[1] Segala sesuatu di dunia ini berlaku pada waktu yang ditentukan Allah.
[2] Dia menentukan waktu untuk melahirkan dan waktu untuk meninggal, waktu untuk menanam dan waktu untuk mencabut,
[3] waktu untuk membunuh dan waktu untuk menyembuhkan, waktu untuk merobohkan dan waktu untuk membina.
[4] Dia menentukan waktu untuk menangis dan waktu untuk tertawa, waktu untuk berkabung dan waktu untuk menari,
[5] waktu untuk berasmara dan waktu untuk menahan diri, waktu untuk memeluk dan waktu untuk mengawal diri.
[6] Dia menentukan waktu untuk mendapat dan waktu untuk kehilangan, waktu untuk menyimpan dan waktu untuk membuang,
[7] waktu untuk mengoyakkan dan waktu untuk menjahit, waktu untuk berdiam diri dan waktu untuk bertutur.
[8] Dia menentukan waktu untuk mengasihi dan waktu untuk membenci, waktu untuk berperang dan waktu untuk berdamai.
[9] Apakah hasil semua usaha kita?
[10] Aku tahu bahawa Allah telah memberikan beban yang berat kepada kita.
[11] Dia telah menentukan waktu yang tepat bagi tiap-tiap perkara. Dia telah memberi kita keinginan untuk mengetahui masa depan, tetapi tidak memberi kita pemahaman tentang segala perbuatan-Nya dari awal sampai akhir.
[12] Oleh itu, aku insaf bahawa sebaik-baiknya yang dapat kita lakukan adalah bersukacita dan berusaha sedaya upaya semasa kita masih hidup.
[13] Kita semua harus makan dan minum serta menikmati hasil usaha kita kerana semua itu pemberian Allah.
[14] Aku tahu bahawa semua yang dilakukan oleh Allah itu kekal. Manusia tidak dapat menambahnya, ataupun menguranginya. Allah bertindak demikian supaya kita menghormati Dia.
[15] Apa-apa yang telah berlaku atau akan berlaku telah pun berlaku pada masa yang lampau. Allah menentukan supaya yang sudah berlaku, akan terjadi berulang kali.
[16] Selain itu, aku nampak juga bahawa di dunia ini, di tempat yang seharusnya ada keadilan dan kebaikan, di situ terdapat kejahatan.
[17] Aku berfikir, Allah akan mengadili orang baik dan orang jahat, kerana setiap perkara dan setiap tindakan akan berlaku pada waktunya yang tertentu.
[18] Inilah pendapatku: Allah menguji kita untuk menunjukkan bahawa nasib kita tidak berbeza dengan nasib binatang.
[19] Bukankah manusia dan binatang senasib? Kedua-duanya makhluk dan kedua-duanya pun akan mati. Manusia tidak lebih baik daripada binatang, kerana bagi kedua-duanya hidup itu sia-sia.
[20] Kedua-duanya kembali ke tempat yang sama - ke tanah. Kedua-duanya berasal dari tanah dan akan kembali ke tanah.
[21] Siapakah dapat memastikan bahawa roh manusia naik ke atas dan roh binatang turun ke bawah bumi?
[22] Oleh itu, aku sedar bahawa hal terbaik yang dapat kita lakukan adalah menikmati hasil usaha kita. Selain itu tidak ada apa-apa yang dapat kita lakukan. Kita tidak mungkin mengetahui apa-apa yang akan berlaku setelah kita meninggal.