Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 7:00

[1] Biarlah aku menyanyi tentang kekasihku, nyanyian kekasihku tentang kebun anggurnya: Kekasihku mempunyai kebun anggur di bukit yang subur.

[2] Dia mencangkulnya, membuang batu-batunya, dan menanam pokok anggur pilihan. Dia mendirikan sebuah menara tinjau di tengah-tengahnya, dan juga membuat tempat pemerasan anggur di dalamnya. Dia menantikan kebun itu menghasilkan buah anggur yang baik, tetapi yang dihasilkan hanya buah anggur masam.

[3] "Sekarang, wahai penduduk Yerusalem dan orang Yehuda, putuskanlah perkara antara Aku dengan kebun anggur-Ku.

[4] Apa lagi yang dapat dilakukan untuk kebun anggur-Ku, yang belum Kulakukan terhadapnya? Bukankah Aku menanti kebun itu menghasilkan buah anggur yang baik, mengapakah yang dihasilkannya buah anggur masam?

[5] Maka sekarang Aku mahu memberitahu kamu apa yang hendak Kulakukan terhadap kebun anggur-Ku: Aku akan membuang pagarnya sehingga kebun itu dimakan habis. Aku hendak membongkar temboknya sehingga kebun itu diinjak-injak.

[6] Aku hendak menjadikannya tandus, tidak dipangkas atau dicangkul lagi, sehingga duri dan onak tumbuh di dalamnya. Aku akan memerintahkan awan agar tidak menurunkan hujan ke atasnya."

[7] Sesungguhnya, kebun anggur Tuhan alam semesta, ialah keturunan kaum Israel, dan orang Yehuda ialah tanaman kesukaan-Nya. Dinantikan-Nya keadilan, tetapi hanya ada penumpahan darah. Dinantikan-Nya perbenaran, tetapi hanya ada jerit penderitaan.

[8] Malangnya orang yang merampas rumah demi rumah dan meraup ladang demi ladang, sehingga tidak ada lagi tempat tersisa dan hanya kamu yang tinggal di tengah-tengah negeri itu.

[9] Tuhan alam semesta, berfirman tepat pada pendengaranku, "Sesungguhnya, banyak rumah akan menjadi sunyi. Rumah-rumah yang besar dan indah tidak akan berpenghuni.

[10] Kebun anggur seluas sepuluh pembajakan hanya akan menghasilkan satu bat anggur, dan satu homer benih hanya akan menghasilkan satu efa gandum."

[11] Malangnya mereka yang bangun pagi-pagi untuk mencari minuman keras, dan yang membuang masa sampai malam untuk menghangatkan diri dengan air anggur!

[12] Kecapi, gambus, rebana, seruling, dan air anggur ada dalam jamuan-jamuan mereka, tetapi mereka tidak mengendahkan pekerjaan Tuhan ataupun memperhatikan perbuatan tangan-Nya.

[13] Oleh sebab itu umat-Ku harus diangkut ke tempat pembuangan, kerana mereka kurang pengertian. Orang yang mulia dalam kalangan mereka kelaparan dan khalayak ramainya merana kehausan.

[14] Oleh sebab itu alam kubur memperbesar nafsunya dan mengangakan mulutnya tanpa batas, sehingga ke dalamnya turun semarak Yerusalem, khalayak ramainya, keriuhan temasyanya, dan orangnya yang bersuka ria.

[15] Maka manusia ditundukkan dan orang direndahkan. Mata orang sombong direndahkan.

[16] Tetapi Tuhan alam semesta, akan ditinggikan dalam keadilan, dan Allah Yang Maha Suci akan menyatakan kesucian-Nya dalam perbenaran-Nya.

[17] Lalu domba akan meragut rumput di situ seperti di padangnya sendiri, dan pendatang akan makan di reruntuhan gedung orang kaya.

[18] Malangnya mereka yang menyeret kesalahan dengan tali kesia-siaan, dan dosa seperti dengan tali pedati,

[19] yang berkata, "Biarlah Allah bersegera dan menyegerakan tindakan-Nya supaya kita dapat melihatnya! Biarlah rancangan Yang Maha Suci, Allah Israel, semakin dekat dan terlaksana supaya kita dapat mengetahuinya!"

[20] Malangnya mereka yang menyebut kejahatan itu baik dan kebaikan itu jahat, yang mengubah kegelapan jadi cahaya dan cahaya menjadi kegelapan, yang mengubah pahit jadi manis dan manis jadi pahit.

[21] Malangnya mereka yang bijak menurut pandangan sendiri dan yang pandai menurut diri sendiri.

[22] Malangnya mereka yang jaguh minum air anggur, dan juara mencampurkan minuman keras,

[23] yang membenarkan orang fasiq kerana rasuah dan menjauhkan keadilan daripada orang benar.

[24] Oleh sebab itu seperti lidah api melahap tunggul jerami, dan seperti rumput kering habis dalam nyala api, demikian pula akar-akar mereka akan menjadi seperti barang busuk, dan bunga-bunga mereka berterbangan seperti debu, kerana mereka menolak hukum Tuhan alam semesta, dan menista firman Yang Maha Suci, Allah Israel.

[25] Oleh sebab itu murka Tuhan menyala-nyala terhadap umat-Nya, dan Dia menghulurkan tangan-Nya terhadap mereka dan memukul mereka. Gunung-gunung bergetar dan mayat-mayat mereka menjadi seperti kotoran di tengah-tengah jalan. Meskipun semua ini terjadi, belum juga murka-Nya surut, dan tangan-Nya masih tetap terhulur.

[26] Dia akan mengangkat panji-panji bagi bangsa-bangsa yang jauh, dan memberikan isyarat supaya mereka datang dari hujung-hujung bumi. Lihatlah, mereka datang dengan segera dan cepat!

[27] Antara mereka tiada seorang pun kelelahan atau tersandung, tiada seorang pun mengantuk atau tertidur. Ikat pinggang mereka tidak terlepas dan tali kasut mereka tidak terputus.

[28] Anak-anak panah mereka tajam dan semua busur mereka dilenturkan. Kuku-kuku kuda mereka tampak seperti batu api, dan roda-roda rata mereka seperti angin puting beliung.

[29] Ngauman mereka seperti singa betina. Mereka mengaum seperti singa-singa muda, mereka menggeram dan menerkam mangsanya, lalu membawanya lari tanpa ada yang dapat menyelamatkannya.

[30] Pada hari itu, mereka akan menggeram terhadap mangsanya seperti deruan laut. Kalau orang memandang negeri itu, tampaklah kegelapan dan kesesakan. Cahaya pun menjadi gelap oleh awan-awan!

Yesaya — Chapters