Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 8:15

[1] Demikianlah firman yang turun daripada Tuhan kepada Yeremia,

[2] "Berdirilah di pintu gerbang Bait Tuhan, serukanlah firman ini di sana dan katakanlah, 'Dengarlah firman Tuhan, wahai semua orang Yehuda yang masuk melalui pintu-pintu gerbang ini untuk menyembah Tuhan!

[3] Beginilah firman Tuhan alam semesta, Allah Israel: Perbaiklah perilakumu dan perbuatanmu, maka Aku akan membiarkan kamu diam di tempat ini.

[4] Jangan percaya kepada perkataan dusta yang berbunyi, 'Inilah Bait Suci Tuhan, Bait Suci Tuhan, Bait Suci Tuhan.'

[5] Jika kamu sungguh-sungguh memperbaik perilakumu dan perbuatanmu, jika kamu sungguh-sungguh melaksanakan keadilan antara satu sama lain,

[6] tidak menindas pendatang, anak yatim, dan balu, tidak menumpahkan darah orang yang tidak bersalah di tempat ini, dan tidak mengikuti tuhan-tuhan lain yang akan mendatangkan kemalangan terhadap dirimu sendiri,

[7] maka Aku akan membiarkan kamu diam di tempat ini, di negeri yang telah Kukurniakan kepada nenek moyangmu sejak dahulukala untuk selama-lamanya.

[8] Tetapi kamu percaya kepada perkataan dusta yang tidak memberikan faedah.

[9] Masakan kamu mencuri, membunuh, berzina, bersumpah dusta, membakar dupa bagi Baal, dan mengikuti tuhan-tuhan lain yang tidak kamu kenal,

[10] kemudian datang dan berdiri di hadirat-Ku dalam Bait yang disebut dengan nama-Ku ini, sambil berkata, 'Kita diselamatkan' – sehingga dapat melakukan segala kekejian ini?

[11] Adakah bait yang disebut dengan nama-Ku ini sudah kamu anggap sebagai sarang penyamun? Sesungguhnya, Aku sendiri melihatnya," demikianlah firman Tuhan.

[12] "Pergilah ke tempat suci-Ku di Silo, tempat Aku menegakkan nama-Ku pada mula-mulanya, dan lihatlah apa yang telah Kulakukan terhadap tempat itu kerana kejahatan umat-Ku Israel!

[13] Kamu telah melakukan segala perbuatan itu," demikianlah firman Tuhan, "walaupun Aku telah terus-menerus berfirman kepadamu tetapi kamu tidak mahu mendengar, dan Aku telah berseru kepadamu tetapi kamu tidak mahu menjawab.

[14] Maka sekarang, seperti yang Kulakukan terhadap Silo, demikianlah akan Kulakukan terhadap bait yang disebut dengan nama-Ku, yang kamu harapkan itu, serta terhadap tempat yang telah Kukurniakan kepadamu dan kepada nenek moyangmu.

[15] Aku akan membuang kamu dari hadirat-Ku, sebagaimana Aku membuang semua saudaramu, iaitu seluruh keturunan Efraim."

[16] "Mengenai engkau, jangan berdoa bagi bangsa ini dan jangan panjatkan permohonan atau doa bagi mereka. Jangan desak Aku, kerana Aku tidak akan mendengar engkau.

[17] Tidakkah kaulihat apa yang dilakukan mereka di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem?

[18] Anak memungut kayu, ayah menyalakan api, dan kaum perempuan menguli adunan untuk membuat penganan bagi Ratu Langit. Mereka mencurahkan persembahan minuman bagi tuhan-tuhan lain untuk membangkitkan murka-Ku.

[19] Sungguhkah Aku yang disakiti mereka?" demikianlah firman Tuhan, "Bukankah diri mereka sendiri yang disakiti sehingga muka mereka tercoreng?"

[20] Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan Allah, "Sesungguhnya, amarah-Ku dan murka-Ku akan dicurahkan ke atas tempat ini atas manusia, atas binatang, atas pepohonan di padang, dan atas hasil tanah. Murka itu akan menyala-nyala dan tidak dapat dipadamkan."

[21] Beginilah firman Tuhan alam semesta, Allah Israel, "Tambahkan sajalah korban bakaranmu kepada korban sembelihanmu, lalu makanlah dagingnya.

[22] Sesungguhnya, pada waktu Aku membawa nenek moyangmu keluar dari Tanah Mesir, Aku tidak berfirman atau memerintahkan mereka tentang korban bakaran dan korban sembelihan.

[23] Tetapi hal inilah yang Kuperintahkan kepada mereka, 'Patuhilah Aku, maka Aku akan menjadi Allahmu dan kamu akan menjadi umat-Ku. Tempuhlah segala jalan yang Kuperintahkan kepadamu, supaya baik keadaanmu.'

[24] Tetapi mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu memberikan perhatian. Mereka malah mengikuti rancangan sendiri dan kedegilan hati mereka yang jahat. Mereka mundur, bukan maju.

[25] Sejak nenek moyangmu keluar dari Tanah Mesir sampai hari ini, Aku mengutus semua hamba-Ku, para nabi kepadamu, setiap hari dan terus-menerus.

[26] Tetapi mereka tidak mahu mendengar Aku atau memberikan perhatian. Mereka malah mengeraskan hati dan berbuat lebih jahat daripada nenek moyang mereka.

[27] Engkau akan menyampaikan segala hal ini kepada mereka, tetapi mereka tidak akan mendengar engkau. Engkau akan berseru kepada mereka, tetapi mereka tidak akan menjawab engkau.

[28] Jadi, katakanlah kepada mereka, 'Inilah bangsa yang tidak mahu mematuhi Tuhan Allah mereka, dan yang tidak mahu menerima pengajaran. Kebenaran sudah hilang lenyap daripada mulut mereka.' "

[29] "Cukurlah rambutmu dan buanglah! Nyaringkanlah ratapan di atas bukit-bukit yang gondol, kerana Tuhan telah menolak dan meninggalkan keturunan yang dimurkai-Nya!

[30] Bani Yehuda telah melakukan apa yang jahat di mata-Ku," demikianlah firman Tuhan. "Mereka menaruh tuhan mereka yang menjijikkan di dalam bait yang disebut dengan nama-Ku, untuk menajiskannya.

[31] Mereka juga membangunkan bukit pemujaan Tofet di Lembah Ben-Hinom untuk membakar habis anak-anak mereka baik lelaki mahupun perempuan – suatu hal yang tidak pernah Kuperintahkan dan yang tidak pernah terpersil dalam hati-Ku.

[32] Oleh sebab itu ketahuilah, waktunya akan datang," demikianlah firman Tuhan, "bahawa orang tidak lagi akan menyebutnya Tofet atau Lembah Ben-Hinom, tetapi Lembah Pembunuhan. Tofet akan menjadi tempat menguburkan orang kerana tidak ada tempat lagi.

[33] Mayat bangsa ini akan menjadi makanan burung di udara dan binatang di bumi tanpa ada yang mengusik mereka.

[34] Di kota-kota Yehuda dan di jalan-jalan Yerusalem akan Kuhentikan suara kegirangan dan suara kegembiraan, suara pengantin lelaki dan suara pengantin perempuan, kerana negeri ini akan menjadi reruntuhan."

Yeremia — Chapters