Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 5:01

[1] Dia menunjukkan kepadaku sebatang sungai air hidup, jernih seperti hablur, mengalir dari takhta Allah dan Anak Domba

[2] di tengah-tengah kota itu. Di kiri kanan sungai itu terdapat pokok hayat, yang berbuah dua belas jenis setiap bulan; daun-daunnya menyembuhkan umat manusia.

[3] Segala yang terlaknat tiada lagi. Takhta Allah dan Anak Domba ada di dalam kota itu, dan hamba-hamba-Nya beribadat kepada-Nya.

[4] Mereka melihat wajah-Nya, dan nama-Nya tersurat pada dahi mereka.

[5] Malam tiada lagi, dan cahaya pelita serta cahaya matahari tidak diperlukan lagi. Kerana Tuhan Allah akan menerangi mereka dan sekaliannya bertakhta selama-lamanya.

[6] Katanya kepadaku, "Ini kata-kata yang dapat dipercayai dan benar. Tuhan, Allah segala roh nabi-nabi, telah menyuruh malaikat-malaikat-Nya menunjukkan dengan segera kepada hamba-hamba-Nya apa yang akan terjadi."

[7] "Ingatlah, Aku akan datang dengan segera. Diberkatilah orang yang memeliharakan segala nubuat di dalam kitab ini."

[8] Aku, Yohanes, telah mendengar dan melihat segala hal itu. Apabila aku mendengar dan melihatnya, aku sujud hendak menyembah malaikat yang menunjukkannya kepadaku.

[9] Tetapi dia berkata kepadaku, "Jangan buat begitu! Aku ini sesama hamba Allah sepertimu dan saudara-saudaramu, iaitu nabi-nabi dan sekalian yang memeliharakan kata-kata di dalam kitab ini. Hanya Allah yang harus kamu sembah."

[10] Katanya lagi kepadaku, "Janganlah kamu materaikan nubuat di dalam kitab ini, kerana masanya sudah hampir tiba.

[11] Orang yang berbuat jahat, biarlah dia terus berbuat jahat. Orang yang cemar, biarlah dia terus cemar. Orang yang benar, biarlah dia terus benar. Orang yang suci, biarlah dia terus suci."

[12] "Ingatlah, Aku akan datang dengan segera, dan ganjaran-Ku bersama-Ku, supaya setiap orang mendapat balasan setimpal dengan perbuatannya.

[13] Akulah Alfa dan Omega, Yang Pertama dan Yang Terakhir, Yang Di Awal dan Yang Di Akhir."

[14] Diberkatilah sekalian yang menyucikan pakaiannya, kerana mereka berhak menghampiri pokok hayat dan masuk ke dalam kota itu melalui pintu gerbangnya.

[15] Di luar terdapat anjing, ahli sihir, orang yang cabul, pembunuh, penyembah berhala, dan semua yang menyukai dusta serta menuturkannya.

[16] "Aku, Yesus, telah menyuruh malaikat-Ku memperlihatkan segala hal ini kepadamu untuk semua jemaah. Akulah Tunas dan Zuriat Daud, dan bintang fajar yang bersinar."

[17] Roh dan pengantin perempuan itu berkata, "Marilah." Orang yang mendengar haruslah berkata, "Marilah." Orang yang dahaga haruslah datang. Sesiapa yang suka boleh mengambil air hidup itu dengan percuma.

[18] Aku bersaksi kepada setiap orang yang mendengar nubuat di dalam kitab ini, bahawa jika sesiapa menambahkan apa-apa kepadanya, Allah akan menambahkan baginya segala wabak yang tersurat dalam kitab ini.

[19] Dan jika sesiapa menggugurkan sepatah kata pun daripada nubuat ini, Allah akan menggugurkan bahagiannya daripada pokok hayat dan kota suci seperti yang tersurat dalam kitab ini.

[20] Yang bersaksi atas segala perkara ini berfirman, "Ya, Aku akan datang segera." Sesungguhnya, marilah Engkau, ya Tuhan Yesus.

[21] Semoga kasih kurnia Tuhan Yesus menyertai sekalian orang salih. Amin.

Wahyu — Chapters