[1] Israel bagaikan pokok anggur yang subur, yang menghasilkan buah. Semakin banyak buahnya, semakin banyak pula dibuatnya mazbah berhala. Semakin maju negerinya, semakin indah pula dibuatnya tiang-tiang berhala.
[2] Hati mereka licik, dan sekarang mereka harus menanggung kesalahan mereka. Tuhan akan menghancurkan mazbah-mazbah berhala mereka, dan memusnahkan tiang-tiang berhala mereka.
[3] Kemudian mereka akan berkata, "Kita tidak punya raja lagi, kerana kita tidak takut kepada Tuhan. Kalaupun kita punya raja, apa yang dapat dilakukannya bagi kita?"
[4] Mereka membuat janji-janji, bersumpah dusta, mengikat perjanjian, sehingga hukuman tumbuh seperti pokok beracun di alur-alur ladang.
[5] Penduduk Samaria ketakutan kerana patung anak lembu di Bet-Awen. Umatnya akan berkabung kerananya, begitu pula para imam penyembah berhala yang tadinya bergembira kerananya, sebab kemuliaannya telah hilang.
[6] Patung itu akan dibawa ke Asyur sebagai persembahan bagi raja agung itu. Efraim akan mendapat malu, Israel akan malu kerana rancangannya sendiri.
[7] Tentang Samaria, rajanya akan dibinasakan seperti ranting di permukaan air.
[8] Bukit-bukit pemujaan Awen, iaitu dosa Israel, akan dimusnahkan. Duri dan onak akan tumbuh di atas mazbah-mazbah berhala mereka. Lalu mereka akan berkata kepada gunung-gunung, "Timbuslah kami!" dan kepada bukit-bukit, "Timpalah kami!"
[9] "Sejak hari-hari Gibea engkau telah berdosa, wahai Israel. Di sana mereka tetap berdiri. Namun demikian, bukankah peperangan melawan orang zalim akan menimpa mereka di Gibea?
[10] Apabila Aku mahu, Aku akan memarahi mereka dengan keras. Bangsa-bangsa akan dikumpulkan untuk melawan mereka apabila mereka diikat kerana dua kesalahan mereka.
[11] Efraim anak lembu terlatih yang suka mengirik. Tetapi Aku telah membebani tengkuknya yang elok. Aku akan membuat Efraim ditunggangi. Yehuda harus membajak, bani Yakub harus menyisir tanah bagi dirinya sendiri.
[12] Semailah bagimu perbenaran, tuailah kasih abadi; bajaklah tanahmu yang kosong, kerana sudah waktunya mencari hadirat Tuhan, hingga Dia datang dan menghujani kamu dengan perbenaran.
[13] Kamu telah membajak kefasiqan, kamu telah menuai kejahatan, kamu telah memakan buah dusta. Kerana kamu terlalu yakin akan jalanmu sendiri dan kesateriamu yang amat ramai itu,
[14] maka keributan akan timbul dalam kalangan bangsamu. Segala kubumu akan dimusnahkan, seperti Bet-Arbel dimusnahkan oleh Salman pada hari peperangan. Ibu berserta anak-anak dihempaskan.
[15] Demikianlah yang akan dilakukan terhadapmu, wahai Betel, kerana kejahatanmu yang sangat besar. Pada waktu fajar raja Israel akan dibinasakan sama sekali.