Skip to content
Opens in a new window

[1] Musa telah berkahwin dengan seorang perempuan Kus. Oleh itu Miryam dan Harun menjadikan perkara itu sebagai alasan untuk mencela Musa.

[2] Mereka berkata, “Adakah TUHAN berfirman melalui Musa sahaja? Tidakkah TUHAN berfirman melalui kita juga?” TUHAN mendengar kata-kata mereka itu.

[3] Musa seorang yang rendah hati, lebih rendah hati daripada sesiapa pun di bumi.

[4] Tiba-tiba TUHAN berfirman kepada Musa, Harun, dan Miryam, “Aku mahu kamu bertiga pergi ke Khemah-Ku.” Mereka pun pergi,

[5] lalu TUHAN turun di dalam tiang awan dan berdiri di pintu Khemah TUHAN, serta berseru, “Harun! Miryam!” Kedua-dua mereka maju,

[6] lalu TUHAN berfirman, “Dengarlah firman-Ku ini. Apabila ada nabi-nabi di kalangan kamu, Aku menyatakan diri kepada mereka dalam penglihatan dan Aku berfirman kepada mereka dalam mimpi.

[7] Tetapi tidak demikian dengan hamba-Ku Musa; Aku sudah menjadikan dia pemimpin segenap umat-Ku Israel.

[8] Oleh itu Aku berfirman kepadanya berhadapan muka, secara jelas dan bukan dengan teka-teki; bahkan rupa-Ku pun sudah dilihatnya. Mengapa kamu berani melawan Musa, hamba-Ku?”

[9] TUHAN murka kepada Harun dan Miryam; oleh itu, ketika TUHAN pergi

[10] dan awan itu meninggalkan Khemah, tiba-tiba kulit Miryam kena penyakit kulit yang mengerikan. Kulitnya menjadi putih seperti salji. Apabila Harun nampak bahawa Miryam telah kena penyakit itu,

[11] Harun berkata kepada Musa, “Tolonglah tuan, janganlah biar kami diseksa kerana dosa yang kami lakukan dalam kebodohan kami.

[12] Janganlah biarkan dia menjadi seperti bayi yang lahir mati, dengan dagingnya setengah busuk.”

[13] Maka Musa berseru kepada TUHAN, “Ya Allah, sembuhkanlah dia!”

[14] TUHAN menjawab, “Andaikata bapanya meludahi mukanya, dia mesti menanggung malu selama tujuh hari. Oleh itu keluarkanlah dia dari perkhemahan selama tujuh hari. Selepas itu, dia boleh dibawa masuk semula.”

[15] Miryam dikeluarkan dari perkhemahan selama tujuh hari, dan umat Israel tidak memindahkan perkhemahan sehingga Miryam dibawa masuk semula.

[16] Kemudian mereka meninggalkan Hazerot, lalu berkhemah di padang gurun Paran.

Bilangan — Chapters