[1] Datanglah firman Tuhan kepadaku demikian,
[2] 'Wahai anak manusia, hadapkanlah mukamu kepada bani Amon dan bernubuatlah menentang mereka.
[3] Katakan kepada bani Amon, "Dengarlah firman Tuhan Allah." Beginilah firman Tuhan Allah, "Kerana engkau berkata, 'Syukur!' mengenai tempat suci-Ku ketika tempat itu dicemari, mengenai Tanah Israel ketika tanah itu dijadikan tandus, dan mengenai keturunan kaum Yehuda ketika mereka pergi kepada pembuangan,
[4] maka sesungguhnya Aku akan menyerahkan engkau kepada bani Timur sebagai milik. Mereka akan mendirikan perkhemahan mereka dan menempatkan kediaman mereka antara kamu. Buah-buahanmu akan dimakan mereka, dan susu ternakanmu akan diminum mereka.
[5] Aku akan membuat Raba menjadi padang ragut bagi kawanan unta, dan wilayah bani Amon menjadi tempat kawanan domba berbaring. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah Tuhan.
[6] Oleh sebab beginilah firman Tuhan Allah: Kerana engkau bertepuk tangan, menghentak-hentakkan kaki, dan bergembira atas keadaan Tanah Israel dengan hati penuh kedengkian,
[7] maka sesungguhnya Aku menghulurkan tangan-Ku untuk melawan engkau serta menyerahkan engkau kepada bangsa-bangsa sebagai rampasan. Aku akan melenyapkan engkau daripada antara suku bangsa dan membinasakan engkau dari berbagai-bagai negeri. Ya, Aku akan memusnahkan engkau, dan engkau akan tahu bahawa Akulah Tuhan." '
[8] Beginilah firman Tuhan Allah, 'Kerana Moab dan Seir berkata, "Sungguh, keturunan kaum Yehuda itu sama dengan semua bangsa lain,"
[9] maka sesungguhnya Aku akan membuka lereng-lereng Gunung Moab mulai kota-kotanya, iaitu kota-kota kebanggaan di perbatasan negeri itu: Bet-Yesimot, Baal-Meon, dan Kiryataim.
[10] Aku akan menyerahkannya bersama-sama bani Amon kepada bani Timur sebagai milik, supaya bani Amon tidak diingat lagi dalam kalangan bangsa.
[11] Aku akan menjatuhkan hukuman ke atas Moab, dan mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan.'
[12] Beginilah firman Tuhan Allah, 'Kerana Edom membalas dendamnya terhadap keturunan kaum Yehuda dan bersalah besar dengan berbuat demikian,
[13] maka beginilah firman Tuhan Allah, "Aku akan menghulurkan tangan-Ku untuk melawan Edom dan melenyapkan manusia serta binatang di sana. Aku akan membuatnya untuk menjadi reruntuhan. Dari Teman sampai ke Dedan mereka akan tewas oleh pedang.
[14] Aku akan melakukan pembalasan terhadap Edom dengan perantaraan umat-Ku Israel, dan Edom akan diperlakukan menurut murka-Ku dan amarah-Ku. Maka mereka akan tahu bahawa itulah pembalasan-Ku, demikianlah firman Tuhan Allah." '
[15] Beginilah firman Tuhan Allah, 'Orang Filistin melakukan pembalasan terhadap Yehuda dan membinasakan mereka dengan hati yang penuh kedengkian kerana permusuhan yang tidak henti-hentinya.
[16] Maka beginilah firman Tuhan Allah, "Sesungguhnya, Aku akan menghulurkan tangan-Ku melawan orang Filistin. Aku akan melenyapkan orang Kreti dan membinasakan saki-baki orang lain yang tinggal di tepi laut.
[17] Akan Kulakukan pembalasan yang hebat terhadap mereka disertai hukuman-hukuman kemurkaan. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan ketika Aku mengadakan pembalasan terhadap mereka.'