Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:11

[1] Inilah sejarah penawanan Yerusalem. Pada bulan kesepuluh dalam tahun kesembilan zaman pemerintahan Zedekia, raja Yehuda, datanglah Nebukadnezar, raja Babel, dengan seluruh pasukannya menyerang Yerusalem dan mengepungnya.

[2] Lalu pada tahun kesebelas zaman pemerintahan Zedekia, tepatnya pada hari kesembilan bulan keempat, terbongkarlah tembok kota.

[3] Semua perwira raja Babel masuk lalu menduduki Pintu Gerbang Tengah. Mereka ialah Nergal-Sarezer, Samgarnebo, Sarsekim sang ketua jururasa santapan, Nergal-Sarezer sang kepala tukang ramal, dan semua pembesar raja Babel yang selebihnya.

[4] Apabila Zedekia, raja Yehuda, dan semua pejuang melihat orang itu, larilah mereka pada waktu malam dari kota melalui jalan taman raja dan pintu gerbang di antara kedua-dua tembok, pergi menuju Araba.

[5] Tetapi pasukan orang Kasdim mengejar mereka dan menyusul Zedekia di dataran Yerikho. Mereka menangkapnya dan membawanya ke Ribla di Tanah Hamat menghadap Nebukadnezar, raja Babel. Nebukadnezar pun menjatuhkan hukuman atasnya.

[6] Raja Babel menyuruh agar anak-anak Zedekia disembelih di Ribla di hadapan matanya dan semua bangsawan Yehuda dibunuh.

[7] Kemudian mata Zedekia dibutakan dan dia dibelenggu dengan rantai gangsa lalu dibawa ke Babel.

[8] Orang Kasdim membakar habis istana raja dan rumah rakyat serta merobohkan tembok-tembok Yerusalem.

[9] Nebuzaradan, kepala pasukan pengawal, membuang saki-baki rakyat yang masih tinggal di kota, para pembelot yang memihak kepadanya, dan saki-baki rakyat yang masih tinggal ke Babel.

[10] Tetapi Nebuzaradan, kepala pasukan pengawal, meninggalkan sebahagian rakyat miskin yang tidak punya apa-apa di Tanah Yehuda, dan memberi mereka kebun-kebun anggur serta ladang-ladang pada waktu itu juga.

[11] Nebukadnezar, raja Babel, memberikan perintah mengenai Yeremia dengan perantaraan Nebuzaradan, kepala pasukan pengawal, demikian,

[12] "Bawalah dan perhatikanlah dia. Jangan lakukan sesuatu yang buruk terhadapnya, tetapi lakukanlah permintaannya kepadamu."

[13] Maka Nebuzaradan, kepala pasukan pengawal, berserta Nebusyazban ketua sida-sida, Nergal-Sarezer ketua tukang ramal, dan semua pembesar raja Babel, mengutus orang

[14] untuk mengambil Yeremia daripada pelataran penjagaan. Maka mereka menyerahkan Yeremia kepada Gedalya anak Ahikam anak Safan supaya dia membawanya pulang ke rumahnya. Maka tinggallah Yeremia dalam kalangan rakyat.

[15] Ketika Yeremia masih terkurung di pelataran penjagaan, datanglah firman Tuhan kepadanya demikian,

[16] "Pergilah dan katakanlah kepada Ebed-Melekh, orang Kush itu, 'Beginilah firman Tuhan alam semesta, Allah Israel: Sesungguhnya, Aku akan melaksanakan firman-Ku terhadap kota ini demi kesusahannya, bukan kebaikannya. Semua itu akan terjadi di hadapan matamu pada hari yang sama.

[17] Tetapi pada waktu itu Aku akan melepaskan engkau, demikianlah firman Tuhan. Engkau tidak akan diserahkan ke dalam tangan orang yang kautakuti.

[18] Aku pasti menyelamatkan engkau dan engkau tidak akan tewas oleh pedang. Nyawamu akan seperti barang jarahan bagi dirimu sendiri, kerana engkau percaya kepada-Ku, demikianlah firman Tuhan.' "

Yeremia — Chapters