[1] Pernyataan ilahi tentang Gurun di Tepi Laut. Seperti angin puting beliung melintasi Tanah Negeb, demikianlah datangnya penyerbu dari gurun, dari negeri yang menakutkan.
[2] Suatu penglihatan yang menyusahkan telah dinyatakan kepadaku: "Si pengkhianat berbuat khianat dan si pemusnah melakukan musnah. Majulah, wahai Elam! Kepunglah, wahai Madai! Aku akan menghentikan segala keluh-kesah yang ditimbulkannya."
[3] Itulah sebabnya pinggangku dipenuhi rasa nyeri. Rasa sakit mencekam aku seperti rasa sakit perempuan yang akan bersalin. Aku terbongkok-bongkok sehingga tidak mendengar, aku gementar sehingga tidak melihat.
[4] Hatiku goyah, rasa ngeri melanda aku. Senjakala yang kurindukan berubah menjadi kegentaran bagiku.
[5] Orang mengatur meja, menata permaidani, makan, dan minum. Tiba-tiba terdengar: "Bangkitlah, wahai para panglima, minyakilah perisai!"
[6] Beginilah firman Tuhan kepadaku, "Pergilah, tempatkanlah seorang pengintip. Mintalah dia melaporkan apa yang dilihatnya.
[7] Apabila dia melihat rata dengan kuda berpasang-pasangan, pasukan keldai, dan pasukan unta, mintalah dia mengamati baik-baik, dengan penuh perhatian."
[8] Lalu pengintip itu berseru seperti singa, "Aku sentiasa berdiri, ya tuanku, di menara tinjau pada siang hari, dan aku ditempatkan di menara pengawal sepanjang malam!
[9] Lihat, itu sudah datang seorang pengendali rata dengan kuda berpasang-pasangan! Lalu ia berkata, 'Sudah jatuh! Sudah jatuh Babel! Segala patung berhala ukirannya hancur berserakan di tanah!' "
[10] wahai bangsaku, yang dipijak-pijak bagai tangkai di tempat pembantingan, apa yang kudengar daripada Tuhan alam semesta, Allah Israel, telah kuberitahukan kepadamu.
[11] Pernyataan ilahi tentang Duma. Ada seorang yang berseru kepadaku dari Seir, "Wahai pengawal, sudah berapa larutkah malam ini? wahai pengawal, sudah berapa larutkah malam ini?"
[12] Jawab pengawal itu, "Pagi akan datang, dan malam juga. Kalau kamu mahu bertanya, datanglah bertanya lagi!"
[13] Pernyataan ilahi tentang Tanah Arab. Di dalam belukar di Jazirah Arab kamu akan bermalam, wahai kafilah-kafilah orang Dedan!
[14] Bawalah air menyongsong orang yang dahaga, wahai penduduk Tanah Tema, sambutlah pelarian dengan membawa roti.
[15] Mereka lari menghindari pedang, menghindari pedang yang terhunus, menghindari busur yang dilenturkan, dan menghindari peperangan yang sengit.
[16] Beginilah firman Tuhan kepadaku, "Dalam waktu setahun berdasarkan tahun kerja orang upahan, segala kemuliaan Kedar akan berakhir.
[17] Akan sedikit sahaja jumlah saki-baki para pemanah, iaitu para kesateria bani Kedar, kerana Tuhan, Allah Israel, telah berfirman."