[1] Kemudian aku mendengar suara lantang dari dalam Bait Suci Allah, berkata kepada tujuh malaikat itu, "Pergi tuangkan kemurkaan Allah di dalam tujuh mangkuk itu ke bumi."
[2] Oleh itu, malaikat pertama pergi, mencurahkan isi mangkuknya ke tanah, lalu tumbuh pekung yang busuk dan menjijikkan pada orang yang mempunyai tanda binatang itu dan orang yang menyembah patungnya.
[3] Kemudian malaikat kedua mencurahkan isi mangkuknya ke laut lalu airnya menjadi darah seperti darah orang mati, maka setiap makhluk yang hidup di laut itu mati.
[4] Kemudian malaikat ketiga mencurahkan isi mangkuknya ke sungai dan mata air, lalu bertukar airnya menjadi darah.
[5] Aku mendengar malaikat perairan itu berkata: "Engkau adil, ya Tuhan, kerana Engkau telah menghakimi hal-hal ini, Engkau Yang Suci, yang ada sekarang, dan ada dahulu, dan yang akan datang,
[6] Mereka telah menumpahkan darah orang salih dan nabi-nabi, maka Engkau memberi mereka minum darah, suatu hukuman yang setimpal."
[7] Aku mendengar suatu suara lagi dari mazbah berkata, "Sememangnya, Tuhan Allah Maha Kuasa, penghakiman-Mu benar dan adil."
[8] Kemudian malaikat keempat mencurahkan isi mangkuknya ke atas matahari, dan dia diberi kuasa menghanguskan manusia dengan api.
[9] Manusia dihanguskan dengan darjah kepanasan yang amat tinggi, lalu mereka mengkufuri nama Allah yang menguasai wabak-wabak itu. Mereka tidak bertaubat dan tidak memuliakan-Nya.
[10] Kemudian malaikat kelima mencurahkan isi mangkuknya ke atas takhta binatang itu, lalu kerajaannya diselaputi kegelapan, dan mereka menggigit lidah kerana kesakitan.
[11] Mereka mengkufuri Allah yang memerintah syurga kerana kesakitan dan pekung di tubuh mereka. Mereka tidak bertaubat daripada perbuatan mereka.
[12] Kemudian malaikat keenam mencurahkan isi mangkuknya ke dalam sebatang sungai besar, iaitu Efrat, lantas airnya kering kontang, untuk menyediakan jalan bagi raja-raja dari Timur.
[13] Aku melihat tiga roh jahat seperti rupa katak keluar dari mulut naga itu, dari mulut binatang itu, dan dari mulut nabi palsu.
[14] Mereka itu roh-roh iblis, dan mereka melakukan pelbagai tanda, yang sampai kepada raja-raja di seluruh dunia untuk menghimpunkan mereka bagi peperangan pada hari Allah Yang Maha Kuasa.
[15] Lihatlah, Aku datang seperti pencuri. Diberkatilah orang yang berwaspada, dan menjaga pakaiannya, supaya dia tidak berjalan dan dilihat orang dalam keadaan telanjang lalu mendapat malu.
[16] Dia menghimpunkan raja-raja itu ke tempat yang disebut Harmagedon dalam bahasa Ibrani.
[17] Kemudian malaikat yang ketujuh mencurahkan isi mangkuknya ke udara, lalu kedengaran suara lantang dari Bait Suci Allah di syurga, dari takhta, berkata, "Telah selesai!"
[18] Kedengaran pelbagai bunyi serta guruh dan kilat sabung-menyabung. Juga berlaku gempa bumi yang paling dahsyat dalam sejarah manusia zaman-berzaman.
[19] Ketika itu kota besar itu terbelah tiga, dan kota bangsa asing habis runtuh. Babel yang agung juga tidak ketinggalan menerima mangkuk air anggur kemurkaan Allah.
[20] Kemudian setiap pulau lenyap dan gunung tidak ditemukan lagi.
[21] Hujan batu besar yang seratus paun beratnya turun dari langit menimpa manusia. Mereka mengkufuri Allah kerana bencana hujan batu yang dahsyat itu.