Skip to content
Opens in a new window

[1] Berfikirlah sebelum bercakap, dan janganlah terburu-buru berjanji kepada Allah. Allah di syurga, sedangkan kamu di bumi. Oleh itu, janganlah katakan apa-apa yang tidak perlu.

[2] Semakin kamu khuatir, semakin besar kemungkinan mendapat mimpi buruk. Semakin banyak kamu bercakap, semakin besar kemungkinan mengeluarkan kata-kata bodoh.

[3] Oleh itu, apabila berjanji kepada Allah, tepatilah janji itu secepat mungkin. Allah tidak suka kepada orang bodoh. Tunaikanlah janji.

[4] Lebih baik tidak berjanji daripada memungkiri janji.

[5] Jangan biar kata-katamu menyebabkan kamu berdosa sehingga kamu terpaksa mengaku kepada imam bahawa kamu silap mengucapkan janji. Mengapa kamu membangkitkan kemurkaan Allah terhadapmu sehingga Dia memusnahkan segala usahamu?

[6] Tidak kira betapa banyaknya impian kamu, atau betapa banyaknya usaha kamu yang sia-sia itu, atau betapa banyaknya kata kamu, kamu mesti tetap takut kepada Allah.

[7] Jangan hairan apabila melihat pemerintah menindas orang miskin dan merampas hak mereka, serta tidak memberi mereka keadilan. Tiap-tiap pegawai dilindungi oleh pegawai atasannya, dan kedua-duanya dilindungi oleh pegawai yang berpangkat lebih tinggi.

[8] Bahkan raja pun bergantung kepada hasil tuaian.

[9] Jika kamu mencintai wang, kamu tidak akan puas hati. Jika kamu ingin menjadi kaya, kamu tidak akan mendapat segala yang kamu ingini. Semuanya sia-sia sahaja.

[10] Semakin banyak kekayaan kamu, semakin banyak tanggungan kamu. Kamu tidak mendapat keuntungan apa-apa, kamu hanya tahu bahawa kamu kaya.

[11] Pekerja mungkin cukup makan atau mungkin tidak, tetapi setidak-tidaknya mereka dapat tidur nyenyak. Sebaliknya, orang kaya mempunyai begitu banyak harta sehingga mereka tidak dapat tidur kerana risau.

[12] Aku melihat sesuatu yang menyedihkan di dunia ini: ada orang menyimpan wang untuk masa mereka memerlukannya.

[13] Tetapi wang itu hilang dalam usaha niaga, sehingga tiada apa-apa pun yang dapat diwariskan kepada anak mereka.

[14] Kita meninggalkan dunia ini seperti kita dilahirkan, tanpa apa-apa pun! Kita tidak dapat membawa apa-apa daripada segala jerih payah kita.

[15] Hal ini tidak adil. Kita pergi seperti kita datang. Kita bersusah payah untuk mengejar angin dan apakah hasilnya?

[16] Kita hidup dalam kegelapan dan kesedihan, kekhuatiran, kemarahan, serta kesakitan.

[17] Kesimpulanku demikian: baiklah orang makan, minum, dan menikmati hasil kerja mereka dalam hidup pendek yang diberikan Allah. Itulah nasib manusia.

[18] Jika Allah memberi orang harta dan kekayaan, dan membolehkan mereka menikmati kekayaan itu, haruslah mereka bersyukur dan menikmati segala hasil kerja mereka. Itu juga pemberian Allah.

[19] Kerana Allah membolehkan mereka bersukacita, mereka tidak terlalu khuatir betapa pendeknya hidup ini.

Pengkhutbah — Chapters