[1] Kemudian malaikat kelima meniup sangkakalanya. Kulihat sebuah bintang gugur dari langit ke bumi. Bintang itu diberi kunci jurang yang tidak terduga dalamnya.
[2] Bintang itu membuka jurang itu lalu asap keluar seperti dari relau yang amat besar. Matahari dan seluruh angkasa gelap diselubungi asap itu.
[3] Dari dalam asap itu keluarlah sekawan belalang lantas turun ke bumi. Belalang itu diberi kuasa seperti kala jengking di bumi.
[4] Belalang itu ditegah merosakkan rumput di bumi, pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan lain; tugasnya menyerang manusia yang tidak mempunyai tanda materai Allah di dahinya.
[5] Belalang itu tidak dibenarkan membunuh mereka tetapi hanya menyeksa mereka selama lima bulan. Sakitnya diseksa belalang itu samalah seperti disengat kala jengking.
[6] Pada masa itu manusia yang diseksa itu mencari maut tetapi tidak menemukannya. Mereka ingin mati, namun kematian terlepas daripada mereka.
[7] Belalang itu kelihatan seperti kuda yang siap sedia untuk berperang. Di kepalanya ada sesuatu seperti mahkota emas dan mukanya mirip muka manusia.
[8] Rambutnya seperti rambut wanita dan giginya serupa gigi singa.
[9] Dadanya kelihatan seperti berperisai. Bunyi sayapnya seperti bunyi rata-rata kuda mara ke medan perang.
[10] Ekor dan sengatnya seperti kala jengking. Dengan ekornya yang bersengat, belalang itu mempunyai kuasa untuk menyeksa manusia selama lima bulan.
[11] Raja kepada belalang itu ialah malaikat yang menjaga jurang yang tidak terduga dalamnya. Namanya Abadon dalam bahasa Ibrani dan Apolion (bermakna "Pemusnah") dalam bahasa Yunani.
[12] Bencana pertama telah berlalu. Dua bencana lagi akan menyusul.
[13] Kemudian malaikat keenam meniup sangkakalanya. Aku mendengar suara dari keempat-empat tanduk mazbah emas di hadapan Allah.
[14] Suara itu berkata kepada malaikat keenam yang memegang sangkakala itu, "Lepaskanlah empat malaikat yang terikat di sungai yang besar, iaitu Sungai Efrat itu!"
[15] Keempat-empat malaikat itu pun dilepaskan. Mereka telah disediakan khas untuk membunuh sepertiga umat manusia pada jam, hari, bulan dan tahun itu.
[16] Aku diberitahu bahawa pasukan berkuda itu terdiri daripada dua ratus juta askar.
[17] Dalam penglihatan aku nampak banyak kuda dan penunggangnya. Perisai dada penunggang-penunggang itu merah seperti api, biru seperti nilam dan kuning seperti belerang. Kepala kuda itu seperti kepala singa dan dari mulutnya keluar api, asap dan belerang.
[18] Api, asap dan belerang dari mulut kuda itu merupakan tiga bencana yang membunuh sepertiga umat manusia.
[19] Kuasa kuda itu pada mulut dan ekornya. Kuda itu menyeksa manusia dengan ekornya yang seperti ular berkepala.
[20] Manusia yang tidak terbunuh oleh bencana itu tidak berpaling daripada berhala buatan tangan mereka. Mereka meneruskan amalan menyembah roh-roh iblis dan berhala yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, batu dan kayu yang tidak dapat melihat, mendengar atau berjalan.
[21] Mereka juga tidak berpaling daripada membunuh, menggunakan sihir, melakukan pencabulan dan mencuri.