[1] Pada tahun ketiga puluh, tepatnya pada hari kelima dalam bulan keempat, ketika aku berada di antara orang buangan di tepi Sungai Kebar, langit terbuka dan aku mendapat penglihatan tentang Allah
[2] Pada hari kelima bulan itu, dalam tahun kelima tempoh pembuangan Raja Yoyakhin,
[3] datanglah firman Tuhan kepada Imam Yehezkiel anak Busi di negeri orang Kasdim, di tepi Sungai Kebar. Kuasa Tuhan meliputinya di sana.
[4] Ketika kulihat, tampak angin badai datang dari utara membawa awan besar dengan api yang sambar-menyambar. Cahaya mengelilingi awan itu. Di tengah-tengahnya, iaitu di tengah-tengah api itu, ada sesuatu seperti logam yang berkilau-kilauan.
[5] Di tengah-tengah api itu pun ada empat susuk makhluk hidup. Beginilah rupa mereka: mereka menyerupai manusia,
[6] tetapi masing-masing mempunyai empat muka dan masing-masing memiliki empat sayap.
[7] Kaki mereka lurus dan telapak kaki mereka seperti telapak kaki anak lembu. Kaki mereka itu bergemerlapan seperti gangsa yang digosok.
[8] Mereka mempunyai sepasang tangan manusia di bawah sayap yang ada pada keempat-empat sisi mereka. Keempat-empatnya mempunyai muka dan sayap,
[9] dan sayap itu bersentuhan satu sama lain. Mereka tidak berpaling ketika berjalan, masing-masing berjalan lurus ke hadapan.
[10] Raut muka keempat-empat makhluk itu adalah seperti ini: muka manusia di sebelah depan, muka singa di sebelah kanan, muka lembu di sebelah kiri, dan muka helang di sebelah belakang.
[11] Demikianlah muka mereka. Sayap-sayap mereka terbentang ke atas, dua sayap menyentuh sayap makhluk lainnya dan dua sayap lagi menutupi badan mereka.
[12] Masing-masing berjalan lurus ke hadapan. Ke mana-mana pun Roh hendak pergi, ke sanalah mereka pergi. Mereka tidak berpaling ketika berjalan.
[13] Susuk makhluk-makhluk hidup itu kelihatan seperti bara api yang menyala. Sesuatu serupa obor bergerak kian ke mari di antara makhluk hidup itu. Apinya bercahaya dan dari api itu kilat memancar.
[14] Makhluk-makhluk hidup itu meluru ke sana ke mari serupa kilat.
[15] Ketika kulihat makhluk-makhluk hidup itu, tampak di atas tanah di samping setiap makhluk hidup itu ada sebuah roda.
[16] Rupa bentuk roda-roda itu serupa permata topaz, seolah-olah roda yang satu berada di tengah-tengah roda yang lain; keempat-empatnya sama wujudnya.
[17] Roda-roda itu dapat bergerak ke arah mana-mana pun dari keempat-empat arah yang ada, tanpa berpaling ketika bergerak.
[18] Lingkar roda-roda itu tinggi dan menakjubkan. Sekeliling keempat-empat lingkar itu penuh dengan mata.
[19] Ketika makhluk-makhluk hidup itu berjalan, roda-roda itu pun berjalan di samping mereka. Ketika makhluk-makhluk hidup itu terangkat dari atas tanah, roda-roda itu pun terangkat.
[20] Ke mana-mana pun Roh itu hendak pergi, ke sanalah mereka pergi mengikuti Roh itu. Roda-roda itu terangkat bersama-sama mereka, kerana roh makhluk-makhluk hidup itu ada di dalam roda-roda itu.
[21] Ketika makhluk-makhluk itu berjalan, roda-roda itu pun berjalan. Ketika makhluk-makhluk itu berhenti, roda-roda itu pun berhenti. Ketika makhluk-makhluk itu terangkat dari atas tanah, roda-roda itu pun terangkat bersama-sama mereka, kerana roh makhluk-makhluk hidup itu ada di dalam roda-roda itu.
[22] Di atas kepala makhluk-makhluk hidup itu terbentang suatu wujud cakerawala serupa hablur ais yang menakjubkan.
[23] Di bawah cakerawala itu sayap mereka terkembang lurus, yang satu menyinggung yang lain, dan masing-masing mempunyai dua sayap yang menutupi tubuh mereka.
[24] Ketika mereka berjalan, bunyi sayap mereka kudengar seperti bunyi air bah, seperti suara Yang Maha Kuasa. Bunyinya riuh seperti bunyi sebuah pasukan. Ketika mereka berhenti, sayap mereka diturunkan.
[25] Kemudian terdengarlah suara dari atas cakerawala yang terbentang di atas kepala mereka, ketika mereka berhenti dengan sayap diturunkan.
[26] Di atas cakerawala yang terbentang di atas kepala mereka itu ada suatu wujud arasy serupa batu nilam, dan pada wujud arasy itu ada susuk yang kelihatan seperti manusia, menjulang di atasnya.
[27] Daripada bahagian yang menyerupai pinggangnya sampai ke atas kulihat sesuatu serupa logam berkilau-kilauan, sesuatu seperti api yang ditudungi sekelilingnya. Dari bahagian yang menyerupai pinggangnya sampai ke bawah kulihat sesuatu seperti api yang dikelilingi cahaya.
[28] Seperti pelangi yang tampak di awan pada musim hujan, demikianlah rupa cahaya yang mengelilinginya. Itulah rupa wujud kemuliaan Tuhan. Ketika aku melihatnya, aku bersujud. Lalu kudengar suara Dia yang berfirman.