Allah.
[18] Seseorang yang bercakap atas namanya sendiri mencari kemuliaan bagi dirinya. Sebaliknya, seseorang yang mencari kemuliaan bagi Dia yang mengutusnya, adalah jujur dan bersih daripada sebarang kepalsuan.
[19] Tidakkah Musa menyampaikan hukum Taurat kepadamu? Tetapi tiada seorang pun antara kamu yang melaksanakan hukum Taurat itu. Mengapakah kamu hendak membunuh-Ku?"
[20] Orang ramai menjawab, "Kamu dirasuk roh iblis! Siapa pula yang hendak membunuh-Mu?"
[21] Yesus berkata kepada mereka, "Aku melakukan satu mukjizat, lalu kamu semua berasa takjub.
[22] Musa telah memberimu peraturan bersunat. Oleh itu, pada hari Sabat pun kamu hendak menyunatkan anak lelakimu. (Sebenarnya peraturan bersunat itu bukanlah bermula daripada Musa, tetapi daripada nenek moyangmu sebelumnya.)
[23] Kiranya seorang anak lelaki boleh disunatkan pada hari Sabat kerana tidak mahu melanggar hukum Musa, mengapakah kamu marah kepada-Ku kerana menyembuhkan seluruh tubuh seseorang pada hari Sabat?
[24] Janganlah hakimi seseorang berdasarkan apa yang dilihat. Hakimilah dengan adil."
[25] Sebilangan penduduk Yerusalem berkata, "Bukankah orang ini yang dicari oleh mereka untuk dibunuh?
[26] Lihatlah, Dia bercakap di hadapan orang ramai, tetapi mereka diam sahaja. Adakah para pemerintah itu benar-benar tahu bahawa Dia Kristus?
[27] Orang ini, kita tahu tempat asal-Nya. Tetapi, apabila Kristus datang, tiada siapa yang tahu akan tempat asal-Nya."
[28] Ketika Yesus mengajar di Bait Suci, Dia berseru dengan suara lantang, "Kamu tentu mengenal siapa Aku dan di mana tempat asal-Ku. Aku datang bukanlah dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai, tetapi kamu tidak mengenal-Nya.
[29] Aku mengenal-Nya kerana Dialah yang mengutus-Ku dan Aku datang daripada-Nya."
[30] Selepas itu, mereka cuba menangkap Yesus. Tetapi tiada seorang pun memegang-Nya kerana saat-Nya belum sampai.
[31] Sebilangan besar orang ramai itu percaya kepada Yesus. Mereka berkata, "Apabila Kristus datang, adakah Dia akan melakukan lebih banyak mukjizat daripada orang ini?"
[32] Apabila bisikan orang ramai didengar oleh orang Farisi, mereka dan para ketua imam pun menyuruh beberapa orang pengawal Bait Suci menangkap Yesus.
[33] Namun demikian, Yesus berkata, "Aku akan bersamamu sebentar sahaja. Selepas itu, Aku akan pulang kepada Dia yang mengutus-Ku.
[34] Kamu akan mencari-Ku, tetapi tidak dapat menemui-Ku. Di mana Aku berada, kamu tidak dapat ikut."
[35] Orang Yahudi berkata sesama sendiri, "Ke manakah Dia hendak pergi sehingga kita tidak dapat menemui-Nya? Adakah Dia hendak pergi kepada orang Yahudi yang tinggal di perantauan dalam kalangan orang Yunani untuk mengajar orang Yunani?
[36] Apakah maksud kata-kata-Nya, 'Kamu akan mencari-Ku tetapi tidak dapat menemui-Ku' dan 'Di mana Aku berada, kamu tidak dapat ikut'?"
[37] Pada hari terakhir perayaan itu, iaitu hari yang terutama, Yesus berdiri lalu berkata dengan suara lantang, "Sesiapa yang dahaga, datanglah kepada-Ku untuk minum.
[38] Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, 'Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dalam hatinya akan terpancar mata air yang memberi hidup.' "
[39] (Yang dimaksudkan oleh Yesus ialah Roh Kudus yang akan diterima kelak oleh orang yang percaya kepada-Nya. Pada masa itu Roh Kudus belum dikurniakan, kerana Yesus belum dimuliakan.)
[40] Sebilangan orang yang mendengar kata-kata Yesus berkata, "Sudah tentu orang inilah Nabi itu!"
[41] Ada pula yang berkata, "Dialah Kristus yang diutus oleh Allah." Sebaliknya, ada yang berkata, "Kristus yang diutus oleh Allah bukan dari Galilea.
[42] Menurut Kitab Suci, Kristus yang diutus Allah itu keturunan Raja Daud dan akan dilahirkan di kota Betlehem, tempat asal Raja Daud."
[43] Demikianlah mereka berbalah lalu berpihak-pihak kerana Yesus.
[44] Beberapa orang ingin menangkap-Nya, namun tiada siapa pun memegang-Nya.
[45] Kemudian para pengawal Bait Suci datang kepada para ketua imam dan orang Farisi. Lalu mereka bertanya kepada para pengawal itu, "Mengapakah kamu tidak membawa Dia ke sini?"
[46] Para pengawal itu menjawab, "Belum pernah seseorang bercakap seperti-Nya!"
[47] Orang Farisi berkata, "Adakah kamu disesatkan juga?
[48] Adakah mana-mana pemerintah atau orang Farisi percaya kepada-Nya?
[49] Tetapi hanya orang ramai ini tidak mengenal hukum Taurat – terlaknatlah mereka ini!"
[50] Nikodemus, seorang Farisi yang pernah pergi menemui Yesus, berkata,
[51] "Bukankah mengikut hukum Taurat, kita tidak boleh menghukum seseorang tanpa perbicaraan dan penyiasatan terlebih dahulu?"
[52] Mereka berkata, "Adakah kamu juga berasal dari Galilea? Kajilah, dan kamu akan tahu tiada nabi yang datang dari Galilea."
[53] Selepas itu, semua orang pulang ke rumah.