[1] Firman Tuhan datang kepada Nabi Yeremia mengenai orang Filistin, sebelum Firaun mengalahkan Gaza.
[2] Beginilah firman Tuhan, "Lihat, air meluap dari utara menjadi sungai yang menghanyutkan, meliputi negeri dan segala isinya, kota serta penduduknya. Manusia akan menjerit dan seluruh penduduk negeri akan meraung-raung
[3] mendengar bunyi derap kuku kudanya, mendengar deru rata-ratanya, gemuruh roda-rodanya. Ayah tidak berani menoleh ke belakang kepada anak mereka, semangat mereka patah,
[4] kerana waktunya telah tiba untuk membinasakan semua orang Filistin dan untuk melenyapkan semua penolong yang masih tinggal di Tirus dan Sidon. Sesungguhnya, Tuhan akan membinasakan orang Filistin, saki-baki orang Pulau Kaftor.
[5] Gaza menjadi gondol, Askelon dimusnahkan. Wahai orang yang tersisa di lembahnya, berapa lama lagi engkau menoreh-noreh diri?
[6] Ah, pedang Tuhan, berapa lama lagi baru engkau berhenti? Masuklah ke dalam sarungmu, tenanglah dan diamlah!
[7] Bagaimanakah dia dapat berhenti, sedangkan Tuhan telah memberinya perintah? Ke Askelon dan ke tepi laut, ke sanalah Dia menetapkannya."