Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:16

[1] Aku melihat seekor binatang keluar dari dalam laut, bertanduk sepuluh berkepala tujuh. Di setiap tanduk terletak mahkota dan di setiap kepala tertulis nama kufur.

[2] Binatang itu kelihatan seperti harimau bintang tetapi kakinya seperti kaki beruang dan mulutnya seperti mulut singa. Naga itu memberi binatang itu kuasa dan takhtanya serta kekuasaan yang besar.

[3] Di salah satu kepala binatang itu terdapat seolah-olah pernah luka parah yang membawa maut tetapi telah sembuh. Seluruh penghuni dunia mengagumi dan mengikut binatang itu.

[4] Mereka menyembah naga yang telah memberikan kekuasaannya kepada binatang itu, dan mereka menyembah binatang itu sambil berkata, "Siapakah yang setanding dengan binatang ini? Siapakah yang dapat memeranginya?"

[5] Binatang itu diberi mulut untuk melafazkan hal-hal besar dan kufur, serta diberi kekuasaan melakukannya selama empat puluh dua bulan.

[6] Ia pun membuka mulutnya lalu mengkufuri Allah, nama Allah, tempat kediaman Allah bersemayam dan semua penghuni syurga.

[7] Binatang itu dibenarkan memerangi dan menewaskan orang salih, serta diberi kekuasaan ke atas semua suku, kaum, bahasa dan bangsa.

[8] Binatang itu akan disembah oleh setiap orang di bumi yang sejak dunia dicipta namanya tidak tersenarai di dalam Kitab Hidup milik Anak Domba yang telah disembelih.

[9] Sesiapa yang bertelinga, dengarlah.

[10] Orang yang harus ditawan pasti akan ditawan kelak. Orang yang harus dibunuh dengan pedang pasti akan dibunuh dengan pedang juga. Yang dituntut di sini ialah ketabahan dan iman orang salih.

[11] Kemudian aku melihat seekor lagi binatang buas muncul dari bumi, bertanduk dua seperti anak domba dan bertutur seperti naga.

[12] Binatang kedua itu menjalankan segala kekuasaan binatang pertama di hadapannya, dan menyuruh bumi serta semua penghuninya menyembah binatang yang telah sembuh daripada luka parah yang membawa maut itu.

[13] Binatang kedua itu mengadakan beberapa tanda yang hebat, termasuk menurunkan api dari langit ke atas bumi di hadapan umat manusia.

[14] Dengan tanda-tanda yang dapat diadakannya di hadapan binatang pertama itu, binatang kedua memperdaya sekalian penghuni bumi, dan menyuruh mereka membuat patung binatang yang dilukai pedang namun tetap hidup.

[15] Binatang kedua itu diberi kuasa untuk meniupkan nyawa ke dalam patung binatang pertama itu, supaya patung itu dapat berkata-kata dan menyebabkan semua yang enggan menyembahnya dibunuh.

[16] Ia memaksa semua manusia, kecil besar, kaya miskin, orang merdeka dan hamba abdi, menerima suatu tanda pada tangan kanan atau dahi,

[17] dan seorang pun tidak dibenarkan berjual beli kecuali ada padanya tanda atau nama binatang buas itu, atau angka namanya.

[18] Yang dituntut di sini ialah kebijaksanaan. Sesiapa yang mengerti, kirakanlah angka binatang itu, kerana angka itu angka seorang manusia, dan angka itu 666.

Wahyu — Chapters