[1] Pada suatu ketika, seorang lelaki bernama Lazarus jatuh sakit. Dia tinggal di Betania bersama dua orang saudara perempuannya bernama Maria dan Marta.
[2] Maria, yang saudaranya Lazarus sedang sakit, merupakan seorang perempuan yang dahulu pernah menuangkan minyak wangi ke kaki Tuhan dan menyapunya dengan rambutnya.
[3] Kedua-dua beradik perempuan itu mengirim khabar kepada Yesus, "Tuhan, dia yang Kaukasihi itu sakit."
[4] Apabila menerima berita itu, Yesus berkata, "Sakit Lazarus tidak akan membawa maut. Hal ini berlaku untuk memuliakan Allah. Disebabkan kejadian ini Anak Allah akan dimuliakan."
[5] Yesus mengasihi Marta, Maria dan Lazarus.
[6] Tetapi apabila Dia mendapat berita Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi.
[7] Kemudian Dia berkata kepada murid-murid-Nya, "Marilah kita pulang ke Yudea."
[8] Para murid-Nya menjawab, "Rabbi, bukankah orang Yahudi di situ baru sahaja hendak merejam-Mu? Sekarang Engkau hendak pulang ke situ?"
[9] Yesus berkata, "Bukankah waktu siang dua belas jam lamanya? Orang yang berjalan pada waktu siang tidak akan tersandung kakinya, kerana masih ada cahaya di dunia ini.
[10] Tetapi jika dia berjalan pada waktu malam, kakinya akan tersandung kerana sudah tiada cahaya lagi."
[11] Kemudian Yesus menambah, "Sahabat kita Lazarus sedang tidur. Aku akan pergi membangunkannya."
[12] Para murid Yesus berkata, "Tuhan, sekiranya Lazarus tidur, dia akan sembuh."
[13] Yang dimaksudkan oleh Yesus ialah Lazarus sudah meninggal dunia, tetapi murid-murid-Nya mengambil erti tidur yang biasa.
[14] Oleh itu, Yesus berkata kepada mereka dengan jelas, "Lazarus sudah meninggal.
[15] Tetapi, untuk kebaikanmu, Aku bersyukur Aku tidak bersamanya ketika itu. Dengan demikian kamu akan percaya kepada-Ku. Marilah kita pergi kepadanya."
[16] Tomas yang disebut Didimus berkata kepada murid Yesus yang lain. "Ya, marilah kita pergi juga supaya kita mati bersama-Nya!"
[17] Ketika Yesus sampai, Dia mendapati Lazarus sudah empat hari di dalam makam.
[18] Betania terletak kira-kira dua batu dari Yerusalem.
[19] Oleh itu, ramai orang Yahudi datang melawat Maria dan Marta untuk melipurkan hati mereka yang duka kerana kematian Lazarus.
[20] Apabila Marta mendengar Yesus datang, dia terus pergi untuk menyambut-Nya, manakala Maria tinggal di rumah.
[21] Marta berkata kepada Yesus, "Ya Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!
[22] Aku tahu, sekarang pun apa sahaja permintaan-Mu akan dikabulkan Allah."
[23] Yesus berkata kepada Marta, "Saudaramu akan hidup kembali."
[24] Marta menjawab, "Aku tahu Lazarus akan hidup kembali pada hari akhir."
[25] Yesus berkata kepada Marta, "Akulah kebangkitan dan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati.
[26] Orang hidup yang percaya kepada-Ku tidak akan mati selama-lamanya. Percayakah kamu?"
[27] Marta menjawab, "Ya Tuhan, aku percaya bahawa Engkaulah Kristus, Anak Allah, yang diutus oleh Allah, dan yang akan datang ke dunia ini."
[28] Setelah itu, Marta pergi memanggil saudaranya Maria dan berbisik kepadanya, "Guru ada di sini. Dia memanggilmu."
[29] Maria pun segera bangun lalu pergi untuk berjumpa dengan Yesus.
[30] Pada waktu itu Yesus belum sampai di kampung mereka. Dia masih di tempat Marta menyambut-Nya.
[31] Apabila orang Yahudi yang ada di rumah Maria untuk melipurkan hatinya itu melihat dia segera bangun lalu keluar, mereka pun mengikutnya kerana menyangka dia hendak ke makam Lazarus untuk menangisinya.
[32] Setelah Maria melihat Yesus, dia berlutut di kaki-Nya lalu berkata, "Tuhan, kalaulah Engkau ada di sini pada waktu itu, tentu saudaraku masih hidup!"
[33] Ketika melihat Maria menangis dan semua orang Yahudi yang bersamanya, turut mengalirkan air mata, Yesus sungguh hiba dan terharu.
[34] Dia bertanya kepada mereka, "Di manakah kamu letakkan dia?" Mereka menjawab, "Marilah lihat, ya Tuhan."
[35] Yesus menangis.
[36] Semua orang Yahudi yang hadir berkata, "Lihatlah! Dia sungguh kasih akan Lazarus."
[37] Namun demikian, ada yang berkata, "Dia dapat mencelikkan orang buta. Tidakkah Dia dapat mengelakkan kematian Lazarus?"
[38] Yesus yang masih terharu pergi ke makam Lazarus, iaitu sebuah gua yang ditutup dengan batu besar.
[39] Yesus berkata, "Alihkan batu itu." Tetapi Marta, saudara perempuan kepada orang yang meninggal itu, berkata, "Tuhan, sudah empat hari dia dimakamkan, tentu berbau."
[40] Yesus berkata kepada Marta, "Bukankah sudah Kukatakan kepadamu, kalau kamu percaya, kamu dapat melihat kemuliaan Allah?"
[41] Mereka mengalihkan batu itu. Yesus menengadah ke langit lalu berkata, "Ya Bapa, Aku bersyukur kepada-Mu kerana Engkau mendengar permintaan-Ku.
[42] Aku tahu Engkau memang sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku menyebutnya untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya Engkau mengutus-Ku."
[43] Selepas itu, Yesus berseru lantang, "Lazarus, keluar!"
[44] Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih berbalut kain kafan, mukanya masih dilitupi kain penutup muka. Yesus berkata kepada orang ramai di situ, "Lucutkan kain kafannya dan lepaskan dia."
[45] Ramai orang Yahudi yang datang melawat Maria dan melihat apa yang dilakukan oleh Yesus terus percaya kepada-Nya.
[46] Namun demikian, ada yang pulang mendapatkan orang Farisi dan melaporkan apa yang dilakukan oleh Yesus.
[47] Oleh yang demikian, orang Farisi dan ketua imam mengadakan mesyuarat Majlis Agama. Mereka berkata, "Apakah yang patut kita buat? Lihatlah, orang itu banyak melakukan mukjizat!
[48] Jika kita biarkan Dia terus melakukannya, semua orang akan percaya kepada-Nya. Nanti orang Romawi akan datang memusnahkan kedudukan dan bangsa kita!"
[49] Seorang daripada mereka bernama Kayafas, seorang imam besar pada tahun itu, berkata pula, "Kamu semua tidak tahu suatu apa pun.
[50] Kamu tidak faham bahawa lebih baik satu orang mati untuk bangsa kita, daripada seluruh bangsa kita dimusnahkan?"
[51] Kayafas bukanlah melahirkan pendapatnya sendiri. Sebagai imam besar tahun itu, dia bernubuat bahawa Yesus akan mati untuk bangsa Yahudi.
[52] Sebenarnya Yesus mati bukan untuk bangsa Yahudi sahaja, tetapi untuk menyatukan seluruh anak Allah yang berselerak di merata-rata tempat.
[53] Sejak hari itu, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Yesus.
[54] Yesus tidak lagi pergi ke sana ke mari secara terbuka di antara orang Yahudi. Dia beredar ke daerah bernama Efraim dekat gurun, dan menetap di sana bersama murid-murid-Nya.
[55] Menjelang Perayaan Paskah, ramai orang Yahudi dari kampung pergi ke Yerusalem untuk menjalani upacara bersuci sebelum perayaan itu.
[56] Mereka mencari Yesus. Ketika di Bait Suci, mereka bertanya sesama sendiri, "Bagaimana fikiranmu? Datangkah Dia ke perayaan ini?"
[57] Ketua imam dan orang Farisi telah mengeluarkan perintah bahawa sesiapa yang tahu di mana Yesus berada mesti melaporkannya supaya Dia dapat ditangkap.