Skip to content
Opens in a new window
Listen to this chapter • 4:15

[1] Oleh itu, ikutlah teladan Allah seperti anak-anak yang dikasihi.

[2] Hiduplah dalam kasih, sebagaimana Kristus mengasihi kita dan menyerahkan diri-Nya untuk kita sebagai persembahan dan korban yang harum bagi Allah.

[3] Tetapi perbuatan cabul dan segala kecemaran atau tamak haloba, jangan disebut pun dalam kalanganmu, kerana demikianlah sepatutnya bagi orang salih.

[4] Jauhi kekotoran, percakapan tidak berakal dan lawak jenaka lucah, kerana segala ini tidak wajar, sebaliknya eloklah kamu mengucapkan kata-kata kesyukuran.

[5] Kerana kamu tahu bahawa orang yang berzina, melakukan kecemaran, atau tamak haloba – yang sama dengan penyembah berhala tidak akan mewarisi kerajaan Kristus dan Allah.

[6] Jangan tertipu dengan kata-kata kosong, kerana itulah sebabnya kemurkaan Allah menimpa anak-anak derhaka.

[7] Oleh itu, janganlah kamu sepakat dengan mereka.

[8] Kerana dahulu kamu gelap tetapi sekarang sudah menjadi cahaya dalam Tuhan. Hiduplah sebagai anak-anak cahaya

[9] (kerana yang dihasilkan oleh cahaya terdapat dalam segala yang baik, wajar dan benar),

[10] maka kajilah apa yang diredai oleh Tuhan.

[11] Jangan bersubahat dengan perbuatan gelap yang tidak berfaedah, sebaliknya dedahkan perbuatan itu.

[12] Sebabnya perkara-perkara yang dilakukan oleh mereka secara rahsia itu, jika disebut pun adalah memalukan.

[13] Tetapi segala yang didedahkan itu dinyatakan oleh cahaya, kerana yang menyatakan adalah cahaya.

[14] Oleh itu, firman Tuhan: "Bangunlah, hai kamu yang tidur, bangkit daripada kematian, dan Kristus akan memberimu cahaya."

[15] Hiduplah dengan hati-hati – bukan seperti orang tidak arif tetapi sebagai orang bijaksana,

[16] dan pergunakanlah setiap peluang dengan sebaiknya kerana ini zaman durjana.

[17] Dengan demikian, janganlah bodoh, tetapi mengertilah kehendak Tuhan.

[18] Dan janganlah mabuk air anggur, yang berupa maksiat. Sebaliknya, penuhi diri dengan Roh.

[19] Berkata-katalah sesama sendiri dengan mazmur, lagu pujian serta nyanyian rohani, menyanyi dan berlagu untuk Tuhan dalam hatimu.

[20] Sentiasalah bersyukur atas segala-galanya kepada Allah Bapa dengan nama Tuhan kita Yesus Kristus.

[21] Tunduklah kepada satu sama lain dengan bertakwa kepada Kristus.

[22] Isteri, tunduklah kepada suamimu seperti kepada Tuhan.

[23] Kerana suami adalah kepala kepada isteri sebagaimana Kristus kepala jemaah dan Penyelamat tubuh itu.

[24] Oleh itu, sebagaimana jemaah tunduk kepada Kristus, begitulah juga isteri terhadap suaminya dalam segala hal.

[25] Suami, kasihilah isterimu, sebagaimana Kristus mengasihi jemaah dan menyerahkan diri-Nya untuk jemaah.

[26] Dengan demikian, Dia dapat menyucikan dan membersihkan jemaah dengan air melalui firman,

[27] dan menghadapkannya kepada diri-Nya sebagai jemaah yang mulia, tanpa cela atau kerut, tetapi suci dan tidak bercela.

[28] Demikian juga, suami harus mengasihi isterinya seperti tubuhnya, lelaki yang mengasihi isterinya itu mengasihi dirinya sendiri.

[29] Tiada sesiapa pun pernah membenci tubuhnya sendiri, tetapi memelihara dan menyayanginya, seperti yang dilakukan oleh Kristus kepada jemaah –

[30] kerana kita adalah anggota tubuh-Nya.

[31] "Oleh sebab itu, seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu."

[32] Ini adalah suatu rahsia besar – tetapi aku bercakap tentang Kristus dan jemaah.

[33] Walau bagaimanapun, setiap orang daripada kamu hendaklah mengasihi isterinya seperti dirinya sendiri, dan isteri hendaklah menghormati suaminya.

Efesus — Chapters