Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 6:53

[1] Datanglah firman Tuhan kepadaku demikian,

[2] 'Engkau, wahai anak manusia, lantunkanlah suatu ratapan mengenai Tirus.

[3] Katakan kepada Tirus, yang terletak di pintu masuk lautan dan yang berdagang dengan bangsa di banyak daerah pesisir: Beginilah firman Tuhan Allah, "Wahai Tirus, engkau berkata, 'Aku cantik sempurna.'

[4] Perbatasanmu di tengah lautan. Tukang bangunanmu menyempurnakan kecantikanmu.

[5] Semua papanmu dibentuk mereka daripada pokok sanubar Senir. Kayu araz Lebanon diambil mereka untuk membuat tiang layar bagimu.

[6] Dayungmu dibuat mereka daripada pokok oak di Basan, dan geladakmu daripada gading yang ditatah pada kayu sanubar dari pesisir Siprus.

[7] Layarmu dibuat daripada linen halus bersulam, dari Mesir; itu menjadi panji-panjimu. Tudungmu dibuat daripada kain biru dan kain ungu, dari pesisir Elisa.

[8] Penduduk Sidon dan Arwad menjadi pendayungmu. Para ahlimu, wahai Tirus, ada padamu sebagai pelautmu.

[9] Orang tua-tua Gebal dan para ahlinya pun ada padamu, untuk memperbaik celah-celah kapalmu. Segala kapal laut dengan kelasinya mendatangimu, untuk berdagang denganmu.

[10] Orang Parsi, orang Lud, dan orang Put ada dalam pasukanmu sebagai tenteramu. Mereka menggantungkan perisai dan ketopong padamu, mereka menambah semarakmu.

[11] Orang Arwad dan pasukanmu ada di sekeliling tembokmu. Orang Gamad ada di menara-menaramu. Mereka menggantungkan perisai di sekeliling tembokmu. Mereka menyempurnakan kecantikanmu.

[12] Tarsis berdagang denganmu kerana banyaknya segala jenis barangmu yang berharga. Mereka menukar daganganmu dengan perak, besi, timah putih, dan timah hitam.

[13] Orang Yunani, orang Tubal, dan orang Mesekh pun berdagang denganmu. Mereka menukar barang daganganmu dengan hamba abdi dan perkakas tembaga.

[14] Orang dari Bet-Togarma menukar daganganmu dengan kuda, kuda perang, dan baghal.

[15] Orang Rodos berdagang pula denganmu; banyak pulau menjadi daerah pemasaranmu. Mereka membawa batang gading dan kayu arang sebagai ufti kepadamu.

[16] Orang Aram berniaga denganmu untuk memperoleh berbagai-bagai hasilmu. Mereka menukar daganganmu dengan batu permata firus, kain ungu, kain bersulam, kain linen halus, karang, dan batu delima.

[17] Orang Yehuda dan Tanah Israel juga berdagang denganmu. Mereka menukar barang daganganmu dengan gandum dari Minit, gula-gula, madu, minyak, serta balsam.

[18] Damsyik berniaga denganmu kerana banyaknya hasilmu dan segala jenis barang berharga yang berlimpah-ruah. Mereka menukarnya dengan anggur dari Helbon dan bulu domba dari Sakhar.

[19] Orang Wadan dan Yunani dari Uzal membeli daganganmu; besi tempa, kayu lawang dan tebu wangi ditukar mereka dengan barang daganganmu.

[20] Dedan menjual alas pelana untuk menunggang kuda kepadamu.

[21] Orang Arab dan semua pemimpin Kedar menjual anak domba, domba jantan, dan kambing jantan kepadamu.

[22] Pedagang dari Syeba dan Raema juga berdagang denganmu. Mereka menukar daganganmu dengan yang terbaik daripada segala jenis rempah, segala permata, dan emas.

[23] Haran, Kane, Eden, pedagang Syeba, Asyur, dan Kilmad berdagang juga denganmu.

[24] Mereka memperdagangkan jubah yang indah, kain biru bersulam, dan permaidani beraneka warna yang diikat kuat dengan tali di pasarmu.

[25] Kapal-kapal Tarsis seperti kafilah membawa barang daganganmu. Engkau penuh muatan dan amat berat di tengah lautan.

[26] Para pendayungmu membawa engkau ke perairan luas. Namun begitu, angin timur menghancurkan kamu di tengah lautan.

[27] Hartamu, daganganmu, barangmu, juga kelasimu dan pelautmu; orang yang memperbaik celah kapalmu serta yang menjalankan perdaganganmu; seluruh tentera yang ada padamu dan semua awak yang ada di tengah-tengahmu, akan tenggelam di tengah lautan pada hari kejatuhanmu.

[28] Apabila mendengar bunyi teriakan pelautmu padang-padang gementar.

[29] Semua yang memegang dayung akan turun dari kapal mereka. Para kelasi dan semua pelaut akan berdiri di daratan.

[30] Mereka menyaringkan suara kerana engkau dan menjerit-jerit dengan getir. Mereka menghamburkan debu ke atas kepala dan berguling-guling dalam debu.

[31] Mereka menggondolkan kepala kerana engkau, dan memakai kain perkabungan. Mereka menangisi engkau dengan hati getir, dengan ratapan yang getir.

[32] Sambil meraung-raung mereka melantunkan suatu ratapan bagimu, mereka meratap bagimu, 'Siapakah seperti Tirus, yang sudah dibinasakan di tengah lautan?'

[33] Ketika daganganmu datang dari laut, engkau mengenyangkan banyak bangsa. Dengan kelimpahan hartamu dan barang daganganmu engkau memperkaya raja-raja di bumi.

[34] Sekarang engkau dihancurkan di laut, di perairan yang dalam. Barang daganganmu dan seluruh awak kapalmu tenggelam bersama-samamu.

[35] Seluruh penduduk pesisir tercengang melihat engkau. Raja-raja mereka sangat ketakutan, muka mereka cemas.

[36] Saudagar bangsa-bangsa melontarkan cemuhan kerana engkau. Engkau telah menjadi suatu kengerian dan tidak akan ada lagi sampai selama-lamannya." '

Yehezkiel — Chapters