[1] Datanglah firman Tuhan kepadaku demikian,
[2] 'Engkau, wahai anak manusia, mahukah engkau menghakimi? Mahukah engkau menghakimi kota penumpah darah itu? Beritahukanlah segala kekejiannya kepadanya.
[3] Katakan: Beginilah firman Tuhan Allah, "Wahai kota! Engkau menumpahkan darah di tengah-tengahmu sehingga tibalah waktu penghukumanmu! Engkau membuat berhala-berhala bagi dirimu sehingga engkau menjadi najis!
[4] Engkau bersalah kerana darah yang kautumpahkan, dan engkau najis kerana berhala-berhala yang kaubuat. Engkau membuat ajalmu mendekat dan akhir tahun-tahun kehidupanmu tiba. Oleh sebab itu Aku membuat engkau menjadi celaan bangsa-bangsa dan bahan olok-olok segala negeri.
[5] Mereka yang dekat dan mereka yang jauh daripadamu akan mengolok-olokkan engkau, wahai kota yang kenajisannya terkenal dan yang penuh huru-hara.
[6] Lihat, di dalammu pemimpin Israel menggunakan kekuasaan masing-masing untuk menumpahkan darah,
[7] ayah dan ibu dipandang rendah. Orang melakukan pemerasan terhadap pendatang di tengah-tengahmu, anak yatim dan balu ditindas.
[8] Barang-barang tempat suci-Ku kauremehkan dan hari-hari Sabat-Ku kaucemari.
[9] Di dalammu pun ada manusia pemfitnah yang berniat menumpahkan darah, demikian pula kalangan yang makan daging korban di atas gunung-gunung. Kecabulan dilakukan di tengah-tengahmu:
[10] orang bersentuh dengan isteri ayahnya, dan perempuan yang najis kerana dalam haidnya diperkosa;
[11] yang satu melakukan kekejian dengan isteri jirannya, yang lain menajiskan menantunya dengan perbuatan keji, dan yang lain lagi memperkosa saudara perempuannya, anak kandung ayahnya.
[12] Di tengah-tengahmu pula orang menerima suap untuk menumpahkan darah. Engkau mengambil wang bunga dan riba. Engkau mengambil untung daripada jiranmu dengan pemerasan, sedangkan Aku kaulupakan, demikianlah firman Tuhan Allah.
[13] Ketahuilah, Aku murka kerana laba haram yang kauperoleh dan kerana darah yang tumpah di tengah-tengahmu.
[14] Adakah hatimu akan tetap teguh dan tanganmu tetap kuat pada waktu Aku bertindak menanganimu? Aku, Tuhan, telah berfirman dan akan melaksanakannya.
[15] Aku akan mencerai-beraikan engkau dalam kalangan bangsa dan menyerakkan engkau ke pelbagai negeri. Akan Kukikis kenajisan kamu daripada dirimu.
[16] Engkau akan dinista di hadapan mata bangsa-bangsa, dan engkau akan tahu bahawa Akulah Tuhan.'
[17] Datanglah firman Tuhan kepadaku demikian,
[18] 'Wahai anak manusia, keturunan kaum Israel telah menjadi seperti kotoran perak bagi-Ku. Mereka semua seperti tembaga, timah putih, besi, dan timah hitam di dalam dapur peleburan. Ya, mereka seperti kotoran perak.
[19] Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan Allah, "Kerana kamu semua telah menjadi kotoran perak, maka sesungguhnya, Aku akan mengumpulkan kamu di tengah-tengah Yerusalem.
[20] Seperti orang mengumpulkan perak, tembaga, besi, timah hitam, dan timah putih di dalam dapur peleburan lalu menghembuskan api kepadanya dan meleburnya, demikian pulalah Aku akan mengumpulkan kamu dalam murka-Ku serta amarah-Ku. Aku akan menaruh kamu di situ lalu melebur kamu.
[21] Aku akan mengumpulkan kamu dan menghembuskan api murka-Ku kepadamu sehingga kamu lebur di dalamnya.
[22] Seperti perak lebur di dalam dapur peleburan, demikianlah kamu akan dilebur di dalamnya. Maka kamu akan tahu bahawa Aku, Tuhan, telah mencurahkan murka-Ku kepadamu." '
[23] Datanglah firman Tuhan kepadaku demikian,
[24] 'Wahai anak manusia, katakanlah kepadanya, "Engkau tanah yang tidak diterangi dan tidak dituruni hujan pada hari kemurkaan.
[25] Nabi-nabinya bersekongkol di tengah-tengahnya seperti singa yang mengaum dan mencabik-cabik mangsa. Mereka melahap jiwa orang dan merampas harta benda serta barang-barang berharga. Mereka menambah jumlah balu di tengah-tengahnya.
[26] Para imamnya memperkosa hukum-Ku dan mencemarkan barang-barang tempat suci-Ku. Mereka tidak membezakan antara yang suci dengan yang biasa, tidak menyatakan perbezaan antara yang najis dengan yang tahir, dan menutup mata terhadap hari-hari Sabat-Ku sehingga Aku dinista di tengah-tengah mereka.
[27] Para pembesar di tengah-tengahnya seperti serigala yang mencabik-cabik mangsa. Mereka menumpahkan darah dan melenyapkan nyawa orang demi mengejar laba.
[28] Para nabinya melabur mereka dengan kapur sambil menyampaikan penglihatan tipuan dan tenungan dusta kepada mereka. Kata nabi-nabi itu, 'Beginilah firman Tuhan Allah,' padahal Tuhan tidak berfirman.
[29] Rakyat negeri melakukan penganiayaan dan perampasan. Mereka menindas orang miskin dan orang melarat serta memeras pendatang tanpa mengendahkan hukum.
[30] Aku mencari di tengah-tengah mereka seorang yang hendak mendirikan tembok atau yang mempertahankan negeri itu di hadapan-Ku, supaya jangan Kumusnahkan, tetapi Aku tidak menemukannya.
[31] Oleh sebab itu Aku mencurahkan murka-Ku terhadap mereka. Kumusnahkan mereka dengan api murka-Ku, Kubalas perilaku mereka kepada mereka sendiri, demikianlah firman Tuhan Allah." '