Skip to content
Opens in a new window

[1] Aku mengambil keputusan untuk berseronok agar mengetahui erti kebahagiaan, tetapi usahaku sia-sia.

[2] Aku mendapati bahawa ketawa itu suatu kebodohan, dan bahawa keseronokan tidak membawa faedah.

[3] Kerana didorong oleh keinginan untuk beroleh hikmat, aku bertekad untuk menggembirakan hati dengan minum wain dan bersuka-suka. Aku menyangka inilah cara terbaik bagi seseorang menikmati hidupnya yang singkat di bumi.

[4] Aku berjaya dalam banyak hal. Aku membina rumah dan mengusahakan ladang anggur.

[5] Aku mengusahakan taman dan kebun yang ditanami berbagai-bagai pokok buah-buahan.

[6] Aku menggali parit untuk mengairi taman dan kebun itu.

[7] Aku mempunyai banyak abdi, baik yang kubeli ataupun yang dilahirkan di rumahku. Aku memiliki lebih banyak ternakan daripada sesiapa yang pernah tinggal di Yerusalem.

[8] Aku mengumpulkan emas dan perak daripada perbendaharaan negeri-negeri yang aku perintah. Biduan dan biduanita menyanyi untuk menghiburkan aku, dan aku mempunyai perempuan sebanyak yang kuingini.

[9] Aku demikian agung, lebih agung daripada sesiapa yang pernah tinggal di Yerusalem, dan hikmatku sentiasa menolong aku.

[10] Aku mendapat segala sesuatu yang aku mahu. Aku tidak pernah menahan diri daripada menikmati keseronokan. Aku bangga dengan segala yang telah kuusahakan. Segalanya itu ganjaranku.

[11] Kemudian aku merenungkan segala yang telah kulakukan, dan betapa kuat aku telah mengusahakannya. Lalu aku sedar bahawa segalanya tidak bermakna. Usahaku itu sia-sia seperti mengejar angin.

[12] Seorang raja hanya dapat melakukan apa yang telah dilakukan oleh raja-raja yang sebelumnya. Lalu aku mula berfikir tentang hikmat, kebebalan, dan kebodohan.

[13] Aku memang tahu, “Hikmat lebih baik daripada kebodohan, seperti cahaya lebih baik daripada kegelapan.

[14] Orang bijak tahu ke mana mereka pergi, sedangkan orang bodoh tidak.” Tetapi aku tahu juga bahawa kesudahan mereka semua sama!

[15] Aku berfikir, “Kesudahanku sama dengan kesudahan orang bodoh. Oleh itu, apakah untungnya jika aku bijak?” Lalu aku mengambil kesimpulan bahawa hikmat itu memang tidak berguna sama sekali.

[16] Tidak seorang pun ingat akan orang bijak, ataupun orang bodoh. Pada masa yang akan datang mereka semua akan dilupakan. Semua orang mesti mati, baik yang bijak mahupun yang bodoh.

[17] Oleh itu, hidup tidak bermakna bagiku, kerana semua yang telah kualami, memberikan aku kesusahan semata-mata. Semua itu sia-sia; aku telah mengejar angin sahaja.

[18] Tiada sesuatu pun yang telah kuusahakan dan kucapai bermakna bagiku, kerana aku tahu bahawa aku mesti menyerahkannya kepada penggantiku.

[19] Siapa tahu? Mungkin dia bijak, mungkin dia bodoh! Namun dia akan mewarisi semua yang telah kuusahakan; segala yang telah kuperoleh di dunia dengan hikmatku. Semua itu sia-sia.

[20] Aku menyesal kerana telah bekerja begitu keras.

[21] Seseorang mengusahakan sesuatu dengan segala hikmat, pengetahuan, dan kemahirannya, kemudian terpaksa menyerahkan segala hasil jerih payahnya kepada seseorang yang tidak mengusahakannya. Bukankah itu sia-sia dan tidak adil?

[22] Manusia bekerja dan khuatir seumur hidup, tetapi apakah hasilnya?

[23] Selama mereka hidup, semua perbuatan mereka itu mendatangkan kekhuatiran dan penderitaan batin. Pada waktu malam pun hati mereka resah. Semua itu sia-sia!

[24] Sebaik-baiknya yang dapat dilakukan oleh manusia adalah makan, minum, dan menikmati hasil usaha mereka. Namun aku sedar bahawa semua ini pemberian Allah juga.

[25] Siapakah yang dapat makan dan menikmati hidup tanpa Allah?

[26] Allah memberikan hikmat, pengetahuan, dan kegembiraan kepada orang yang menyenangkan hati-Nya. Tetapi orang berdosa disuruh-Nya bekerja mencari nafkah dan menimbun hasil, dan akhirnya semua itu diberikan kepada orang yang menyenangkan hati Allah. Semua itu sia-sia, seperti mengejar angin.

Pengkhutbah — Chapters