Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:31

[1] Bangunlah, bangunlah! Kenakanlah kekuatanmu, wahai Sion! Kenakanlah pakaian kehormatanmu wahai Yerusalem, kota yang suci, kerana orang yang tidak bersunat dan yang najis tidak akan masuk lagi ke dalammu.

[2] Kebaskanlah debu daripadamu, bangkitlah, duduklah, wahai Yerusalem! Lepaskanlah tali pengikat dari lehermu, wahai puteri Sion yang tertawan!

[3] Beginilah firman Tuhan, "Kamu telah dijual tanpa harga, maka kamu pun akan ditebus tanpa wang."

[4] Beginilah firman Tuhan Allah, "Pada mulanya umat-Ku pergi ke Mesir untuk tinggal di sana sebagai pendatang. Kemudian orang Asyur menindas mereka dengan tidak semena-mena.

[5] Sekarang, apakah lagi urusan-Ku di sini?" Demikianlah firman Tuhan. "Umat-Ku diambil tanpa harga. Orang yang menguasainya meraung-raung," demikianlah firman Tuhan, "dan nama-Ku terus dinista sepanjang hari.

[6] Oleh sebab itu umat-Ku akan mengenal nama-Ku, dan pada hari itu mereka akan mengetahui bahawa Akulah yang berfirman, ya Aku."

[7] Alangkah indahnya di atas gunung-gunung melihat kaki mereka yang membawa berita baik, yang mengkhabarkan kedamaian, yang membawa khabar kesukaan, yang mengkhabarkan penyelamatan, yang berkata kepada Sion, "Allahmu bertakhta!"

[8] Dengarlah, para pengintipmu menyaringkan suara, mereka bersorak-sorai bersama-sama, kerana dengan mata kepala sendiri mereka melihat bagaimana Tuhan memulihkan Sion.

[9] Bergembiralah, bersorak-sorailah bersama-sama, wahai reruntuhan Yerusalem, kerana Tuhan telah menghiburkan umat-Nya. Dia telah menebus Yerusalem.

[10] Tuhan telah memperlihatkan kuasa-Nya yang suci di hadapan mata segala bangsa. Segala hujung bumi akan melihat penyelamatan daripada Allah kita.

[11] Menyingkirlah, menyingkirlah, keluarlah dari sana! Jangan sentuh yang najis! Keluarlah dari tengah-tengahnya, sucikanlah dirimu, wahai kamu yang mengangkut kelengkapan Bait Tuhan.

[12] Sungguh, kamu tidak akan keluar dengan terburu-buru dan tidak akan pergi sebagai pelarian, kerana Tuhan akan maju di depanmu, Allah Israel akan menjadi penutup barisanmu.

[13] Sesungguhnya, hamba-Ku akan bertindak bijaksana. Dia akan ditinggikan, dijunjung, dan sangat dimuliakan.

[14] Sebagaimana ramai orang tercengang melihat dia – begitu rosak rupanya sehingga tidak seperti manusia lagi dan susuknya tidak seperti anak manusia lagi –

[15] demikianlah dia akan mengejutkan banyak bangsa. Raja-raja akan menutup mulut melihat dia, kerana mereka akan melihat apa yang belum pernah diceritakan kepada mereka dan memahami apa yang belum pernah didengar mereka.

Yesaya — Chapters