[1] Oleh itu aku, yang terpenjara kerana Tuhan, merayu agar kamu, sebagai orang yang telah dipanggil, hiduplah berpadanan dengan panggilan itu.
[2] Kamu haruslah selalu rendah hati dan lemah lembut; sabar, bertolak ansur satu sama lain dalam kasih,
[3] dan berusaha memelihara perpaduan dalam Roh dengan ikatan sejahtera.
[4] Kamu hendaklah satu tubuh dan satu Roh – sebagaimana kamu telah dipanggil dengan satu harapan panggilan itu –
[5] satu Tuhan, satu iman, satu baptisan;
[6] satu Allah, iaitu Bapa sekalian, yang di atas sekalian, melalui sekalian, dan dalam kamu sekalian.
[7] Tetapi masing-masing diberi kasih kurnia sekadar pemberian Kristus.
[8] Oleh itu, firman-Nya: "Apabila Dia naik ke tempat tinggi, Dia menawan tawanan, dan memberi pemberian kepada manusia."
[9] (Apakah maksud "Dia naik ke atas"? Tentulah ertinya bahawa sebelum itu Dia telah turun ke bahagian terbawah di bumi.
[10] Dia yang telah turun itu adalah juga Dia yang naik jauh ke atas semua lapisan langit, untuk memenuhi segala-galanya.)
[11] Dan Dialah yang memberi sesetengah orang menjadi rasul, nabi, penyebar Injil, pembimbing jemaah dan pengajar,
[12] untuk menyediakan orang yang salih bagi kerja melayani, untuk meneguhkan tubuh Kristus.
[13] Dengan itu, kita semua mencapai kesatuan dalam iman dan pengetahuan akan Anak Allah, agar menjadi dewasa, dan memiliki pertumbuhan yang sesuai dengan kadar kesempurnaan Kristus.
[14] Maka, kita tidaklah lagi berupa kanak-kanak, dipukul ombak dan ditiup ke sana ke mari oleh setiap angin pengajaran orang, tipu daya manusia, dan putar belit muslihat jahat.
[15] Sebaliknya, kita sentiasa bercakap benar dalam kasih, dan bertumbuh dalam segala hal ke arah Dia yang menjadi Kepala, iaitu Kristus.
[16] Daripada-Nya, seluruh tubuh yang dihubungkan dan dijalin erat oleh setiap sendi dalam kelengkapannya manakala setiap bahagian menjalankan peranan masing-masing, bertumbuh untuk meneguhkan dirinya dalam kasih.
[17] Oleh itu, aku berkata demikian dan bersaksi demi Tuhan, janganlah lagi kamu hidup seperti orang yang tidak mengenal Allah, menurut pemikiran yang sia-sia.
[18] Akibatnya, daya pengertian mereka dimalapkan, dan diri mereka tersisih daripada kehidupan Allah, kerana kejahilan mereka, kerana kedegilan hati mereka.
[19] Oleh sebab sudah hilang perasaan, mereka telah menceburkan diri dalam kancah maksiat, bergelumang dalam segala noda dengan rakus.
[20] Tetapi bukan demikian yang kamu pelajari tentang Kristus,
[21] jika kamu telah mendengar-Nya dan diajar oleh-Nya, sebagaimana kebenaran itu dalam Yesus.
[22] Berkenaan kelakuanmu yang dahulu, kamu menyingkirkan dirimu yang lama, yang dirosakkan oleh hawa nafsu tipu daya;
[23] dan kamu diperbaharu dalam roh pemikiranmu;
[24] serta berubah kepada diri baru yang dicipta menurut teladan Allah dalam perbenaran dan kesucian sejati.
[25] Oleh itu, janganlah lagi berdusta. Hendaklah setiap orang daripada kamu bercakap benar sesama manusia kerana kita adalah sesama anggota.
[26] "Apabila kamu marah, janganlah sampai melakukan dosa." Jangan kekalkan kemarahanmu hingga matahari terbenam,
[27] dan jangan beri tempat kepada iblis.
[28] Orang yang mencuri hendaklah berhenti mencuri dan mula bekerja, membuat sesuatu yang baik dengan tangannya, supaya dapat memberi kepada orang yang kekurangan.
[29] Janganlah biarkan kata-kata yang kesat keluar dari mulutmu, tetapi lafazkanlah teguran baik yang membina, mengikut keperluannya, supaya membawa berkat kepada yang mendengar.
[30] Dan janganlah kamu menyedihkan Roh Kudus Allah yang telah mematerai kamu bagi hari penebusan.
[31] Singkirkanlah segala kepahitan, keberangan dan kemarahan, pergaduhan dan umpatan, bersama segala niat jahat.
[32] Dan berbelas kasihlah satu sama lain, bersikap baik, saling memaafkan, sebagaimana Allah telah mengampunimu dalam Kristus.