Skip to content
Opens in a new window

[1] Ketua-ketua keluarga puak Gilead anak Makhir, iaitu cucu Manasye anak Yusuf, menghadap Musa dan pemimpin-pemimpin yang lain.

[2] Mereka berkata, “TUHAN sudah memerintah tuan membahagikan tanah Kanaan kepada umat Israel dengan membuang undi. TUHAN sudah memerintahkan juga supaya tuan memberikan warisan Zelafehad, saudara kami, kepada anak-anak perempuannya.

[3] Tetapi ingatlah, jika anak-anak perempuannya itu berkahwin dengan lelaki daripada suku lain, warisan mereka akan dimiliki suku lain. Oleh yang demikian, kuranglah tanah wilayah yang ditentukan bagi kami.

[4] Pada Tahun Pengembalian, pada masa seluruh harta milik yang telah dijual dikembalikan kepada pemilik yang mula-mula, tanah warisan anak-anak perempuan Zelafehad itu akan menjadi pusaka suku orang yang dikahwini mereka. Dengan demikian suku kami akan kehilangan tanah itu.”

[5] Oleh itu Musa memberi umat Israel perintah TUHAN ini. Musa berkata, “Apa yang dikatakan oleh suku Manasye itu memang benar.

[6] Inilah perintah TUHAN: Anak-anak perempuan Zelafehad berhak berkahwin dengan sesiapa pun, asal orang yang dikahwini itu daripada suku mereka sendiri.

[7] Warisan tiap-tiap orang Israel akan tetap menjadi warisan sukunya.

[8] Tiap-tiap perempuan yang sudah menerima warisan daripada sukunya, mesti berkahwin dengan lelaki daripada sukunya sendiri. Dengan jalan ini, tiap-tiap orang Israel akan mewarisi tanah pusaka nenek moyangnya,

[9] dan pusaka itu tidak akan beralih dari satu suku ke suku yang lain. Tiap-tiap suku akan terus memiliki tanah pusakanya sendiri.”

[10] Oleh itu anak-anak perempuan Zelafehad iaitu Mahla, Tirza, Hogla, Milka, dan Noa pun melakukan apa yang diperintahkan TUHAN kepada Musa. Mereka berkahwin dengan saudara sepupu mereka sendiri.

[12] Mereka berkahwin dengan orang daripada puak-puak suku Manasye anak Yusuf. Dengan itu, tanah pusaka mereka tetap dimiliki suku bapa mereka.

[13] Itulah semua ketetapan dan peraturan yang diberikan TUHAN kepada umat Israel melalui Musa, semasa mereka di dataran Moab, di seberang Sungai Yordan, bertentangan dengan kota Yerikho.

Bilangan — Chapters