Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 3:41

[1] Apabila Aku hendak menyembuhkan Israel, tersingkaplah ketidakadilan Efraim dan kejahatan Samaria. Mereka melakukan penipuan; pencuri masuk ke dalam, gerombolan penjahat menjarah di luar.

[2] Tidak terfikir dalam hati mereka bahawa Aku ingat akan segala kejahatan mereka. Sekarang mereka terkepung oleh segala perbuatan mereka sendiri, kesemuanya ada di hadapan-Ku."

[3] Mereka menyeronokkan raja dengan kejahatan mereka, dan para pembesar dengan pembohongan mereka.

[4] Mereka semua penzina, seperti ketuhar yang dinyalakan oleh pembuat roti. Dia hanya berhenti membesarkan api dari permulaan adunan diuli sehingga siap diadunkan raginya.

[5] Pada hari perayaan raja kita, para pembesar menyusahkan diri dengan mabuk air anggur, manakala raja bersepakat dengan para pencemuh.

[6] Mereka datang menghadap raja dengan hati seperti ketuhar, sementara mereka menyiapkan serang hendap. Amarah pembuat roti membara sepanjang malam, lalu pada pagi hari dia membakar seperti api yang menyala-nyala.

[7] "Panaslah mereka semua sebagaimana ketuhar, mereka memakan habis para hakim mereka. Tumpas sudah kesemua raja mereka, tidak ada orang dalam kalangan mereka yang berseru kepada-Ku."

[8] Efraim mencampurkan diri dengan bangsa-bangsa. Dia menjadi bak roti bundar yang tidak dibalikkan.

[9] Kekuatannya dimakan habis oleh orang asing, tetapi dia tidak menyedarinya. Ya, rambut putih bertaburan di kepalanya, tetapi dia tidak menyedarinya.

[10] Biarpun keangkuhan Israel menjadi saksi terhadap diri sendiri, tetapi mereka tidak kembali kepada Tuhan, Allah mereka, dan tidak juga mereka mencari hadirat-Nya walaupun berlakunya semua itu.

[11] "Jadilah Efraim seperti burung merpati yang betul bendul dan tidak berakal. Sebentar mereka memanggil Mesir, sebentar mereka pergi ke Asyur.

[12] Apabila mereka pergi, Aku akan membentangkan jaring-Ku ke atas mereka. Akan Kujatuhkan mereka seperti burung di udara. Akan Kumarahi mereka dengan keras menurut maklumat yang telah diberikan kepada perhimpunan mereka.

[13] Malanglah mereka, kerana mereka melarikan diri daripada Aku! Binasalah mereka, kerana mereka memberontak terhadap Aku! Aku hendak menebus mereka, tetapi mereka berkata dusta kepada-Ku.

[14] Mereka tidak berseru kepada-Ku dari dalam hati, melainkan meraung-raung di atas tempat tidur mereka. Mereka berkumpul untuk memohonkan gandum dan air anggur, tetapi mereka menjauh daripada Aku.

[15] Sungguhpun Aku telah melatih dan menguatkan mereka, mereka merancang kejahatan terhadap Aku.

[16] Mereka tidak berbalik kepada Yang Maha Tinggi; mereka seperti busur panah yang rosak. Para pembesar mereka akan tewas oleh pedang kerana lidah mereka yang garang. Demikianlah mereka akan dipersendakan di Tanah Mesir."

Hosea — Chapters