[1] Setelah itu, Pilatus pun membawa Yesus dan mengarahkan supaya Yesus disesah.
[2] Askar-askar menganyam mahkota daripada duri, dan mengenakannya pada kepala Yesus. Kemudian mereka menyarungkan jubah berwarna ungu ke tubuh-Nya.
[3] Mereka datang kepada-Nya dan berkata, "Daulat Raja orang Yahudi!" lalu menampar-Nya.
[4] Pilatus keluar lagi dan berkata kepada mereka, "Lihat, aku bawa Dia kepadamu, supaya kamu tahu aku mendapati Dia tidak bersalah sama sekali."
[5] Yesus pun keluar dengan memakai mahkota duri dan jubah ungu itu. Pilatus berkata kepada mereka, "Lihatlah orang ini!"
[6] Apabila ketua-ketua imam dan pegawai-pegawai melihat-Nya, mereka berteriak, "Salibkan Dia! Salibkan Dia!" Pilatus berkata kepada mereka, "Kamu ambil dan salibkan Dia; kerana aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali."
[7] Orang Yahudi itu menjawab, "Kami ada hukum, dan menurut hukum itu Dia patut dihukum mati, kerana Dia mengaku diri-Nya Anak Allah."
[8] Apabila mendengar kata-kata itu, Pilatus semakin takut.
[9] Dia masuk semula ke istana dan bertanya kepada Yesus, "Dari manakah Kamu ini?" Tetapi Yesus tidak menjawab.
[10] Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, "Kamu tidak menjawab soalanku? Tidakkah Kamu tahu aku berkuasa untuk menyalib-Mu atau membebaskan-Mu?"
[11] Yesus menjawab, "Kamu tidak mungkin mempunyai kuasa langsung ke atas-Ku kecuali diberikan kepadamu dari atas; maka yang menyerahkan-Ku kepadamu itu lebih besar dosanya."
[12] Selepas itu Pilatus cuba membebaskan-Nya, tetapi orang Yahudi berseru, "Jika kamu membebaskan orang ini, kamu bukanlah sahabat Kaisar; kerana sesiapa yang mengaku dirinya raja bercakap menentang Kaisar."
[13] Ketika Pilatus mendengar kata-kata demikian, dia pun membawa Yesus, lalu duduk di kerusi pengadilan di tempat yang disebut "Laman Batu", dalam bahasa Ibrani Gabbatha.
[14] Pada waktu itu persediaan sedang dibuat untuk Perayaan Paskah, kira-kira jam keenam. Pilatus berkata kepada orang Yahudi, "Lihatlah Raja kamu!"
[15] Tetapi mereka berseru, "Bawa Dia pergi! Bawa Dia pergi! Salibkan Dia!" Pilatus berkata kepada mereka, "Adakah kamu mahu aku salib Rajamu?" Ketua-ketua imam menjawab, "Kami tidak ada raja selain Kaisar."
[16] Oleh itu, Pilatus pun menyerahkan Yesus kepada mereka untuk disalib. Lalu mereka mengambil-Nya dan membawa-Nya pergi.
[17] Yesus pun mengangkat salib-Nya dan pergi ke suatu tempat yang dipanggil Tempat Tengkorak, yang dalam bahasa Ibrani disebut Golgota.
[18] Di situ mereka menyalib Yesus, bersama-sama dua orang lain di kiri dan kanan-Nya dan Yesus di tengah.
[19] Pilatus memerintahkan supaya satu catatan ditulis dan diletakkannya di atas salib itu. Tulisan itu berbunyi: "Yesus, orang Nazaret, Raja orang Yahudi."
[20] Ramai orang Yahudi membaca tulisan itu, kerana tempat Yesus disalib itu dekat dengan kota, dan tulisan itu dalam bahasa Ibrani, Yunani dan Latin.
[21] Ketua-ketua imam Yahudi pula berkata kepada Pilatus, "Janganlah tulis: 'Raja orang Yahudi.' Tetapi, tulislah: 'Dia berkata Dia Raja orang Yahudi.' "
[22] Pilatus menjawab, "Apa yang sudah kutulis itu sudah kutulis."
[23] Setelah menyalib Yesus, askar-askar mengambil pakaian-Nya, dibahagi empat, sebahagian untuk setiap askar. Mereka mengambil jubah-Nya juga. Jubah itu tidak berkelim, seluruhnya dianyam dari atas.
[24] Oleh itu, mereka berkata-kata sesama sendiri, "Janganlah kita koyakkan. Kita buang undi untuk menentukan siapa yang dapat." Dengan demikian terlaksanalah apa yang tersurat dalam Kitab Suci: "Mereka membahagikan pakaian-Ku antara mereka, dan untuk mendapat jubah-Ku mereka membuang undi." Begitulah yang dilakukan oleh askar-askar itu.
[25] Di tepi salib Yesus berdiri ibu-Nya, dan saudara perempuan ibu-Nya, Maria isteri Klopas, dan Maria Magdalena.
[26] Apabila Yesus melihat ibu-Nya dan murid-Nya yang dikasihi berdiri di situ, Dia pun berkata kepada ibu-Nya, "Lihat, itulah anakmu."
[27] Kepada murid-Nya Dia berkata, "Lihatlah ibumu." Sejak itu murid tersebut mengambil ibu Yesus sebagai ibunya dan membawanya tinggal di rumahnya.
[28] Selepas itu, Yesus mengetahui bahawa segala-galanya telah berlaku sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, lalu berkata, "Aku dahaga."
[29] Di situ ada sebuah bekas berisi air anggur masam. Lalu mereka memenuhkan sebuah span dengan air anggur masam itu, meletakkannya di atas batang hisop dan mencecahkannya ke mulut Yesus.
[30] Setelah Yesus menerima air anggur masam itu, Dia berkata, "Sudah selesai." Dia menundukkan kepala lalu menyerahkan roh-Nya.
[31] Oleh sebab hari itu hari persediaan dan mayat-mayat itu tidak sewajarnya masih ada di atas salib pada hari Sabat (kerana hari Sabat itu hari mulia), orang Yahudi meminta kepada Pilatus agar mayat-mayat itu dipatahkan kakinya dan dibawa pergi.
[32] Askar-askar pun datang mematahkan kaki orang yang disalib bersama Yesus itu, seorang demi seorang.
[33] Tetapi apabila mereka sampai kepada Yesus dan melihat Dia sudah tidak bernyawa lagi, mereka pun tidak mematahkan kaki-Nya.
[34] Tetapi seorang askar itu menikam rusuk-Nya dengan lembing, lalu keluarlah darah dan air.
[35] Maka dia yang melihatnya merakamkan sebagai kesaksian, dan rakamannya itu benar. Dia tahu bahawa dia bercakap benar, supaya kamu percaya.
[36] Semua ini dilakukan supaya terlaksanalah yang tersurat dalam Kitab Suci, "Tidak ada satu pun tulang-Nya akan dipatahkan."
[37] Juga tersurat dalam Kitab Suci, "Mereka akan memandang Dia yang telah ditikam oleh mereka."
[38] Selepas itu, Yusuf yang berasal dari Arimatea meminta izin daripada Pilatus untuk mengambil jenazah Yesus. Yusuf ialah seorang murid Yesus secara diam-diam kerana takut akan ketua orang Yahudi. Dengan izin Pilatus, maka dia datang dan mengambil jenazah Yesus.
[39] Nikodemus, yang pernah mendapatkan Yesus pada suatu malam dahulu, pergi bersama Yusuf membawa ramuan mir dan gaharu sebanyak kira-kira tujuh puluh lima paun.
[40] Mereka mengambil jenazah Yesus lalu mengafankannya dengan kain linen dan ramuan rempah mengikut adat pengebumian orang Yahudi.
[41] Di sebuah taman di tempat Yesus disalib terdapat sebuah makam yang belum pernah digunakan.
[42] Oleh sebab makam itu dekat dan hari itu hari persediaan orang Yahudi, mereka pun memasukkan jenazah Yesus ke dalamnya.