Skip to content
Opens in a new window

[1] Semasa umat Israel berkhemah di Lembah Sitim, kaum lelaki mereka mula bersetubuh dengan perempuan Moab yang tinggal di sana.

[2] Perempuan-perempuan itu mengajak mereka ke pesta-pesta korban untuk menghormati tuhan mereka. Orang Israel juga makan daging daripada korban itu dan menyembah

[3] tuhan orang Moab. Oleh sebab mereka menyembah Baal di Peor, TUHAN murka terhadap mereka

[4] dan berfirman kepada Musa, “Tangkaplah semua pemimpin umat dan bunuhlah mereka pada siang hari, menurut perintah-Ku, supaya Aku tidak lagi murka kepada umat ini.”

[5] Musa berkata kepada para hakim umat itu, “Kamu masing-masing mesti membunuh tiap-tiap orang daripada suku kamu yang sudah menyembah Baal di Peor.”

[6] Ketika Musa dan segenap umat sedang meratap di pintu Khemah TUHAN, mereka melihat seorang Israel membawa seorang perempuan Midian masuk ke dalam khemahnya.

[7] Apabila Pinehas anak Eleazar, iaitu cucu Imam Harun, nampak hal itu, dia bangun dan meninggalkan perhimpunan. Dia mengambil sebatang tombak,

[8] lalu menyusul lelaki dan perempuan itu ke dalam khemah; dia menikam kedua-duanya dengan tombak. Dengan demikian wabak yang sedang membinasakan orang Israel berhenti.

[9] Namun orang yang mati sudah berjumlah 24,000 orang.

[10] TUHAN berfirman kepada Musa,

[11] “Pinehas anak Eleazar, cucu Imam Harun, sudah meredakan kemurkaan-Ku terhadap Israel. Dia tidak membiarkan Israel menyembah tuhan lain kecuali Aku, sehingga kemurkaan-Ku reda dan Aku tidak membinasakan umat itu.

[12] Maka beritahulah Pinehas bahawa Aku mengadakan perjanjian dengan dia yang akan berlaku selama-lamanya.

[13] Oleh sebab dia tidak membiarkan Israel menyembah tuhan lain, dan dia juga sudah mendatangkan pengampunan dosa bagi umat itu, dia dan keturunannya akan menjadi imam selama-lamanya.”

[14] Nama orang Israel yang dibunuh bersama-sama perempuan Midian itu ialah Zimri anak Salu; dia ketua satu keluarga dalam suku Simeon.

[15] Nama perempuan itu ialah Kozbi. Zur, bapa perempuan itu, ialah penghulu sekumpulan puak orang Midian.

[16] TUHAN memberikan perintah ini kepada Musa,

[17] “Serbulah orang Midian dan kalahkanlah mereka,

[18] kerana kejahatan yang dilakukan mereka terhadap kamu ketika mereka menipu kamu di Peor, dan juga kerana Kozbi yang dibunuh di Peor pada masa wabak berlaku.”

Bilangan — Chapters