[1] Beginilah firman Tuhan kepadaku, "Pergilah, belilah ikat pinggang daripada kain linen. Kenakannya pada pinggangmu, tetapi jangan sampai terkena air!"
[2] Maka aku pun membeli ikat pinggang selaras dengan firman Tuhan, lalu mengenakannya pada pinggangku.
[3] Kemudian untuk kali kedua datanglah firman Tuhan kepadaku demikian,
[4] "Ambillah ikat pinggang yang telah kaubeli, yang ada pada pinggangmu itu. Segeralah pergi ke Sungai Efrat, dan sembunyikanlah ikat pinggang itu di sana, di celah-celah bukit batu."
[5] Maka pergilah aku menyembunyikan ikat pinggang itu di tepi Sungai Efrat, seperti yang diperintahkan Tuhan kepadaku.
[6] Setelah beberapa hari lamanya, Tuhan berfirman kepadaku, "Segeralah pergi ke Sungai Efrat dan ambillah dari sana ikat pinggang yang Kusuruh kausembunyikan di sana!"
[7] Maka aku pun pergi ke Sungai Efrat. Kulakukan penggalian dan kuambil ikat pinggang itu dari tempat aku menyembunyikannya. Ternyata ikat pinggang itu sudah lapuk, tidak berguna untuk apa-apa pun.
[8] Kemudian datanglah firman Tuhan kepadaku,
[9] "Beginilah firman Tuhan, 'Demikianlah kelak Kutiadakan kesombongan Yehuda dan kesombongan besar Yerusalem.
[10] Bangsa yang durjana ini – yang enggan mendengar firman-Ku, yang menuruti kedegilan hati dan mengikuti tuhan-tuhan lain untuk beribadat serta sujud menyembah tuhan-tuhan itu – akan menjadi seperti ikat pinggang ini, yang tidak berguna untuk apa-apa pun.
[11] Seperti ikat pinggang yang melekat pada pinggang seseorang, demikianlah tadinya Aku melekatkan seluruh keturunan kaum Israel dan seluruh keturunan kaum Yehuda pada-Ku,' demikianlah firman Tuhan, 'supaya mereka menjadi umat yang ternama, terpuji, serta terhormat bagi-Ku. Tetapi mereka tidak mahu mendengar.' "
[12] "Katakanlah kepada mereka firman ini, 'Beginilah firman Tuhan, Allah Israel: Setiap buyung harus dipenuhi dengan air anggur.' Jika mereka berkata kepadamu, 'Tidakkah kami tahu bahawa setiap buyung harus dipenuhi dengan air anggur?'
[13] maka katakanlah kepada mereka, 'Beginilah firman Tuhan: Sesungguhnya, Aku akan memenuhi seluruh penduduk negeri ini – raja yang duduk di atas takhta Daud, imam, nabi, dan seluruh penduduk Yerusalem – dengan kemabukan.
[14] Aku akan menghempaskan mereka atas satu sama lain, ayah dan anak sekali gus, demikianlah firman Tuhan. Aku akan membinasakan mereka tanpa rasa sayang, tanpa rasa hiba, dan tanpa belas kasihan."
[15] Dengarlah dan pasanglah telingamu! Jangan sombong, kerana Tuhan telah berfirman.
[16] Muliakanlah Tuhan, Allahmu, sebelum Dia mendatangkan kegelapan dan sebelum kakimu tersandung di atas pergunungan pada waktu senja. Kamu mengharapkan cahaya, tetapi Dia mengubahnya menjadi bayang-bayang maut. Dia menjadikannya kelam pekat.
[17] Tetapi jika kamu tidak mahu mendengar, aku akan menangisi kesombonganmu di tempat tersembunyi. Aku akan menangis tersedu-sedu dan menitiskan air mata, kerana kawanan domba Tuhan telah ditawan.
[18] Katakanlah kepada raja dan kepada bonda permaisuri, "Duduklah di tempat yang rendah kerana perhiasan kepalamu telah diturunkan, iaitu mahkota kemuliaanmu."
[19] Kota-kota di Tanah Negeb ditutup dan tidak ada yang dapat membukanya. Seluruh Yehuda diangkut ke tempat pembuangan, semuanya diangkut ke tempat pembuangan.
[20] Layangkanlah pandangan dan lihatlah orang yang datang dari utara! Di manakah kawanan ternak yang diberikan kepadamu, kawanan domba yang kaumegahkan itu?
[21] Apakah yang akan kaukatakan apabila diangkat menjadi kepalamu orang yang kaulatih menjadi sekutumu? Tidakkah rasa sakit akan mencengkam engkau seperti halnya perempuan yang bersalin?
[22] Jika engkau bertanya-tanya dalam hatimu, "Mengapa hal-hal ini terjadi kepadaku?" Itu terjadi kerana banyaknya kesalahanmu, sehingga hujung kainmu disingkapkan dan engkau diperkosa.
[23] Dapatkah orang Ethiopia mengubah kulitnya, atau harimau bintang mengubah bintiknya? Jika dapat, maka kamu pun yang biasa berbuat jahat akan dapat berbuat baik.
[24] "Aku akan mencerai-beraikan mereka seperti tunggul jerami yang diterbangkan angin gurun.
[25] Inilah nasibmu, bahagian yang telah Kutakar untukmu," demikianlah firman Tuhan, "kerana engkau telah melupakan Aku dan mempercayai dusta.
[26] Aku pun akan menyingkapkan hujung kainmu sampai ke mukamu sehingga aibmu kelihatan,
[27] iaitu perzinaanmu dan ringkikan berahimu, persundalanmu yang lucah di atas bukit-bukit di padang. Aku telah melihat perbuatanmu yang menjijikkan itu. Malangnya engkau, wahai Yerusalem! Berapa lama lagi engkau tidak mahu disucikan?