[1] Sesungguhnya, tangan Tuhan tidak kurang berkuasa untuk menyelamatkan, dan pendengaran-Nya tidak tumpul untuk mendengar.
[2] Tetapi kesalahanmu telah menjadi pemisah antara kamu dengan Allahmu, dan dosa-dosamu membuat Dia menyembunyikan diri daripadamu sehingga Dia tidak mendengar.
[3] Tanganmu dicemari darah dan jari-jarimu oleh kesalahan. Bibirmu mengucapkan dusta, lidahmu mengungkapkan kezaliman.
[4] Tidak ada yang mengajukan pengaduan dengan benar dan tidak ada yang mengadili dengan jujur. Mereka menaruh harapan pada kesia-siaan dan mengucapkan dusta, mereka mengandung bencana dan melahirkan kejahatan.
[5] Mereka menetaskan telur ular kapak dan menenun sarang lelabah. Sesiapa yang makan telur itu akan mati, dan telur yang pecah menetaskan ular kapak.
[6] Sarang lelabahnya tidak dapat menjadi pakaian, mereka tidak dapat menutupi tubuh dengan hasil buatan mereka itu. Perbuatan mereka ialah perbuatan jahat, tindak kekerasan ada di tangan mereka.
[7] Kaki mereka berlari-lari menuju kejahatan, mereka cepat untuk menumpahkan darah orang yang tidak bersalah. Rancangan mereka adalah rancangan jahat, kemusnahan dan kehancuran ada di laluan mereka.
[8] Mereka tidak mengenal jalan damai; tidak ada keadilan dalam jalur mereka. Mereka membuat jalan bengkok, siapa pun yang menempuhnya tidak akan mengenal damai.
[9] Oleh sebab itu keadilan jauh daripada kami dan perbenaran tidak sampai kepada kami. Kami menantikan cahaya, tetapi hanya ada kegelapan, kami menantikan cahaya, tetapi kami berjalan dalam kekelaman.
[10] Seperti orang buta, kami meraba-raba tembok, meraba-raba seperti orang yang tidak punya mata. Pada tengah hari kami terhantuk seperti pada waktu senja, orang lain kuat-kuat, tetapi kami seperti orang mati.
[11] Kami semua meraung seperti beruang dan merintih seperti burung merpati. Kami menantikan keadilan, tetapi tiada yang kunjung datang, kami menantikan penyelamatan, tetapi hal itu jauh daripada kami.
[12] Sungguh, pelanggaran kami bertambah banyak di hadapan-Mu dan dosa-dosa kami bersaksi menentang kami. Sungguh, pelanggaran kami ada pada kami, dan kami menyedari kesalahan kami.
[13] Kami menderhaka dan menyangkal Tuhan, kami berpaling meninggalkan Allah kami. Kami membangkitkan penindasan dan perbantahan, kami mengandung perkataan dusta dalam hati dan mengeluarkannya.
[14] Keadilan dipukul mundur dan kebenaran berdiri jauh-jauh. Sungguh, kebenaran tersandung di tempat umum dan kejujuran tidak dapat masuk.
[15] Kebenaran telah hilang. Orang yang menjauhkan diri daripada kejahatan menjadikan dirinya korban jarahan. Tuhan melihat hal itu dan Dia tidak berkenan, bahawa tidak ada keadilan.
[16] Dia melihat bahawa tiada seorang pun yang tampil, dan Dia hairan kerana tidak ada yang menjadi pengantara. Oleh sebab itu kuasa-Nya sendiri membawa kemenangan bagi-Nya, dan perbenaran-Nya sendiri membantu Dia.
[17] Dia mengenakan perbenaran sebagai baju zirah, dan ketopong penyelamatan ada di kepala-Nya. Dia mengenakan pakaian pembalasan dan menyelubungkan semangat sebagai jubah.
[18] Selaras dengan perbuatan-perbuatan mereka, demikianlah Dia akan memberikan balasan, iaitu murka kepada lawan-lawan-Nya dan pembalasan kepada musuh-musuh-Nya. Kepada pulau-pulau pun Dia akan mengadakan pembalasan.
[19] Maka orang akan takut kepada nama Tuhan dari arah barat, dan kepada kemuliaan-Nya dari arah terbitnya matahari, kerana Dia akan datang seperti arus yang tertahan, yang didorong oleh hembusan nafas Tuhan.
[20] "Seorang Penebus akan datang ke Sion, kepada bani Yakub yang bertaubat daripada pelanggaran mereka," demikianlah firman Tuhan.
[21] "Mengenai Aku, inilah perjanjian-Ku dengan mereka," demikianlah firman Tuhan. "Roh-Ku yang ada padamu dan firman-Ku yang Kutaruh di dalam mulutmu tidak akan hilang daripada mulutmu, daripada mulut keturunanmu, dan daripada mulut keturunan mereka mulai sekarang untuk selama-lamanya," demikianlah firman Tuhan.