[1] Sebelum Perayaan Paskah, Yesus tahu bahawa telah sampai masanya Dia meninggalkan dunia ini dan pulang kepada Bapa. Setelah mengasihi sekalian orang yang menjadi milik-Nya di dunia ini, Yesus mengasihi mereka hingga ke saat akhir.
[2] Semasa Yesus dan murid-murid-Nya sedang makan malam, Iblis sudah pun menimbulkan niat dalam hati Yudas anak Simon Iskariot untuk mengkhianati Yesus.
[3] Yesus tahu bahawa Bapa telah menyerahkan segala perkara kepada-Nya; bahawa Dia datang daripada Allah dan akan pulang kepada-Nya.
[4] Dengan demikian, Yesus berdiri lalu melucutkan jubah-Nya dan mengikat sehelai tuala di pinggang-Nya.
[5] Kemudian Dia menuang air ke dalam sebuah baldi lalu membasuh kaki murid-murid-Nya dan mengeringkannya dengan tuala di pinggang-Nya.
[6] Ketika Dia sampai kepada Simon Petrus, bertanyalah Simon kepada-Nya, "Tuhan, wajarkah Engkau membasuh kakiku?"
[7] Yesus menjawab, "Sekarang kamu tidak mengerti perbuatan-Ku ini tetapi pada kemudian hari kamu akan mengerti."
[8] Petrus berkata kepada Yesus, "Tidak! Engkau sekali-kali tidak boleh membasuh kakiku!" Namun demikian, Yesus menjawab, "Jika Aku tidak membasuhmu, kamu tidaklah lagi mempunyai bahagian dalam apa yang Kulakukan."
[9] Simon Petrus berkata, "Tuhan, kalau begitu janganlah basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!"
[10] Yesus berkata kepadanya, "Orang yang sudah mandi telah bersih seluruh tubuhnya, cuma kakinya yang perlu dibasuh. Kamu memang bersih tetapi bukan semua kamu."
[11] Yesus tahu siapa yang akan mengkhianati-Nya. Itulah sebabnya Dia berkata, "Bukan semua yang bersih."
[12] Setelah membasuh kaki murid-murid-Nya, Yesus memakai semula jubah-Nya dan kembali ke tempat-Nya di meja. Lalu Dia berkata kepada mereka, "Fahamkah kamu apa yang Kulakukan untukmu?
[13] Kamu memanggil-Ku Guru dan Tuhan. Tepatlah panggilanmu itu, kerana Aku memang Guru dan Tuhan.
[14] Jika Aku sebagai Tuhan dan Gurumu sanggup membasuh kaki kamu, maka haruslah kamu saling membasuh kaki sesama sendiri.
[15] Aku telah memberi teladan kepada kamu semua. Lakukanlah apa yang telah Kulakukan untukmu.
[16] Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang hamba tidak lebih besar daripada tuannya. Begitu jugalah, seorang yang diutus tidak mungkin lebih besar daripada orang yang mengutusnya.
[17] Sekiranya kamu mengerti hal ini dan melakukannya, diberkatilah kamu.
[18] Apa yang Kukatakan itu bukanlah tentang kesemua kamu. Aku mengenal setiap orang yang telah Kupilih. Tetapi apa yang tersurat dalam Kitab Suci pastilah terlaksana, 'Orang yang makan bersama-Ku telah berpaling menentang-Ku.'
[19] Aku memberitahumu hal ini sebelum berlaku supaya setelah terjadi nanti, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia.
[20] Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menerima orang yang Kuutus, menerima-Ku. Sesiapa yang menerima-Ku, menerima Dia yang mengutus-Ku."
[21] Setelah melafazkan kata-kata itu, Yesus berasa gundah. Dia pun berkata dengan terus terang, "Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, seorang daripadamu akan mengkhianati-Ku."
[22] Para murid Yesus berpandangan, tertanya-tanya dalam hati siapa agaknya yang dimaksudkan oleh Yesus.
[23] Salah seorang murid yang dikasihi oleh Yesus duduk bertelekan di sisi-Nya.
[24] Simon Petrus pun memberi isyarat kepadanya, "Tanyalah, siapa yang dimaksudkan-Nya itu."
[25] Murid itu melayah dekat kepada Yesus lalu bertanya, "Siapakah dia, ya Tuhan?"
[26] Yesus menjawab, "Orang yang Kuberi roti yang telah Kucelupkan ke dalam mangkuk, dialah orangnya." Yesus pun mengambil secebis roti, dicelupkannya lalu diberikannya kepada Yudas anak Simon Iskariot.
[27] Sebaik-baik Yudas menerima roti itu, masuklah Iblis ke dalam hatinya. Yesus pun berkata kepadanya, "Apa yang hendak kaulakukan, segeralah lakukan."
[28] Tiada seorang pun yang makan di situ tahu apa maksudnya Yesus berkata demikian kepada Yudas.
[29] Beberapa orang murid Yesus menyangka Yesus menyuruh Yudas membeli bekalan yang diperlukan untuk Perayaan Paskah, atau memberi sedekah kepada orang miskin kerana Yudas yang bertanggungjawab atas wang mereka.
[30] Yudas menyambut roti yang dihulurkan oleh Yesus lalu segera pergi. Ketika itu hari sudah malam.
[31] Setelah Yudas pergi, Yesus berkata, "Sekarang Anak Manusia dimuliakan, dan Allah dimuliakan melalui-Nya.
[32] Jika Allah dimuliakan melalui Dia, Allah pun akan memuliakan Dia dalam diri-Nya segera.
[33] Anak-anak-Ku, Aku tidak akan lama lagi bersamamu. Kamu akan mencari-Ku, tetapi apa yang telah Kukatakan kepada orang Yahudi kini Kukatakan kepadamu juga, 'Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat ikut.'
[34] Inilah perintah baru yang Kuberikan kepadamu: Kasihilah satu sama lain. Sebagaimana Aku telah mengasihimu, kasihilah sesama sendiri.
[35] Daripada sikapmu yang saling mengasihi itu, semua orang akan tahu bahawa kamu murid-Ku."
[36] Simon Petrus bertanya kepada Yesus, "Ke mana Tuhan hendak pergi?" Yesus menjawab, "Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat mengikut-Ku sekarang, tetapi satu hari nanti kamu akan mengikut-Ku ke situ."
[37] Petrus bertanya lagi, "Tuhan, mengapa aku tidak dapat mengikut Engkau sekarang? Aku rela mati untuk-Mu, Tuhan!"
[38] Yesus menjawab, "Benarkah kamu rela mati untuk-Ku? Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sebelum ayam berkokok, kamu akan menyangkal Aku tiga kali."