[1] Enam hari sebelum Perayaan Paskah, Yesus pergi ke Betania, tempat tinggal Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian.
[2] Di situ Dia diperjamu. Marta menghidangkan makanan, dan Lazarus serta tetamu lain duduk bertelekan di meja bersama Yesus.
[3] Kemudian Maria membawa sepaun minyak narwastu murni yang mahal, dan menuangkannya ke kaki Yesus, lalu menyapu kaki Yesus dengan rambutnya. Semerbaklah keharuman minyak itu di seluruh rumah.
[4] Yudas Iskariot, salah seorang murid Yesus yang mengkhianati-Nya kelak berkata,
[5] "Mengapakah minyak wangi ini tidak dijual dengan harga tiga ratus keping wang dinar, supaya wangnya dapat disedekahkan kepada orang miskin?"
[6] Yudas berkata demikian bukanlah kerana dia prihatin terhadap orang miskin, tetapi kerana dia yang diamanahkan menyimpan wang bagi mereka sering mencuri sedikit untuk keperluannya.
[7] Yesus berkata, "Biarkan dia begitu. Apa yang dilakukannya dimaksudkan untuk hari pengebumian-Ku.
[8] Orang miskin sentiasa ada di sekitarmu, tetapi Aku tidaklah sentiasa bersamamu."
[9] Apabila orang Yahudi mendengar Yesus ada di Betania, ramai yang ke situ bukan hanya untuk melihat-Nya tetapi juga Lazarus yang telah dibangkitkan-Nya daripada kematian.
[10] Ketua imam merancang hendak membunuh Lazarus juga.
[11] Ini disebabkan ramai orang Yahudi telah berpaling daripada mereka dan percaya kepada Yesus.
[12] Pada keesokan harinya, orang ramai yang datang menyambut Perayaan Paskah mendengar bahawa Yesus sedang dalam perjalanan ke Yerusalem.
[13] Mereka mengambil dahan-dahan pokok palma lalu pergi mengalu-alukan Yesus sambil berseru, "Hosana!" "Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan, Raja Israel!"
[14] Yesus mendapatkan seekor keldai muda lalu menunggangnya, seperti yang tersurat:
[15] "Janganlah takut. Wahai puteri Sion; lihatlah Rajamu datang menunggang seekor keldai muda!"
[16] Sewaktu itu para murid Yesus tidak memahami erti segala ini. Setelah Yesus dimuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya, barulah mereka menyedari bahawa segala yang dilakukan oleh orang ramai terhadap-Nya telah tersurat dalam Kitab Suci.
[17] Orang yang mendengar Yesus memanggil Lazarus keluar dari makam dan melihat Dia membangkitkannya daripada kematian terus memberikan kesaksian tentang kejadian itu.
[18] Dengan demikian, ramai orang datang berjumpa dengan Yesus kerana mendengar tentang mukjizat-Nya itu.
[19] Orang Farisi berkata sesama sendiri, "Lihatlah, sia-sia segala usaha kita. Seluruh dunia telah mengikut-Nya."
[20] Di antara orang ramai yang pergi ke Yerusalem untuk beribadat pada waktu perayaan itu ada sebilangan orang Yunani.
[21] Mereka mendapatkan Filipus, yang berasal dari Betsaida di Galilea, lalu berkata, "Tuan, kami ingin bertemu dengan Yesus."
[22] Filipus pun memberitahu Andreas lalu mereka berdua pergi menyampaikan hal itu kepada Yesus.
[23] Yesus berkata kepada mereka, "Sudah sampai masanya Anak Manusia dimuliakan.
[24] Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, jika benih gandum tidak jatuh di tanah lalu mati, benih gandum itu hanyalah benih. Tetapi sekiranya benih itu mati, benih itu akan banyak menghasilkan buah.
[25] Orang yang sayangkan hidupnya akan kehilangan hidup itu. Tetapi orang yang tidak sayangkan hidupnya di dunia ini akan mendapat hidup yang kekal.
[26] Sesiapa yang ingin mengabdi kepada-Ku mesti mengikut-Ku, dan di mana Aku berada, di situlah juga abdi-Ku. Orang yang mengabdi kepada-Ku akan dihormati oleh Bapa."
[27] "Hati-Ku resah. Apa yang akan Kukatakan? Patutkah Aku berkata, 'Bapa, jauhkanlah Aku daripada saat penderitaan ini?' Namun demikian, sebab itulah Aku datang menghadap saat ini.
[28] Bapa, tunjukkanlah kemuliaan nama-Mu!" Ketika itu kedengaran suara dari langit berkata, "Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi."
[29] Antara orang ramai yang mendengar suara itu, ada yang berkata, "Guruh." Tetapi ada pula yang berkata, "Bukan. Malaikat bercakap kepada-Nya."
[30] Yesus berkata kepada mereka, "Suara itu kedengaran bukan demi kepentingan-Ku tetapi demi kepentinganmu.
[31] Sudah sampailah masanya dunia ini dihakimi. Kini pemerintah dunia ini akan digulingkan.
[32] Apabila Aku diangkat tinggi di atas bumi, Aku akan menarik semua manusia kepada-Ku."
[33] Kata-kata Yesus ini membayangkan cara kematian-Nya kelak.
[34] Orang ramai berkata kepada Yesus, "Dalam hukum Taurat ada tersurat bahawa Kristus yang diutus Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu pula mengatakan bahawa Anak Manusia akan diangkat tinggi di atas bumi? Siapakah Anak Manusia itu?"
[35] Yesus menjawab, "Cahaya itu akan menyertaimu sebentar sahaja lagi. Teruslah berjalan selagi ada cahaya itu sebelum kegelapan menyelubungimu. Seseorang yang berjalan dalam kegelapan tidak tahu ke mana arah tujuannya.
[36] Selagi ada cahaya itu menyertaimu, percayalah kepadanya, supaya kamu menjadi anak-anak cahaya." Setelah berkata-kata demikian, Yesus meninggalkan tempat itu lalu bersembunyi daripada mereka.
[37] Mereka tetap tidak percaya kepada-Nya walaupun telah banyak melihat mukjizat-Nya.
[38] Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya: "Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami? Kepada siapakah tangan Tuhan ditunjukkan?"
[39] Itulah maka mereka tidak percaya, sebagaimana kata Yesaya lagi:
[40] "Dia telah membutakan mata mereka dan menjadikan mereka keras hati. Kalau tidak demikian, mereka tentu melihat dengan mata, dan mengerti dengan hati, lalu berpaling kepada-Ku dan Aku menyembuhkan mereka."
[41] Yesaya berkata demikian kerana dia telah melihat kemuliaan-Nya serta berkata-kata tentang-Nya.
[42] Sebenarnya banyak juga pemerintah yang percaya kepada Yesus. Namun demikian, disebabkan orang Farisi itu, mereka tidak berani mengakui-Nya secara terbuka kerana takut disingkirkan daripada saumaah.
[43] Mereka lebih mencintai pujian manusia daripada pujian Allah.
[44] Yesus berseru, "Sesiapa yang percaya kepada-Ku, juga percaya kepada Dia yang mengutus-Ku.
[45] Sesiapa yang melihat-Ku, juga melihat Dia yang mengutus-Ku.
[46] Aku datang ke dunia ini sebagai cahaya, supaya manusia yang percaya kepada-Ku tidak akan terus tinggal dalam kegelapan.
[47] Sekiranya seseorang mendengar kata-kata-Ku tetapi tidak mematuhinya, Aku tidak akan menghukumnya. Aku datang bukan untuk menghukum dunia ini tetapi untuk menyelamatkannya.
[48] Ada hakim bagi sesiapa yang tidak menerima-Ku dan kata-kata-Ku. Kata-kata yang Kusampaikan itulah yang akan menghakiminya pada hari akhir.
[49] Aku bercakap bukan mengikut kehendak-Ku sendiri. Bapa yang mengutus-Ku memerintahkan Aku tentang apa yang harus Kukatakan dan bagaimana menyampaikannya.
[50] Aku tahu bahawa perintah-Nya itu membawa hidup kekal. Oleh itu, apa yang Kukatakan, Kusampaikan sebagaimana disuruh oleh Bapa-Ku."